Tuala wanita kitar semula.
Sebelum
terciptanya tuala wanita, sebahagian besar wanita menggunakan lipatan kain
ketika haid sebagai satu-satunya alternatif. Kain tersebut kemudiannya dibasuh
dan digunakan semula.
Bagaimanapun, pada hari ini mungkin tiada anak gadis mahupun wanita yang selesa atau mahu meneruskan tradisi tersebut.
Sebaliknya, tuala wanita pakai buang menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diurus.
Bagi meneruskan tradisi itu, Blu Cotton (M) Sdn Bhd (Blu Cotton) mempopularkan semula pemakaian tuala wanita kitar semula. Pengasasnya, Anja Juliah Abu Bakar berkata, kitar semula itu bermaksud tuala wanita itu boleh dibasuh, dikeringkan dan diguna semula untuk sesuatu jangka masa yang lama.
Menurutnya, idea utamanya ialah mengurangkan pembuangan tuala wanita pakai buang seterusnya memulihara alam sekitar.
“Di negara Eropah, wanita mereka telah lama menggunakan tuala wanita yang boleh di kitar semula.
“Ia bukan lagi menjadi suatu perkara asing malah produk tersebut kini telah mendapat perhatian yang meluas,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian di Shah Alam, baru-baru ini.
Penggunaan mudah
Beliau berkata, tuala wanita kitar semulanya itu dimodenkan selari dengan perkembangan teknologi terkini. Tuala wanita kitar semula Blu Cotton ada beberapa jenis fabrik seperti kapas flannel, bamboo fleece, micky, dan mikrofreez.
Namun begitu, katanya, fabrik bamboo fleece mendapat permintaan paling tinggi kerana kuasa penyerapannya yang lebih baik.
“Bamboo fleece adalah fabrik yang anti mikro bakteria yang bermaksud keistimewaan dalaman buluh itu sendiri yang lebih bersifat mesra alam,” katanya.
Menurutnya, setiap bamboo fiber mempunyai saluran penyerapan di mana si pemakai akan sentiasa berasa kering dan selesa dan paling penting ia tidak meninggalkan bau.
“Penyerapannya adalah sehingga lima kali ganda lebih baik berbanding kain kapas. Jadi, pengguna memang sentiasa akan berasa kering dan penjagaannya juga sungguh mudah,” katanya.
Menurut Anja, tuala wanita kitar semula Blu cotton didatangkan dalam pelbagai rekaan, warna dan corak yang menarik. Terdapat empat jenis saiz iaitu overnight, heavy, medium, small dan pantyliner.
Katanya, sejak terlibat dalam industri ini sejak tiga tahun lalu, sebanyak 5,000 keping sudah terjual.
“Kini, hampir 80 peratus pasaran adalah di dalam negara. Nampaknya masyarakat kita semakin terbuka akan penggunaan tuala wanita kitar semula ini,” katanya.
Menurutnya, penggunaan tuala wanita kitar semula ini adalah sama seperti pemakaian tuala wanita pakai buang. Pengguna hanya perlu ikut cara biasa seperti yang selalu digunakan ketika memakai tuala wanita pakai buang.
“Jika dalam masa dua jam berasa tidak selesa, maka tukarkannya,” katanya sambil menyarankan agar setiap individu mempunyai hampir enam keping tuala wanita kitar semula ini bagi memudahkan urusan pertukaran.
Kos fabrik
Anja berkata, apa yang membanggakan dengan pemakaian tuala wanita kitar semula ini adalah apabila dapat menjaga kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, katanya, awal Mei lalu, Blu Cotton memperkenalkan Pantyliner Casing supaya memudahkan kepada pengguna membawa keperluan mereka itu di dalam beg. Dalam pada itu, beliau berharap pada masa hadapan dapat mengembangkan lagi pengeluaran seterusnya membantu mengurangkan kos fabrik.
“Hal ini kerana, fabrik biasanya diimport dari Amerika Syarikat dan kosnya adalah sangat tinggi.
“Jadi, sekiranya kami dapat mengembangkan lagi pengeluaran, maka secara tidak langsung, kami dapat merendahkan lagi kos untuk pengguna,” katanya.
Kini, tuala wanita kitar semula boleh didapati dengan harga RM20 hingga RM30 sekeping manakala pantyliner pula berharga RM14 sekeping. Untuk maklumat lanjut boleh sertai akaun Facebook di blucotton atau e-melkan di blucotton@gmail.com.
satu idea yang bagus..so makin ramai yang prihatin jaga kebersihan dan tiada lagi pad yang pakai buang dibuang merata-rata tanpa dicuci..
ReplyDelete