LI HONGFANG yang berusia 40 tahun tidak pernah menyangka
tumor yang membesar di mukanya sejak 10 tahun lalu menyebabkan dia dipinggirkan
oleh penduduk kampung.
Penyakit yang dikenali sebagai kordoma itu menyebabkan
mukanya membesar dan membuatkan wanita yang bekerja sebagai petani itu
kelihatan seperti raksasa.
Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, dia tidak mampu
menampung kos membuang tumor itu kerana bayarannya terlalu mahal iaitu
kira-kira 600,000 yuan (RM296,732).
Hongfang menceritakan, dia mula menderita penyakit itu pada
tahun 2001 dengan hanya kesan tompok kecil di dahinya.
Menetap di sebuah perkampungan di Tianchao, negeri Qianxian,
dekat wilayah Shaanxi, dia disahkan mempunyai tumor selepas menjalani
pemeriksaan empat tahun kemudian.
Doktor mengesahkan dia mempunyai tujuh ketul tumor di
bahagian muka. Akibat tidak mampu mendapatkan rawatan, dia terpaksa membiarkan
tumor itu membesar perlahan-lahan.
"Saya sedar ramai orang melihat saya seperti raksasa
tetapi saya sebenarnya manusia biasa. Saya ibu kepada dua orang anak, bukannya
seekor raksasa," katanya.
Dahulu, Hongfang seorang wanita yang cantik. Lantaran
penyakitnya itu, wang simpanannya habis digunakan mendapatkan rawatan. Akhirnya
dia pernah menjadi pengemis di bandar.
Pembedahan
"Hidup mesti diteruskan untuk ibu mertua, anak-anak dan
keluarga. Namun, penduduk kampung sering menganggap saya wanita malang yang
membawa kecelakaan.
"Malah, mereka sering mengatakan suami saya akan
meninggalkan saya tetapi Guo Yingping (suami baharunya) nampaknya sanggup
menyimpan wang hasil bekerja di ladang untuk pembedahan saya," ujarnya.
Dia bersyukur kerana suaminya terus menyokongnya, begitu juga
ibu mertuanya.
"Saya hanya ingin menjadi wanita normal semula selain
ibu yang bertanggungjawab membantu keluarga," katanya.
Suami pertamanya terbunuh dalam kemalangan jalan raya tidak
lama selepas Hongfang melakukan pemeriksaan doktor, namun selepas itu dia
berkahwin dengan seorang lelaki yatim piatu, Yingping pada tahun 2009. Mereka tinggal
di kampung berhampiran.
Kedua-dua anak lelaki Hongfang, berusia 14 dan 17 tahun,
telah meninggalkan kampung halaman untuk bekerja, walaupun si ibu membantah
hasrat mereka.
"Kami tidak mempunyai banyak wang tetapi kami mencintai
antara satu sama lain. Kami begitu menyayangi dua anak lelaki kami.
"Tetapi anak saya mengambil tindakan nekad meninggalkan
saya ketika saya amat memerlukan sokongan mereka," katanya sedih.
Namun, dia menarik nafas lega apabila kerajaan China bersedia
menanggung kos rawatannya.
Menurut seorang pakar perubatan, Xue Gang, pihak atasan telah
mengarahkan mereka mengubati Hongfang walaupun berapa banyak perbelanjaan yang
diperlukan.
Seorang pakar bedah, Pan Lin dari Hospital Xijing, China,
yang merupakan hospital wanita malang itu akan menjalani pembedahan
memberitahu, keadaan Hongfang akan kembali normal selepas dibedah.
"Penyakitnya cukup pelik tetapi tidak sehingga
mengorbankan nyawanya. Selepas pembedahan membuang tumor, kami akan melakukan
pembedahan plastik bagi memastikan dia cantik semula," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment