KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun semalam.
HONG KONG - Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan
beberapa tempat lain di timur Asia semalam untuk melihat fenomena gerhana matahari
cincin yang jarang berlaku.
Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat
seketika ekoran cuaca mendung.
Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di
sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat
melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus
selepas matahari terbit.
"Awan beredar dan sinaran matahari menyinari permukaan
air, ia amat cantik," kata Kurator Muzium Angkasa Lepas Hong Kong, Chan
Ki-hung.
Gerhana berkenaan dapat dilihat dengan lebih jelas di
beberapa bahagian lain di China, Jepun dan Filipina apabila matahari kelihatan
seperti sebentuk cincin kerana dihalang oleh bayang bulan.
"Ia seperti sebentuk cincin. Gerhana itu menyebabkan
saya terkenang saat-saat melamar isteri saya pada suatu masa dahulu," kata
Shigeru Seo yang menyaksikan gerhana itu bersama isterinya di Teluk Shiono,
barat Jepun.
Keajaiban alam tersebut dapat dilihat di sepanjang pantai
Jepun termasuk Tokyo, Nagoya dan Osaka.
Di kebanyakan kawasan di Jepun fenomena itu mencatatkan
sejarah apabila gerhana matahari cincin berkenaan merupakan yang pertama
dilihat oleh penduduk tempatan sejak 932 tahun dahulu.
Selain Jepun, keajaiban alam itu turut disaksikan oleh
berjuta-juta penduduk di rantau Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).
Gerhana cincin berlaku apabila bulan melintasi matahari
tetapi berada terlalu jauh dari Bumi untuk 'menenggelamkan' keseluruhan bayang
matahari.
Kedudukan tersebut menyebabkan matahari kelihatan seperti
cincin berapi.
Kali terakhir gerhana matahari cincin yang juga disebut
gerhana matahari anulus berlaku di sini adalah pada tahun 1958.
Penduduk di sini ini perlu menunggu hingga tahun 2320 untuk
menyaksikan gerhana matahari cincin seterusnya.
Gerhana itu berlaku petang kelmarin mengikut waktu AS.
"Ia mengagumkan," kata seorang pelajar, Marcos
Dopoto di Albuquergue, New Mexico.
Imej seperti cincin itu dapat dilihat selama lima minit di
beberapa kawasan di dunia. - Agensi
No comments:
Post a Comment