SELEPAS berjaya menjulang Piala FA, Kelantan kini berhajat
memburu gelaran Liga Super pula.
Demikian tegas kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi
selepas membantu pasukannya meraih ge laran juara Piala FA malam kelmarin.
Menurutnya, untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super,
dia mahu rakan- rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh pada aksi liga selepas
ini.
Pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam
kelmarin, Kelantan menewaskan Sime Darby 1-0 menerusi sepakan penalti penyerang
importnya, Muhamad Ghaddar pada minit ke-58.
Badhri mahu kemenangan tersebut akan menjadi motivasi terbaik
buat mereka untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.
“Kami puas apabila berjaya menjulang Piala FA pada edisi
tahun ini. Ia merupakan sasaran utama kami terutama selepas gagal dalam dua
percubaan sebelum ini.
“Kami mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang begitu banyak
memberikan sokongan kepada kami.
“Namun, kami tidak boleh leka selepas muncul juara Piala FA,
sebaliknya kami harus meneruskan kerja keras bagi mengekalkan momentum ini
untuk mempertahankan status sebagai juara Liga Super,” katanya ketika ditemui
selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Pada dua penampilan di pentas akhir Piala FA sebelum ini,
Kelantan dikecewakan Selangor pada 2009 yang menyaksikan mereka tewas selepas
penentuan sepakan penalti.
Pada musim lalu pula, mereka dikecewakan oleh Terengganu pada
perlawanan akhir.
“Ini sejarah baharu buat pasukan Kelantan. Memang puas
selepas impian menjulang Piala FA sudah tercapai dan ia cukup bermakna kepada
semua pemain,” katanya.
No comments:
Post a Comment