TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah
terkenal serta berpengaruh di Asia Tenggara yang lahir dengan nama Haji Abdul
Malik Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.
Ketika berusia 16 tahun, Hamka merantau ke Jawa. Di sana
beliau menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM
Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.
Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936 Hamka
berpindah ke Medan. Di sana beliau memulakan karier keulamaannya dan menulis
banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.
Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang
berandangan sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majlis Ulama Indonesia (MUI)
ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.
Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari
Jumaat, 24 Julai 1981.
Mahir dengan sendiri
Hamka tidak pernah mendapat pendidikan rasmi. Beliau belajar
agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit Tinggi) serta
daripada keluarganya.
Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa. Hamka mampu
membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.
Dunia antarabangsa mengakui kemahirannya dalam bidang
keislaman yang diperoleh dengan cara belajar sendiri.
Beliau memperoleh gelaran Doktor Kehormat dari Universiti
al-Azhar, Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung
Hamka ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).
Beliau menyiapkan tafsir al-Quran itu ketika dipenjarakan
selama beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.
Ulama sederhana
Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh
semua pihak. Di kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya yang
menyejukan hati dan mampu menaikkan semangat. Sebagai tokoh pembaharuan, beliau
menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama, terutama di Minangkabau,
seperti pola hubungan kekeluargaan yang bersifat matriarki (berdasarkan kuasa
ibu).
Ulama pujangga
Hamka juga dikenal sebagai pengarang novel. Beliau pernah
diberi nama julukan "Kiai Novel" kerana kegiatannya yang dianggap
menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan itu
berubah menjadi "Ulama Pujangga".
Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah
Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli,
Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.
Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam
pelbagai bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keislaman.
Muhammadiyah
Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan
Hamka aktif dalam organisasi itu. Beliau beberapa kali memangku jawatan sebagai
pemimpin Muhammadiyah , antaranya Majlis Konsul Muhammadiyah di Sumatera Tengah
(1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan anggota pemimpin pusat
Muhammadiyah (1953). Sejak 1971 beliau dilantik sebagai penasihat pemimpin
pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama Hamka diabadikan sebagai nama
pusat pengajian tinggi kepunyaan Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti
Hamka.
No comments:
Post a Comment