TERSALAH makan atau makan terlalu
banyak mungkin mengundang padah.
PADA satu hari selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,
penulis yang kebetulan berada di sebuah penempatan Felda dekat Triang diminta
menemani dua anak saudara untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah
sakit perut.
Sampai sahaja di sebuah klinik swasta di pekan Triang,
kelihatan ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan
rawatan, yang kebanyakannya mengadu sakit perut. Apa yang boleh menyebabkan
sakit perut? Itulah pertanyaan penulis kepada doktor di klinik berkenaan yang
mahu dikenali sebagai Dr. Vijay.
“Ada beberapa sebab. Kalau perut anda sakit, mungkin
disebabkan oleh apa yang anda makan atau minum.
“Mungkin kerana keracunan makanan atau anda telah makan dan
minum terlampau banyak. Makan dan minum terlampau banyak boleh menyebabkan anda
mengalami sakit perut,” kata beliau.
Kata Vijay, pada musim perayaan sebegini, ramai orang datang
ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan sakit perut.
GASTROENTERITIS adalah jangkitan di
usus dan ini menyebabkan berlakunya cirit-birit. - Gambar hiasan
Cirit-birit
“Mengambil makanan jenis berminyak, pedas atau berlemak
kadangkala boleh menyebabkan sakit perut atau tidak hadam.
“Ini biasanya masalah kecil yang akan hilang dengan sendiri.
Tetapi ia juga mungkin tanda bagi gejala kesihatan yang lain seperti refluks
gastroesophagus (pedih ulu hati), intoleran laktosa, ulser, sindrom iritasi
usus, jangkitan di usus dan kanser,” terang Vijay.
Ada yang berpandangan ia satu masalah yang remeh bila
melibatkan orang dewasa tetapi bagi bayi serta anak kecil, sakit perut boleh
menjadi satu masalah yang serius, kata beliau.
“Jadi usah teragak-agak untuk dapatkan perhatian dan bantuan
perubatan,” kata Vijay lagi.
Setelah pulang ke ibu kota beberapa hari selepas hari raya,
penulis bertemu pegawai perubatan kanan di sebuah pusat perubatan awam bagi
mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai sakit perut.
Menurut Dr. Robert Lim, sakit perut sedemikian dikenali juga
sebagai gastroenteriritis.
Ia boleh disebabkan jangkitan pada usus, disebabkan virus,
bakteria atau kuman yang lain.
“Anda mungkin kena episod yang kecil dengan cirit-birit.
Kalau ia lebih serius ia boleh disertai dengan demam, muntah dan sakit perut
yang boleh berlanjutan sehingga beberapa hari.
“Anda mungkin terkena jangkitan bakteria seperti E.coli atau
campylobacter kerana mengambil makanan dan minuman yang dah tercemar. Adalah
penting bagi mereka yang terkena jangkitan ini agar minum air dengan banyak
atau mengambil cecair rehidrasi sebagai mengganti cecair badan yang banyak
hilang kerana muntah dan cirit-birit,” kata beliau.
Menurut Lim, gastroenteritis adalah jangkitan di usus dan ini
menyebabkan berlakunya cirit-birit atau diarhea.
“Ada juga muntah-muntah, sakit di bahagian perut tetapi dalam
kebanyakan kes masalah akan hilang dalam masa beberapa hari. Ada juga kes yang
berlanjutan dan mengambil masa untuk baik,” kata Lim.
Ujar Lim, risiko utama dalam kes gastroenteritis adalah
dehidrasi di mana pesakit telah kehilangan cecair badan dengan banyak.
“Rawatan utama agar minum banyak air dan cuba hindari
dehidrasi.
“Anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan jika rasa
mengalami dehidrasi atau wujudnya simptom yang merunsingkan,” kata Lim.
Katanya, simptom dehidrasi kepada orang dewasa adalah
keletihan, pening, sakit kepala, kejang otot, mata yang tenggelam, mengeluarkan
kencing yang sedikit, mulut dan lidah rasa kering, lemah badan serta mudah
menjadi resah.
“Dehidrasi boleh jadi serius. Bila seseorang itu mengalami
dehidrasi yang teruk, beliau akan mengalami lemah seluruh badan, hilang punca,
degup jantung yang cepat dan selanjutnya koma.
MAKANAN berminyak boleh mengakibatkan
sakit perut. - Gambar hiasan
Kunyah
“Dehidrasi yang teruk adalah kes kecemasan perubatan dan
perlu rawatan dengan segera,” katanya.
Menurut Lim, selain daripada makan benda-benda yang
berminyak, pedas dan berlemak, gastroenteritis boleh disebabkan oleh stres
emosi atau masalah dalam sistem penghadaman seperti penyakit refluks
gastroesophagus (GERD), batu dalam hempedu, keradangan pankreas, ulser atau
kanser usus. "Kadangkala, tiada sebab yang boleh diperoleh,” kata beliau.
Lim juga menasihati perubahan gaya hidup dalam menangani
masalah sakit perut yang kerap.
“Ambil makanan secara sedikit dan kunyah makanan dengan baik.
Hindari tabiat merokok, ambil alkohol dan kafein serta minuman yang bergas,”
katanya.
Beliau juga menasihati agar mendapatkan rehat yang secukupnya
selain mengurangkan tekanan dalam hidup.
Bagaimana dengan merawat sendiri?
“Walaupun ada kes sakit perut atau gastroenteritis boleh
dirawat di rumah, anda perlu jumpa doktor jika berlaku kekerapan muntah, muntah
darah atau ada darah dalam najis serta kesukaran dalam menelan makanan.
“Anda perlu dapatkan rawatan jika ada kesakitan antara
bahagian dada dan pusat. Jumpalah doktor jika sakitnya berlanjutan selama
beberapa hari,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment