SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati
dan mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di
antara dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul
daging kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda
SAW.
Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan
ini, di mana setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan
keyakinan, serta dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai
sebagaimana dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan
mutiara.
Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi
musuh-musuh untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis
yang menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.
Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan
tersebut pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga
menjadi sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam
Israk dan Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus
buat Baginda SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan
tanda penutup kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.
Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih,
berkata: "Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat
tanda kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda
kenabiannya terletak di antara dua bahunya."
Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang
membezakan Baginda SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah
ini diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.
Rasulullah tunggang
Buraq
Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq
diambil daripada perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya
yang putih di mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada
perkataan al-Barq yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan
kelajuan perjalanannya.
Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan
memuliakan Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang
orang-orang besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya
kenderaan khusus yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq
itu dari alam ghaib.
Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai
sayap malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman
AS, ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda
kekuasaan Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.
Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang
berkat dan mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu
tempat yang terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah
tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan
Jibril itu.
Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun
bertanya, "Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat
sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata,
"Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al
Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."
Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat
terdapat pokok Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir.
Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka
Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT
berbicara dengan Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini
dan tunaikanlah solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.
Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di
sana istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun
dan tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.
Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan
melakukan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak."
Maka Jibril berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi
Isa ibnu Maryam a.s dilahirkan."
Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas,
merupakan bukti besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan
Baginda SAW merupakan Nabi Islam.
Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap
kesan-kesan sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar,
tempat mulia dan kenangan zaman silam.
Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT
atas nikmat dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang
manfaat dan kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.
Imam di Baitul Maqdis
Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di
kota Bait al Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan.
Kemudian menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa
digunakan oleh para Nabi AS.
Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar
dan membuat lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril
menambat Buraq itu.
Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam
matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua
rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui
mereka itu ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan
sujud.
Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan
didirikan. Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril
mencapai tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW
pun solat bersama mereka dua rakaat.
Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan
dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul
berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat
dan para rasul.
Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah,
adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar
tadi?" Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka
ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah."
No comments:
Post a Comment