SEORANG doktor (kiri)
bersedia untuk menjalankan prosedur berkhatan ke atas seorang ahli parlimen di
dalam sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan Parlimen di
Harare, Zimbabwe kelmarin.
HARARE - Seramai 44 orang ahli parlimen Zimbabwe mengambil
bahagian dalam majlis bersunat secara beramai-ramai semalam sebagai sebahagian
daripada kempen kesedaran HIV/AIDS.
Dalam satu perpaduan politik yang jarang berlaku, ahli
parlimen daripada parti ZANU-PF pimpinan Presiden Robert Mugabe dan ahli parti
pembangkang MDC berbual-bual ketika mereka beratur di luar sebuah klinik
sementara yang didirikan di luar bangunan parlimen.
Pengerusi Ahli Parlimen menentang Aids, Blessing Chebundo
memberitahu tindakan itu dibuat bagi menggalakkan rakyat untuk turut bersunat.
Chebundo merupakan individu pertama menjalani prosedur yang mengambil masa
selama sepuluh minit itu.
Pengarah Unit Aids dan TB, Kementerian Kesihatan dan
Kebajikan Kanak-Kanak Zimbawe, Dr. Owen Mugurungi memuji semua ahli parlimen
yang terlibat.
Penyelidikan UNAids dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)
menyatakan bersunat boleh mengurangkan risiko penyebaran HIV dan Aids sehingga
60 peratus.
Lebih sejuta penduduk Zimbabwe dikatakan HIV positif dengan
sekitar 500,000 orang menerima rawatan anti-retroviral. - Agensi
No comments:
Post a Comment