Ruam di tapak tangan juga adalah
gejala akibat serangan penyakit HFMD. - Gambar hiasan
JANGAN cemas kerana penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)
hanya menyerang kanak-kanak dan secara amnya ia tidak berbahaya," ulas
Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor ketika
ditanya adakah penyakit HFMD merupakan penyakit yang berbahaya ketika ini.
Bagaimanapun beliau yang ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur
baru-baru ini turut menyatakan, penyakit itu tidak begitu berbahaya sekiranya
ia dikesan pada peringkat awal.
Malah kebanyakan kes yang menyebabkan kematian disebabkan
kelewatan membawa mangsa mendapatkan rawatan. Apabila lambat dirawat ia boleh
menyerang otak atau saraf tunjang kanak-kanak tersebut.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda seperti
demam, batuk dan selesema yang diikuti dengan ulser di tangan, kaki dan dalam
mulut, pesakit hendaklah segera dibawa berjumpa doktor.
Ini kerana, penyakit yang mudah merebak melalui air liur,
sentuhan dan juga najis itu merupakan penyakit berjangkit yang mampu dan mudah
merebak dalam tempoh amat singkat.
Jelas Dr. Azam, HFMD merupakan demam virus yang disebabkan
dua jenis virus utama iaitu coxsackie dan enterovirus.
Tambah beliau, antara kedua-dua virus tersebut, HFMD lazimnya
disebabkan oleh coxsackie dan ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur 10
tahun ke bawah.
Meskipun penyakit ini boleh dikategorikan sebagai tidak
begitu berat, namun ia boleh mencapai tahap wabak.
Manakala kematian selalunya berlaku ke atas kanak-kanak yang
mengalami kehilangan air dalam badan ekoran penyakit tersebut.
Pada masa yang sama, kes kematian akibat penyakit itu juga
disebabkan oleh enterovirus 71 yang berpunca daripada manusia.
Selain itu, Dr. Azam menyatakan bahawa HFMD bukan hanya
berjangkit menerusi kanak-kanak tetapi ia juga boleh berlaku antara kanak-kanak
dengan orang dewasa.
"Orang dewasa yang membawa virus ini mungkin tidak
mengalami sebarang simptom HFMD atau demam. Namun mereka masih boleh membawa
jangkitan tersebut kepada kanak-kanak.
"Oleh itu, orang dewasa perlu terlebih dahulu menjaga
kebersihan diri dengan mengikut langkah-langkah perlu sebelum menyentuh,
mencium atau memegang anak-anak mereka," katanya.
Walaupun jangkitan penyakit ini masih terkawal ketika ini tetapi
kata Dr. Azam, aspek kebersihan perlu diberi perhatian bagi mengelak ia merebak
lebih teruk.
Katanya, walaupun tidak semua orang akan mendapat penyakit
ini tetapi setiap individu pastinya akan 'diserang' penyakit itu sekali seumur
hidup.
No comments:
Post a Comment