IDEA bank sperma pernah menimbulkan
polemik di Malaysia pada lebih lima tahun lalu sedangkan bank seperti itu telah
lama beroperasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Bank itu popular dalam kalangan
wanita bujang atau pasangan yang gagal mendapatkan zuriat sendiri.
Mereka boleh membeli sperma seperti
membeli baju dengan memilih jenis air mani berasaskan etnik, bentuk fizikal,
latar belakang pendidikan dan kesihatan penderma.
Hakikatnya isu itu belum ada kesudahannya.
Tiada undang-undang yang digubal khusus untuk menangani masalah itu.
Bukan setakat menjual sperma, ovum
wanita juga popular di seluruh dunia. Ia melibatkan urus niaga yang mencecah
berbilion dolar setahun.
Baka manusia itu boleh dibeli dengan
mudah sehingga mencecah harga RM100,000 sebotol, bergantung pada siapa si
pendermanya.
Golongan penderma wanita yang menjadi
sasaran firma kesuburan pula ialah pelajar universiti khususnya wanita
berketurunan Asia.
Puncanya, golongan itu mudah dipujuk
atas desakan wang, kos pengajian yang tinggi di samping keinginan untuk hidup
mewah.
Seorang wanita yang mengaku menjual
ovumnya, Kline, berkata jual beli itu ibarat satu pelaburan yang menguntungkan.
Dia yang berketurunan Cina-Vietnam
mendakwa telah tiga kali terlibat dalam proses itu dengan memberikan ovumnya
kepada sebuah agensi pembekal ovum di California, AS.
Kline memperoleh bayaran hampir
RM100,000 untuk semua urus niaga itu.
"Mereka mengatakan banyak
keluarga yang sukakan ovum wanita Asia," kata pelajar sebuah kolej di AS
yang berumur 26 tahun ini.
Natasha, seorang imigran Rusia yang
bekerja di sebuah klinik di Cyprus juga terlibat dengan kegiatan menjual ovum.
Katanya, dia berhijrah ke Cyprus
setelah berkenalan dengan teman lelakinya melalui internet.
Malangnya, pengorbanannya itu tidak
berbalas. Mereka akhirnya berpisah. Natasha hidup seperti pelarian di Cyprus.
Dia tiada visa dan tempat tinggal, malah tiada pekerjaan.
"Mujur saya cantik dan sihat
menyebabkan ovum saya bernilai," katanya yang meraih kira-kira RM50,000
untuk urus niaga itu.
Carmen Pislaru, seorang wanita dari
Romania yang bekerja di Cyprus pula mendakwa kesempitan hidup selepas
melahirkan anak keempat sebagai punca dia terjebak.
"Doktor bertanya adakah saya
ingin menjual ovum. Dia seakan-akan mengetahui saya tertekan gara-gara tidak
mampu membayar kos perubatan.
"Seminggu selepas memikirkannya,
saya menerima tawaran itu dengan bayaran RM8,000," ceritanya yang tidak
menyesali tindakannya itu.
Satu kes unik di Sepanyol pula
melibatkan seorang imigran dari Chile, Nicole Rodriguez yang menyambung
pengajian di negara itu.
AKTIVITI menjual sperma
dan ovum menggalakkan pertambahan golongan gay dan lesbian.
"Saya baru memasuki sebuah kolej
di Sepanyol. Peraturan di negara itu tidak membenarkan saya bekerja sambilan,
jadi menjual ovum ialah cara mudah untuk mendapatkan wang," tutur
Rodriguez.
Ceritanya, musim sejuk membantunya
kerana kulitnya yang berwarna hitam menjadi agak putih.
"Selepas menjalani proses yang
memenatkan itu, di tepi bantal saya terdapat sampul surat yang agak tebal
berisi wang.
"Saya seperti seorang pelacur
yang mendapatkan ganjaran dengan menjual tubuh," katanya.
Bayaran RM6,000 itu lebih daripada
mencukupi untuk Rodriguez menanggung kos sara hidup selama tiga bulan di
Sepanyol.
Derma ovum
Sejak berdekad lamanya permintaan
global terhadap ovum manusia berkembang pesat sehingga tidak mampu dikawal lagi
dengan lebih 250,000 bayi telah dilahirkan melalui cara itu.
