expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 16 June 2012

Sahabat penggerak ke syurga


















Bersahabat itu tidak salah tetapi perlu tahu batasannya. - Gambar hiasan


Walaupun sahabat tidak mempunyai pertalian darah dengan anda, hubungan dengannya umpama saudara sendiri. Sahabat mengambil berat diri anda dalam berkongsi suka dan duka. Malah dia adalah orang yang setia dan sanggup berkorban untuk kebaikan anda. Dialah pendamping dan pencetus semangat tanpa mengira masa dan situasi.


Juara Ustazah Pilihan 2011, Firuz Akhtar Mohamad Bohari berkata, pilihlah sahabat yang berkualiti tinggi adalah seseorang yang mampu memberi manfaat dunia dan akhirat kepada kita.


“Apabila anda melakukan kesilapan, dia tidak segan silu menegur dan mengingatkannya. Bukannya sekadar senyap atau terus ‘membodek’ tanpa henti. Sahabat terbaik adalah seseorang yang apabila anda melihat wajahnya, anda teringatkan ALLAH; mendengar kata-katanya, bertambahlah ilmu anda; melihat gerak gerinya, anda teringat kematian yang mungkin menjemput bila-bila masa saja,” katanya kepada penulis.


Firuz Akhtar yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, sememangnya dalam hidup ini seseorang itu perlukan teman.


“Manusia mempunyai naluri untuk berteman. Seseorang tidak mampu untuk hidup seorang diri kerana rasa kesunyian itu pasti dirasai. Insan sememangnya perlukan sahabat ketika waktu senang dan susah,” katanya.


Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan persaudaraan golongan Muslimin dalam cinta dan kasih sayang sesama mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh menjadi turut merasa sakit; demam dan tidak boleh tidur.” (Riwayat Muslim)








Sahabat umpama jurulatih


Firuz berkata, seorang sahabat akan sentiasa berusaha untuk membantu dalam pembaikan diri. Dalam menuju kebenaran, sahabat akan menjadi pendamping yang setia dan bertindak sebagai jurulatih untuk memastikan anda sentiasa kuat dan istiqamah dalam melakukan kebaikan.


“Sahabat itu tidak akan berputus asa dalam membantu menuju ke arah kebaikan dan sentiasa memberikan contoh yang baik kepada kita,” katanya.


Namun kata Firuz Akhtar, bukan semua orang boleh bersahabat. Sahabat seperti ‘gunting dalam lipatan’ harus dijauhi. Yang paling merbahaya adalah seseorang yang ‘berlakon’ menjadi sahabat baik di hadapan anda dengan wajah dan ucapan yang manis, tetapi sebaliknya, dialah yang menikam dari belakang.


“Keikhlasan seseorang dalam persahabatan amat susah untuk dinilai tetapi sekurang kurangnya anda dapat mengenal kualiti seseorang sahabat ketika waktu kesusahan. Sahabat yang setia sanggup bersama-sama dalam waktu susah dan senang.


“Selain itu, sahabat yang mendorong untuk melakukan maksiat atau perkara yang sia-sia juga perlu dijauhi. Mungkin sahabat begini kelihatan menyeronokkan tetapi kemanisan bersahabat dengannya itu tidak lama dan palsu."


Malah persahabatan dengan orang seperti itu akan membawa bencana kepada anda, tambah Firuz Akhtar.


"Saya umpamakan sahabat jenis itu seperti rokok. Rokok kelihatan seperti sahabat paling setia bagi sesetengah orang tetapi rokok jugalah yang menjadi pembunuh dalam diam,” katanya.






Batasan dalam persahabatan


Setiap persahabatan pasti perlu berlandaskan syariat. Oleh itu kata Firuz Akhtar, sedalam mana pun persahabatan, perlu jaga batasannya.


“Sahabat memang rapat tetapi itu tidak bermaksud dia perlu mengambil tahu dan masuk campur dalam segala urusan orang lain. Ada garis panduan seorang sahabat yang perlu dijaga, pastikan ia tidak melangkaui hak keluarga dan pasangan hidup kita.


“Pergaulan dalam persahabatan itu tidak perlu pergi terlalu dalam, dan tidak boleh terlalu cetek, biarlah yang sedang-sedang sahaja,” katanya.


Untuk melihat ciri sahabat bagaimana perlu dimiliki boleh lihat contoh terbaik adalah Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Beliau adalah sahabat Rasulullah yang paling baik dan setia.


Penyokong Rasulullah dalam susah dan senang sehingga mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud membenarkan. Ketika Rasulullah bersembunyi daripada orang Quraisy yang memburunya di dalam Gua Hira’, Abu Bakar jugalah yang setia menemani Baginda. Rasulullah tidur di pangkuannya dan ketika itu Abu Bakar dipatuk ular.


Betapa kasihnya Abu Bakar kepada Baginda, dia tidak mengejutkan sahabatnya itu dan menahan saja kesakitan yang melanda. Apabila Rasulullah terasa titisan air mata di wajah, barulah Baginda menyedari bahawa sahabat itu dalam kesakitan. Subhanallah, betapa dalamnya kasih Abu Bakar kepada sahabatnya!


Marilah kita berusaha menjadi sahabat yang baik dan bermanfaat untuk dunia dan akhirat. Kesimpulannya, berkelakuan bijaklah dalam memilih sahabat kerana sahabat yang baik dapat membawa anda ke syurga. Jika tersilap pilih, mungkin sahabat boleh mendorong anda ke neraka pula.


“Sahabat juga adalah cerminan anda. Orang kata, jika mahu mengenali seseorang, lihatlah kawannya. Oleh itu, audit diri semula dan muhasabah kembali apa kriteria anda dalam memilih sahabat selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com