KUALA
TERENGGANU – Jabatan Warisan Negara akan membuat laporan lengkap terlebih
dahulu berhubung penemuan artifak dipercayai berusia 100 tahun di perairan
Pulau Bidong, Terengganu, sebelum memutuskan untuk kajian lanjut.
Pegawainya, Ruzairy Arbi berkata, keputusan akan diketahui dalam masa terdekat ini sebaik semua laporan berhubung perkara itu disiapkan kerana maklumat menyeluruh perlu diambil terlebih dahulu.
“Buat masa
sekarang kita telah meminta kerjasama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut untuk mengelak berlakunya pencerobohan di
kawasan tersebut.
“Ini kerana
kita bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab akan pergi ke kawasan itu sebaik
laporan di media melaporkan mengenai penemuan ini, kerana mungkin mereka
beranggapan akan menemui barangan berharga seperti emas,” katanya.
Beliau
berkata demikian ketika hadir melihat sendiri sebahagian barangan ‘lama’ di
Muzium Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru orang ramai atau individu tertentu, agar segera melaporkan kepada pihaknya atau Lembaga Muzium Negeri untuk tindakan lanjut dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Sebolehnya barangan tersebut (artifak) dibawa naik ke darat oleh orang yang benar-benar pakar bagi memastikan tekstur dan kedudukan bahan itu tidak terusik bagi memudahkan kajian mengenai penemuan itu dilakukan,” katanya.
Ruzairy juga tidak menolak kemungkinan bahan tembikar seperti tempayan, takar dan pasu yang ditemui itu berusia lebih 100 tahun dan berdasarkan corak ia mungkin datang dari Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam kenyataannya kepada media kelmarin mengakui penemuan barang-barang purba itu merupakan sesuatu yang menarik untuk dikaji bagi menentukan nilainya sebenar.
“Saya dimaklumkan sekumpulan penyelam menemui barangan itu bertaburan di dasar laut dan kita harap ia dikaji oleh pihak berkaitan supaya dapat memastikan dengan lebih jelas dari mana datangnya, dan usia artifak tersebut sebelum dipamerkan untuk tatapan umum di muzium,” katanya.
No comments:
Post a Comment