Keinginan wanita bujang, wanita tua
yang sudah menopaus dan pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak
merancakkan lagi perniagaan pelik ini.
Wanita dari negara miskin juga akan
menjual telur mereka kepada doktor tempatan yang kemudian menjualnya dengan
harga yang mahal kepada keluarga kaya di Barat.
Cyprus yang merupakan negara Kesatuan
Eropah membenarkan aktiviti itu dengan alasan ia lebih berbentuk derma yang
akan diberi pampasan berupa wang.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh
Menteri Kesihatan negara itu, Carolina Stylianou.
Kerajaan Cyprus menganggarkan nisbah 1:50
wanita di negara kepulauan itu yang berumur 18 hingga 30 tahun terlibat dengan
aktiviti menjual ovum.
Seorang pakar biologi dari Universiti
Northwestern, Chicago, AS, Laurie Zoloth berpendapat, fenomena menjual ovum
adalah sisi buruk sistem kapitalis yang sanggup memperdagangkan apa sahaja yang
bersumber daripada manusia.
Seorang peguam, Andrew Vorzimer
menyifatkan urus niaga itu menunjukkan 'kejahatan budaya Barat'.
"Saya pernah melihat kontrak
penderma ovum yang memperoleh bayaran sebanyak RM600,000," katanya.
Sebuah firma kesuburan di Britain
baru-baru ini mencetuskan kontroversi kerana menawarkan bayaran RM3,000 kepada
pelajar Universiti Cambridge yang sanggup menderma ovum mereka.
Secara umum, penderma perlu mengambil
dadah untuk merangsang pengeluaran telur. Sasaran mereka ialah pelajar berumur
18 hingga 35 tahun selain memiliki sifat baik hati, jujur dan sihat tubuh.
Pengarah Perubatan Klinik Kesuburan
Create London, Geeta Nargund, berkata idea itu mengundang risiko yang tinggi.
Bagi Josephine Quintavalle daripada
kumpulan kempen Comment on Reproductive Ethics, retorik menderma ovum untuk
mendapatkan pampasan merupakan helah pihak tertentu bagi menjana keuntungan
mudah.
"Pelajar universiti sering
menjadi sasaran kerana mereka lebih bijak. Malangnya, tiada kajian lanjut
dilakukan berkaitan risiko individu yang mengambil dadah untuk proses itu serta
kesan terhadap anak yang dilahirkan," ujarnya.
Soal etika
TERDAPAT segelintir
pelajar kolej di Barat yang menjual ovum disebabkan desakan wang. - Gambar
hiasan
Pengarah Komunikasi Gabungan
Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman
memberitahu, dahulu negara ini pernah dikejutkan dengan polemik pengenalan bank
sperma.
"Mungkin ada syarikat tertentu
dan hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan sebegini termasuk menjual ovum
wanita dan sperma lelaki.
"Saya yakin ia berlaku di negara
ini walaupun saya tidak pernah menerima sebarang aduan," katanya.
Ujarnya, ini mungkin disebabkan tiada
pasangan atau individu yang mahu melaporkan perkara itu kerana malu.
"Masyarakat negara kita terkenal
dengan adat ketimuran. Ia kes terpencil selain mereka mendapatkan rawatan itu
di luar negara.
"Bagi mereka yang beragama
Islam, perkara ini dilarang sama sekali dalam agama," katanya.
Menurut bekas Presiden Persatuan
Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamed, jualan sperma
dan ovum hanya menggalakkan pasangan gay dan lesbian untuk memperoleh anak.
"Ini boleh menimbulkan masalah
sosial yang serius apabila ramai lelaki dan wanita menganggap institusi
perkahwinan tidak lagi penting," ujarnya.
Tutur Abdul Latiff, membeli ovum yang
dijual tidak menjamin pembelinya mendapat anak yang bijak dan sihat.
"Walaupun baka terdiri daripada
individu terpelajar, faktor persekitaran dan pembelajaranlah yang akhirnya
merangsang perkembangan pemikiran anak.
"Malah, individu yang menderma
juga tidak dikenali. Sekiranya berlaku ketirisan atau kecuaian, anak yang lahir
mungkin mengalami penyakit yang serius," katanya.
No comments:
Post a Comment