SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan
ayatnya berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah.
Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah
terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh orang yang
mengingkari kedatangan hari kiamat.
Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang
diperoleh oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini
sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:
* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur
termasuk Mujahid dan Qatadah.
* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.
* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.
Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu
waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat
disebut? (al-Insan: 1)
Perkataan insan di sini ada dua pendapat:
* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40
tahun di mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah
pendapat jumhur ulama.
* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu
Juraij.
Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini
satu batas waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut
disebutkan.
Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang
dibentuk daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak
diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian
ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut disebutkan.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan
tentang manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah
menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.
Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini
merupakan pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa
seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia tahu
bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana dia belum
lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut?
Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya?
Kemudian tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya
tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan cahaya
lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut setelah
selama ini tidak pernah disebut-sebut.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia
daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan
perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat.
(al-Insan: 2)
Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak
Adam dan perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita
yang akhirnya terbentuk menjadi manusia.
Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan
manusia daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air
perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab apabila dia
telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat mendengar ayat-ayat
dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya
pendengaran dan penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan
ketaatan dan juga kemaksiatan.
Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah
sperma lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu
beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu keadaan
berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.
Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat
penciptaan, pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai
‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul daging)
dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang). Kemudian
tulang-temulang itu dibungkus daging.
Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu
dia berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia berada
dalam kesusahan.
Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia
diciptakan oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur.
Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan
untuk diuji dan dicuba.
Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah
ujian yang akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah
mahu menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan
kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut natijah
ujian yang dilaluinya.
Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar
dan melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat
menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda dan
nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat melalui ujian
itu mengikut pilihannya.
No comments:
Post a Comment