expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 17 June 2012

Pewaris takhta Arab Saudi meninggal dunia




















GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II (tengah) bersama Putera Nayef (kiri) dan Putera Sultan.


RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia di Geneva, lapor stesen televisyen negara berkenaan semalam.


Putera Nayef yang merupakan Menteri Dalam Negeri sejak 1975 dan dipercayai berusia 78 tahun, merupakan pewaris pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II.


Beliau dilantik Putera Mahkota pada Oktober lalu berikutan kematian abangnya, Putera Mahkota Sultan.


Stesen televisyen Arab Saudi melaporkan jenazah anggota keluarga diraja itu akan dikebumikan di Kota Mekah selepas solat Maghrib hari ini.


Beliau dilaporkan meninggal dunia di Geneva tetapi punca kematian pewaris takhta berkenaan tidak didedahkan.


Kematian Putera Nayef bermakna Raja Abdullah, 89, perlu melantik bakal penggantinya untuk kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun.


Setakat ini, Menteri Pertahanan, Putera Salman, 76, dilihat calon utama dan putera paling kanan bagi menggantikan Putera Nayef.


Putera Salman dipercayai akan meneruskan dasar pembaharuan yang dilaksanakan oleh Raja Abdullah, berbeza dengan pendirian abangnya.


Nayef sebelum ini memiliki reputasi sebagai pentadbir berfahaman konservatif yang menentang dasar reformasi Raja Abdullah.


Beliau turut bertanggung jawab menghapuskan penentangan rangkaian Al-Qaeda di Arab Saudi.


Putera Nayef, Raja Abdullah dan Putera Salman adalah antara hampir 40 anak lelaki pengasas Arab Saudi, Abdul Aziz Ibn Saud yang mengasaskan negara berkenaan pada 1935. 


Salman yang berkhidmat sebagai Gabenor Riyadh, dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada November tahun lalu.


Pada Mei lalu, Putera Nayef berkunjung ke Switzerland bagi menjalani ujian perubatan.


Beliau pernah berada di luar negara beberapa kali pada tahun ini bagi tujuan perubatan termasuk ke Algeria, Amerika Syarikat dan Switzerland.


Namun, penyakit yang dihidapi oleh putera tengah daripada tujuh adik beradik itu tidak dihebahkan.


Putera Nayef merupakan anak lelaki Raja Abdul Aziz bersama isteri yang paling disayanginya, Puteri Hassa Al- Sudairi. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com