JANGAN terpengaruh dengan makanan tambahan atau suplemen yang
memberi kesan segera kerana ia mungkin mengandungi bahan aktif yang merangsang
otak.
Bahan aktif seperti itu memberi kesan segar, membuat badan
berpeluh dan bertenaga pada percubaan kali pertama. Ini menjadikan pengguna
teruja untuk membeli.
Taktik sedemikian banyak diguna pakai dalam penghasilan
makanan tambahan kerana membantu melariskan produk.
Setelah digunakan banyak kali kesan positif tersebut akan
bertukar menjadi negatif.
Rasa segar mula digantikan dengan mengantuk dan lesu.
Seseorang mungkin berasa moodnya merosot atau tidak selesa dengan penggunaan
ubat itu.
Ada yang mengadu menjadi semakin gemuk setelah berhenti
menggunakan suplemen sebegitu.
Biasanya bahan yang dicampur adalah ubat jenis sibutramine
yang mempunyai pelbagai kesan sampingan.
Sibutramine digunakan sebagai ubat diet kerana ia merangsang
saraf pada otak supaya berasa kenyang.
Ia juga meningkatkan pengeluaran hormon adrenalin dari
kelenjar adrenal yang menjadikan paras hormon seseorang itu tinggi. Peningkatan
paras hormon itu membuatkan seseorang berasa panas, mudah berpeluh dan membakar
lemak.
Namun rangsangan begitu akhirnya merosakkan kelenjar hormon.
Apabila terlalu lama mengambil bahan terbabit, kelenjar tidak mampu lagi
mengeluarkan hormon yang banyak. Akibatnya seseorang akan menjadi lebih gemuk
daripada asalnya.
Untuk membaik pulih masalah kerosakan kelenjar hormon sangat
sukar. Ia mengambil masa yang lama dengan meningkatkan nutrisi tertentu.
Pulih bukan kawal
Sememangnya menjadi amalan dalam dunia perubatan untuk
menggunakan ubat-ubatan bagi mengawal penyakit yang boleh merosakkan tubuh.
Sebagai contoh seseorang yang mengidap darah tinggi dirawat
dengan ubat darah tinggi bagi menurunkan tekanan.
Rawatan itu bagi mengelak penyakit darah tinggi membawa pula
kepada strok, masalah jantung dan merosakkan organ-organ seperti buah pinggang
dan mata.
Seseorang yang gemuk pula dirawat menggunakan ubat-ubatan dan
suplemen tertentu supaya mereka yang gemuk tidak didatangi masalah jantung dan
kolestrol.
Setiap rawatan membolehkan simptom dikawal sedangkan
pemulihan pula bermakna menghilangkan penyakit dengan membaiki permasalahan
dari akar umbi.
Pengidap darah tinggi apabila pulih tidak perlu makan ubat.
Seseorang yang pulih dari masalah kegemukan atau obesiti juga tidak perlu makan
ubat setelah sembuh.
Justeru aspek pemulihan merupakan sesuatu yang penting dan
sebab itu ia diperjuangkan oleh pakar antipenuaan.
Bagi membolehkan sesuatu penyakit itu dipulihkan, puncanya
perlu dikesan. Darah tingi mungkin disebabkan oleh masalah hormon yang tidak
stabil, atau kekurangan magnesium dalam darah.
Bagi menstabilkan hormon kita boleh menggunakan bioidentikal
hormon atau mengubah cara pemakanan dan mengamalkan aktiviti senaman yang
memulihkan hormon.
Ternyata nutrisi dalam makanan amat penting bagi membantu
pembentukan hormon dalam tubuh kita.
Hormon serotonin misalnya penting dalam otak kita. Ia
menimbulkan mood yang baik, rasa gembira dan kepuasan dalam jiwa selain
mengawal tekanan darah agar stabil.
Serotonin dihasilkan daripada asid amino jenis tryptophan.
Mereka yang kurang tryptophan mudah mendapat masalah stres, murung dan tekanan
darah yang tinggi.
Pengambilan makanan yang kaya dengan tryptophan, niacin dan
amalan senaman serta gaya hidup aktif turut membantu meningkatkan paras hormon
ini.
Oleh itu, obesiti boleh dirawat dengan cara meningkatkan
aktiviti hormon metabolik. Kelenjar hormon harus dipastikan aktif semula dengan
membekalkan nutrisi yang diperlukan.
Kelenjar tiroid memerlukan mineral seperti selenium dan
vitamin B untuk membolehkannya kekal berfungsi dengan baik.
Apabila kelenjar ini aktif di tahap optimum seseorang akan
merasa lebih gembira dan segar kerana tubuh boleh memproses lemak kepada
tenaga. Pada masa inilah seseorang berjaya untuk kurus semula.
Dengan kata lain, pemulihan dilakukan dengan cara membaiki
punca sesuatu penyakit.
Kencing manis boleh disembuhkan dengan cara membaik pulih
fungsi pankreas. Kita membekalkan nutrisi yang diperlukan seperti chromium dan
vitamin B12.
Stimulasi insulin dilakukan dengan teknik tertentu seperti
amalan hypoglycemic diet. Dengan teknik ini kita mengambil makanan yang tidak
meningkatkan paras gula dalam darah.
Hasilnya paras insulin akan sentiasa stabil membolehkan
rintangan insulin di atasi dan seseorang akan berjaya sembuh dari kencing
manis.
Hormon calsitonin misalnya digunakan bagi mengatasi masalah
tulang. Tulang menjadi semakin muda dan padat semula dengan adanya hormon tersebut.
Pengetahuan dalam sains antipenuaan membolehkan kita menjaga
kesihatan dengan lebih baik.
Masalah yang berkait dengan penuaan seperti dementia, pelupa,
tekanan perasaan dan sakit tulang dapat diatasi.
Bagi mereka yang mahukan keterangan lanjut mengenai rawatan
berasaskan hormon dan antipenuaan boleh sertai bengkel sihat, cergas dan ceria
dengan menghubungi 03-8723 4808 atau 013-2448484.
No comments:
Post a Comment