expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 23 May 2012

Elak ibu hamil maut




SETIAP wanita hamil berharap untuk mendapatkan bayi yang sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi ketika bersalin. Namun hakikatnya setiap tahun, kira-kira 350,000 remaja perempuan dan wanita mati disebabkan kehamilan dan hampir semua kematian ini iaitu 99 peratus berlaku di negara membangun. 


Malah hampir 10 juta daripada mereka yang hidup akan mendapat jangkitan penyakit serta ketidakupayaan yang teruk. Bagi kelahiran bayi pula, kira-kira tiga juta meninggal dunia setiap tahun dan mengikut data terkini pada 2004, 3.7 juta daripadanya meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan atau dalam bulan pertama. 


Menyedari peningkatan jumlah kematian wanita setiap tahun, bersempena Hari Ibu minggu lalu, Tabung Pertubuhan Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menjalankan kempen memberi kesedaran kepada semua ibu mengenai penjagaan kesihatan serta pemakanan bagi ibu hamil sekali gus mengurangkan kadar kematian di seluruh dunia. 


Bermula 1 hingga 30 Mei ini, Unicef menjalankan kempen digital mini bagi memberi pendedahan kepada semua ibu hamil terutama di Malaysia mengenai pentingnya menjalani kehidupan sihat. 


Ini merujuk kepada salah satu kajian Unicef yang melaporkan penyebab utama kematian bayi atau dilahirkan terlalu awal dengan berat yang sangat rendah berpunca daripada kesihatan ibu termasuk penyakit yang tidak dirawat sebelum atau ketika mengandung. Selain itu, pendarahan berlebihan atau aliran darah yang tidak normal turut menjadi punca kepada kelahiran pramatang yang membawa kepada kematian. 


Bagi remaja pula, ada yang tidak mampu melahirkan bayi secara normal disebabkan saluran peranakan sempit dan kurang sempurna berpunca daripada pemakanan tidak sihat. 


Malah ada di kalangan mereka melakukan pengguguran tidak selamat dalam persekitaran kotor dengan tidak merujuk kepada pakar. Jumlah ini meningkat setiap tahun iaitu kira-kira 20 juta kes berlaku di seluruh dunia. 


Masalah sepsis iaitu sejenis jangkitan penyakit yang berlaku dalam tempoh berpantang turut menyumbang kepada kematian wanita. Gangguan eklampsia dan hipertensi iaitu komplikasi tekanan darah, juga boleh menyebabkan sawan dan kematian bagi wanita hamil sebelum, semasa atau selepas melahirkan anak. 


Dalam hal ini, kerajaan bertanggungjawab memastikan setiap wanita mengetahui mengenai penjagaan kesihatan termasuk sebelum dan selepas bersalin, jururawat atau pembantu perubatan mempunyai kemahiran membantu ketika bersalin, penjagaan khas dan perkhidmatan rujukan sekiranya berlaku masalah serius serta perlindungan ketika mengandung di tempat kerja. 


Kebanyakan negara di dunia menyertai Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita serta memeterai perjanjian antarabangsa mengenai perlindungan bersalin serta menggubal undang-undang mengenai perlindungan ketika melahirkan anak. 


Perjanjian ini membabitkan isu dalam mempertahankan hak wanita termasuk komitmen menyediakan wanita hamil dengan perkhidmatan kesihatan dan perlindungan di tempat kerja. Namun kebanyakan wanita termasuk remaja, mengakui kesukaran mendapatkan kesihatan berkualiti disebabkan faktor kemiskinan, jarak di antara rumah dengan hospital terlalu jauh, kurang maklumat serta perkhidmatan yang kurang cekap dan efisien. 


Dalam hal ini, peranan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan berasaskan komuniti, bertanggungjawab menangani isu berkaitan wanita bagi memastikan golongan ini mendapat kualiti penjagaan kesihatan yang baik dan sempurna. 



Walaupun tiada peluru ajaib yang dapat menyelesaikan masalah kesihatan, sebahagian besar kematian ibu dan bayi boleh dielakkan melalui langkah pencegahan seperti:
 
  •   Memastikan wanita mendapatkan kesihatan yang baik sebelum hamil.
  •   Memenuhi rutin rawatan setiap bulan dan dilakukan pakar sekurang-kurangnya empat kali ketika mengandung.
  •   Kelahiran dibantu oleh atendan dan jururawat yang mempunyai kemahiran dalam dalam perbidanan.
  •   Pusat kesihatan, klinik atau hospital mempunyai penjagaan yang khusus jika terdapat komplikasi ketika bersalin.
  •   Ibu dan bayi perlu diperiksa secara berkala dalam tempoh 24 jam selepas bersalin, pada minggu pertama dan sekali lagi enam minggu selepas bersalin.
  •   Wanita hamil dan rakan yang menghidap HIV positif harus mendapatkan khidmat kaunseling untuk mengurangkan risiko berjangkit kepada bayi ketika mengandung, melahirkan anak, menyusukan bayi dan ketika menjaga bayi mereka.
  •   Mengelak daripada dadah, alkohol, merokok serta bahan kimia kerana tidak baik untuk ibu dan bayi.
  •   Seorang kanak-kanak berisiko tinggi mendapat penyakit apabila seorang ibu meninggal dunia. Bukti menunjukkan bayi yang kehilangan ibu dalam tempoh enam minggu pertama cenderung meninggal dunia sebelum mencapai usia dua tahun. Ini kerana kematian seorang ibu memberi kesan kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan anak-anak.

Ramai kanak-kanak yang hidup tanpa ibu akan mengalami gangguan emosi. Dalam pada itu, ada wanita yang mengalami kecederaan, jangkitan penyakit dan kurang upaya seperti fistula yang menyebabkan penderitaan sepanjang hayat ketika melahirkan anak.


Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan ibu dan bayi menerusi:
 
  •   Perancangan keluarga, kaunseling, perkhidmatan dan bekalan makanan sihat.
  •   Penjagaan berkualiti sebelum, semasa mengandung dan melahirkan anak iaitu penjagaan antenatal, kemahiran ketika melahirkan anak, termasuk obstetrik kecemasan dan penjagaan neonatal serta penjagaan selepas bersalin untuk ibu dan bayi yang baru lahir.
  •   Mendapatkan perkhidmatan pengguguran yang selamat.
  •   Di tempat kerja ibu harus mempunyai ruang menyusukan bayi mereka atau menjalani proses mengepam susu.


Dalam hal ini setiap negara harus mempunyai sistem yang berfungsi bagi menyalurkan rawatan kesihatan yang baik, memiliki tenaga kerja terlatih, bermotivasi, boleh memberikan perkhidmatan kesihatan berkesan, selamat dan berkualiti kepada semua penduduk seterusnya menghalang kematian ketika melahirkan anak. 


Setiap negara di dunia perlu mengutamakan dan menyokong ketiga-tiga strategi, dalam konteks komitmen global untuk memperkukuhkan sistem kesihatan, merealisasikan hak asasi manusia dan mengutamakan keperluan golongan miskin dan terpinggir.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com