expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 22 May 2012

Yathrib bandar penjana ekonomi


Awal hijrah Baginda dan sahabat, pilihan yang ada hanya pasar dikuasai Yahudi, lalu Nabi SAW membina pasar baru sebagai tapak aktiviti ekonomi masyarakat Islam Madinah.


Nabi SAW bersabda; “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan mendoakan penduduknya dan sesungguhnya aku mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim telah mengharamkan Makkah. Dan sesungguhnya aku juga berdoa agar setiap sha` dan mudnya diberkahi dua kali ganda dari yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Makkah.” (Riwayat Abdullah bin Zaid bin Ahimra, Sahih Muslim hadis no. 2422).


Mungkin ramai tidak menyedari bahawa penda’i-penda’i Islam adalah ahli pemasar yang terbukti terbaik di dunia! Mereka memasarkan agama yang tidak dapat disentuh dan dilihat tetapi hanya boleh dirasai oleh akal dan qalbu.


Bayangkan agama yang terakhir diwahyukan kepada Nabi Muhammad, seorang yang tidak tahu menulis dan membaca, memasarkan agama ini bersama sahabat Baginda sehingga menjadi agama yang paling luas berkembang.


Yathrib sebuah penempatan yang diduduki bani tempatan, iaitu Aus dan Khazraj yang kemudiannya dikenali sebagai kaum Ansar ketika penghijrahan Nabi bersama Muhajirin. Kaum Ansar kebanyakannya menjalankan aktiviti sebagai petani dan penternak manakala pendatang di Yahtrib yakni kaum Yahudi, iaitu bani Qainuqa’, Nadhir dan Quraizah menguasai ekonomi di sana ketika itu.


Mereka mempunyai kuasa kewangan, politik dan kemajuan yang melebihi keupayaan penduduk tempatan. Oleh itu, tidak hairanlah kaum Aus dan Khazraj sentiasa tertindas serta menanggung hutang kepada kaum Yahudi.


Memecahkan monopoli Yahudi


Penghijrahan Nabi mendapat sambutan penduduk Yathrib kecuali kaum pendatang Yahudi. Nabi bersama-sama sahabat ketika di Yathrib berdakwah secara terbuka, namun itu tidak menghalang Baginda dilantik sebagai pemimpin di sana serta mematuhi segala keputusan yang dibuat Baginda. 


Malah bukan sahaja sikap mereka yang berubah, mereka berjanji akan mempertahan Yathrib bersama Nabi dari sebarang ancaman. Yathrib kemudian ditukar nama Madinah.


Nabi Muhamad SAW merubah sikap dan gaya hidup Arab Madinah. Mereka mulai bersederhana dalam semua perkara dan menghargai nilai-nilai disiplin hidup. Kegiatan bersosial minum arak dan berjudi mula ditinggalkan.


Apabila ini berlaku, ia mendatangkan kesan penguncupan hasil pendapatan dari bunga yang tinggi dan secara langsung pegangan kuasa ekonomi kaum Yahudi di Madinah makin lemah. Sistem eksploitasi dan kapitalis kaum Yahudi semakin terancam. Islam dilihat sebagai ancaman kepada penguasaan mereka.


Pada peringkat awal hijrah Baginda dan sahabat, pilihan yang ada hanya pasar yang dikuasai Yahudi sahaja dan kaum Islam terpaksa berdepan sistem ekonomi bertentangan dengan Islam.


Strategi ekonomi Nabi


Ketika menghadapi pasaran yang dikuasai sepenuhnya Yahudi, atas sebab-sebab syarie dan taktikal, Nabi SAW membina pasar baru sebagai tapak aktiviti ekonomi masyarakat Islam Madinah dan mengamalkan konsep pasaran terbuka kepada orang luar. Pasar tersebut dimiliki dan diurus oleh masyarakat Islam Ansar dan Muhajirin. Corak niaga dan kondisi pasar diawasi mengikut tuntutan ditetapkan Nabi.


 Ada beberapa perkara yang diambil kira sebelum Nabi SAW membuka pasar baru itu. Antara isunya ialah;

1. Network peniaga Yahudi menguasai barangan keperluan di Madinah. Mereka memonopoli pasaran di sana.
2. Peniaga Islam akan hadapi tekanan kepada saingan harga kerana barangan niaga ketika itu kebanyakannya diperoleh daripada rangkaian peniaga Yahudi. Harga di pasar baru sudah tentu hilang daya saing.

Namun, Nabi SAW sebagai rahmat diutus ALLAH sentiasa bijak dan perinci dalam perancangan. Nabi tahu masyarakat Islam ada kekuatan sendiri iaitu:

1. Pasaran sedia ada yakni pelanggan masyarakat Islam.
2. Larangan dan perintah dalam agama Islam seperti riba atau penipuan.
3. Masalah harga di atasi dengan kebijaksanaan sesama peniaga.

Masyarakat Islam di Madinah menjadi pasaran sedia ada kepada rangkaian peniaga pasar baru ini. Kaum Ansar dan Muhajirin serta gabungan potensi pasaran telah memberi keyakinan kepada aliran ekonomi dalam masyarakat Islam.


Ia memberi kepuasan kepada pengunjung pasar dan secara langsung membuka pintu kepada potensi pasaran baru penduduk bukan Islam di Madinah.


Idea ekonomi Abdul Rahman Auf


Walaupun peniaga Islam menghadapi saingan harga, namun mereka atasinya dengan mengetepikan sifat tamak dan berpegang kepada kesabaran. Faktor keuntungan dikompromi.


Contoh terbaik ialah Abdul Rahman Auf r.a yang mementingkan kuantiti dalam menjual barangan beliau pada harga modal, di samping kualitinya terjamin.


Kuantiti mempengaruhi aliran barangan dan kewangan, seperti beliau pernah mengambil langkah menjual unta dan kuda yang berkualiti pada harga belian manakala mengambil tali kekang untuk diniagakan berasingan bagi memperoleh keuntungan. Saingan dalam ekonomi Islam di atasi dengan bijaksana.


Jelas agama Islam punya segala resipi untuk berjaya. Rahsia yang membezakan pencapaian ekonomi mereka adalah ketaatan pada perintah dan larangan ALLAH dan Rasul serta kebijaksanaan yang mereka gunakan sepenuhnya.


Wajar kita kembali kepada jalan Nabi dan para sahabat dalam meraih kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com