Peluang mempelajari bahasa Jepun di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam memberi satu pengalaman berharga buat penulis.
Ohayo (Good Morning), konnichiwa (hello), sensei (teacher), sayonara (good bye), arigato (thank you), gokku (school) dan kumbanwa (good evening) adalah antara bahasa Jepun yang dipelajari pada waktu itu.
Memang seronok belajar dan menguasai bahasa dari negara luar. Sekurang-kurangnya apabila penulis ke Jepun kelak, tidaklah kekok untuk bertutur dengan penduduk Jepun.
Kepentingan menguasai bahasa asing adalah aset penting pada masa kini. Selain berupaya bertutur dalam bahasa itu, individu berkenaan juga dapat memahami budaya dan adat sesuatu kaum, yang sekali gus merapatkan jurang perbezaan antara mereka.
Pensyarah Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, sekiranya setiap rakyat di negara ini boleh menguasai bahasa kaum lain, ini memudahkan mereka untuk berkomunikasi dan bertukar pendapat bagi kebaikan kaum masing-masing.
Beliau berkata, mempelajari dan menguasai bahasa asing amat digalakkan di negara ini hatta di dunia sekalipun kerana rakyatnya hidup berbilang kaum, bangsa dan agama.
“Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab. Korea, China, Tamil, Sepanyol, Perancis, Myanmar, Jepun dan Jerman boleh dipelajari sesiapa sahaja asalkan mereka bersungguh-sungguh untuk belajar.
“Mempelajarinya pula bukan sekadar untuk suka-suka. Jika ada kesungguhan mendalami kepentingan bahasa asing itu, seseorang itu mampu mengecap kehidupan lebih baik kelak,” kata Swee Tin ketika dihubungi.
Tambah beliau, ramai yang tidak mempercayai pembelajaran bahasa asing itu mampu mengubah kehidupan ke arah yang lebih positif.
“Jika tak percaya, cuba anda belajar bahasa asing di mana-mana kolej. Tidak pun, jika anda seorang mahasiswa, rebut peluang yang ditawarkan fakulti dengan mempelajari beberapa bahasa asing.
“Apabila tamat tempoh pembelajaran, mohon pekerjaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki.
"Siapa tahu, anda mampu dilantik Pegawai Diplomatik dengan ganjaran gaji yang cukup lumayan.
“Bukankah itu sudah cukup hebat,” jelasnya yang fasih beberapa bahasa termasuk Melayu, Inggeris, Mandarin, Thailand dan Hokkien Kecerdasan linguistik.
Mempelajari bahasa asing adalah satu aktiviti yang mudah dan menyeronokkan sekiranya individu itu benar-benar berkehendakkan ilmu tersebut. Berdasarkan kajian, tidak semua individu yang dikurniakan bakat semula jadi untuk menguasai sesuatu bahasa asing dengan mudah dan dalam masa yang singkat.
Individu yang memiliki kecerdasan linguistik akan secara mudah menguasai bahasa yang dipelajari, sama ada sebagai bahasa kedua mahupun bahasa ketiga.
Namun tidak bermakna individu yang tidak mempunyai atau kurang kecerdasan linguistik tidak langsung berpeluang meningkatkan penguasaan bahasa asing. Cuma individu tersebut perlulah berusaha lebih keras dan mempelbagaikan kaedah pembelajarannya. Ibarat kata pepatah Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Menurut Swee Tin, golongan muda adalah golongan utama yang perlu merebut segala peluang untuk belajar bahasa asing kerana mereka masih muda dan punyai waktu terluang.
Masa depan mereka juga terjamin kerana banyak cabang industri seperti industri pelancongan, kerjaya dan perdagangan boleh disertai mudah oleh anak muda ini jika mereka ada kemahiran bertutur dalam banyak bahasa.
Mengulas mengenai kefasihan kanak-kanak yang tinggal di bandar dan mampu berkomunikasi dalam banyak bahasa, kata Swee Tin, persekitaran tempat tinggal itu banyak membantu mereka menguasainya.
Misalnya, kanak-kanak keturunan Melayu yang membesar di kota menggunakan bahasa Inggeris sebagai pertuturan di rumah.Di sekolah pula, bertutur dalam bahasa Cina memandangkan dia bersekolah Cina. Setiap hari, kehidupan mereka terdedah dengan bahasa tersebut. Secara langsung, mereka boleh menguasai tiga bahasa dalam satu masa, bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Melalui internet
Sementara itu guru Jepun, Kumiko Torii berkata, banyak cara yang boleh dilakukan jika mahu belajar bahasa asing. Selain mempelajari bahasa asing secara formal dalam kelas pengajian, mereka boleh mengikuti beberapa kaedah untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa asing, seperti mendengar radio dan muzik.
Menurutnya, setiap orang menikmati alunan muzik mengikut cita rasa masing-masing. Ada yang gemarkan muzik rock, jazz, balada, R&B, keroncong dan nasyid.
“Mendengar lagu yang dinyanyikan dalam bahasa asing adalah satu lagi kaedah mempertingkatkan penguasaan bahasa berkenaan. Malah lebih baik lagi jika stesen radio turut menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar.
“Sekurang-kurangnya kita dapat belajar bahasa asing tanpa disedari,” katanya.
Beliau yang juga Pengurus Pemasaran Jepun di Hotel Grand BlueWave Shah Alam berkata, mereka yang tiada kesempatan untuk belajar bahasa asing, boleh mempelajarinya melalui Internet.
“Kini sudah ada kemudahan teknologi komunikasi seperti You Tube dan blog dalam internet. Malah, kursus pengajian bahasa secara santai melalui internet juga banyak diperkenalkan.
“Mereka bebas belajar pada waktu yang diinginkan. Jika inginkan lebih banyak penguasaan bahasa asing, boleh dapatkan bahan kursus bahasa asing yang dipakej ke dalam beberapa siri cakera padat yang berada di pasaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment