EMPAT pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara terpaksa
digugurkan daripada beraksi pada Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala AFC 2013 di
Myanmar, yang bermula 23 Julai ini ekoran masalah kecederaan yang belum pulih.
Ketua jurulatih skuad B-22 negara Ong Kim Swee berkata,
mereka ialah Mohamad Zuber Mohamad Azmi, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris,
Muhammad Syazwan Tajuddin dan Mohamad Raphi Azizan Mariappen.
"Keempat-empat pemain ini tidak akan menyertai kita di
Myanmar, namun diletakkan dalam senarai simpanan sekiranya berlaku kecederaan
kepada mana-mana 23 pemain yang bakal saya bawa ke sana nanti," katanya
kepada pemberita selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.
Beliau berkata setiap pasukan yang bersaing dalam pusingan
kelayakan itu mungkin berdepan kesukaran mempamerkan aksi memberangsangkan
memandangkan mereka akan beraksi pada sebelah petang dalam keadaan cuaca panas,
kecuali tuan rumah yang beraksi sebelah malam.
"Jadi, saya akan membuat pertukaran pemain dalam setiap
perlawanan yang ditempuhi oleh kita bagi mengelakkan mereka keletihan dalam
mengharungi beberapa perlawanan di sana nanti.
"Namun, apa yang lebih penting kepada saya ialah setiap
pemain mampu mengekalkan prestasi masing-masing dalam kejohanan itu,"
katanya.
Mengulas peluang skuad negara untuk mara ke pusingan akhir
kejohanan tahun depan, Kim Swee berkata beliau optimis pasukan itu mampu pergi
jauh disebabkan persaingan yang sengit di peringkat kumpulan.
Skuad negara dijangka bertolak ke Myanmar Khamis ini sebelum
membuka kempen kejohanan dengan menentang Korea Selatan pada Sabtu.
Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan,
Vietnam, Taiwan, Filipina dan Myanmar selaku tuan rumah untuk pusingan
kelayakan itu dan dua pasukan teratas daripada setiap enam kumpulan yang
bertanding, akan mara ke pusingan akhir kejohanan tahun depan.
Venue pusingan akhir belum ditentukan oleh Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC).
Senarai pemain ke Myanmar:
Mohd Farhan Abu Bakar, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mohd Nazmi
Faiz Mansor, D. Saarvindran, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohd Irfan Fazail (kapten),
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, A. Thamil Arasu, Shahrul Mohd Saad, Gary Steven
Robbat, Nazirul Naim Che Hashim, Mohammad Amer Saidin, Mohamad Fandi Othman,
Syahrul Azwari Ibrahim, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Azzizan Nordin, Muhamad Ilham
Amirullah Razali, Ashri Chuchu, Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Mohd Azrif Nasrulhaq
Badrul Hisham, Mohd Aminuddin Mohd Noor, Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa, Wan
Zack Haikal Wan Mohd Noor. - Bernama
No comments:
Post a Comment