RAJAGOBAL (kiri) bersalaman dengan
penolong jurulatih skuad Singapura, Aide Iskandar di Wisma FAM, Kelana Jaya
semalam.
GELANGGANG sahaja berbeza tetapi misi tetap sama. Demikian
jaminan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi
persahabatan kedua menentang Singapura di Stadium Shah Alam malam ini.
Meskipun ia sekadar satu perlawanan persahabatan, Rajagobal
tetap berhasrat menurunkan skuad terbaik selepas sekadar seri 2-2 di Stadium
Jalan Besar, Singapura, Jumaat lepas.
"Jika ada sebarang pertukaran pun, saya rasa ia hanya
membabitkan satu dua pemain, bergantung kepada sesi latihan terakhir.
"Saya rasa tidak perlu membuat rombakan besar-besaran
meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan," katanya kepada pemberita
selepas sidang akhbar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya
semalam.
Rajagobal memberitahu, ketika ini Wan Zack Haikal Wan Nor
hampir pasti tidak dapat diturunkan gara-gara kecederaan hamstring kanan,
manakala Ashaari Shamsuddin dan Mohamad Azmi Muslim pula masih belum cergas
sepenuhnya.
"Saya juga yakin pemain tidak tertekan beraksi di
gelanggang sendiri, dan saya harap pemain dapat mengikuti arahan, sekali gus
melakar kemenangan," katanya.
Ketika ditanya mengenai kredibiliti pengadil malam ini ekoran
keputusan kontroversi pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam semasa aksi di
Stadium Jalan Besar tempoh hari, jelas Rajagobal: "Saya sebenarnya lebih
gemar memikirkan pasukan berbanding hal-hal lain.
"Cuma, saya harap pengadil (malam ini) dapat
mengendalikan perlawanan dengan baik.
Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul
Razak berazam untuk meledak gol malam ini sebagai penebus kekecewaan gara-gara
terlibat dengan kontroversi bersama Kai Lam sehingga dilayangkan kad kuning
tempoh hari.
"Barang yang lepas usahlah dikenang, saya hanya mahu
memberikan yang terbaik termasuk menjaringkan gol sekiranya mendapat
kepercayaan jurulatih," katanya.
No comments:
Post a Comment