expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 19 May 2012

Malam penentu juara baru Piala FA




TIDAK kira pasukan mana yang memenangi Piala FA malam ini, juara baru akan muncul memandangkan kedua-dua pasukan, Sime Darby atau pun Kelantan belum pernah dinobatkan sebagai juara Piala FA.


Walaupun ramai pemerhati melihat perlawanan antara kedua-dua pasukan bukan satu pertemuan ideal ekoran perbezaan jurang yang besar dari segi kualiti pemain dan penyertaan liga memandangkan Kelantan merupakan juara Liga Super, sementara Sime Darby hanyalah sebuah pasukan Liga Perdana.


Apa jua keputusan pada hari ini, pasukan berstatus kelab, Sime Darby perlu berbangga mampu mara sejauh ini kerana tiada siapa menjangkakan sebuah skuad yang baru ditubuhkan dua tahun lalu akan beraksi di perlawanan akhir Piala FA.


Satu persatu pasukan dari Liga Super dapat ditumbangkan oleh skuad bimbingan Ismail Zakaria ini, bermula dengan Sabah pada pusingan pertama sebelum turun menentang pasukan Liga Perdana, USM FC untuk mara ke suku akhir selepas menang 2-0.


Pada suku akhir, kelibat Sime Darby semakin mencuri perhatian apabila menyingkirkan kelab paling lama bertapak di negara ini, Johor FC menerusi keputusan agregat 5-3 dan selepas itu, bertembung pula dengan Terengganu, Sime Darby melakukan kejutan paling sensasi apabila menang 2-1 melalui kiraan agregat.


Mempunyai senjata serangan balas melalui pemain import yang berskil tinggi dari Liberia, Patrick Wleh Ronaldinho, Sime Darby tidak boleh dipandang enteng kerana boleh menghancurkan Kelantan jika diberi ruang selain barisan pemain Sime Darby yang cukup berdisiplin bertahan sepanjang perlawanan.


Jika mampu mengejutkan Kelantan, Sime Darby perlu mengelakkan Kelantan mendapat gol awal, selain mampu mengawal gemuruh pada perlawanan akhir yang menjadi pengalaman kali pertama kepada sebahagian besar pemain yang belum pernah merasai pentas final.


Bagi skuad bimbingan Bojan Hodak, memang tidak diragui lagi akan menjadi pilihan utama untuk menjuarai Piala FA tahun ini setelah dua kali kecewa mencuba iaitu pada 2009 dan tahun lalu kepada Terengganu.


Mempunyai banyak pilihan pemain di jentera serangan, Bojan hanya perlu memastikan dia dapat menggunakan taktikal yang betul bagi mencari gol-gol yang mampu membunuh semangat juang Sime Darby yang dijangka akan bermain secara bertahan dalam perlawanan itu nanti.


Kelincahan Mohammed Ghaddar, Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu di samping kebijaksanaan ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi mencipta peluang, boleh menghukum Sime Darby.


Cuma sedikit membimbangkan adalah tahap kemampuan Norshahrul Idlan Talaha yang bergelut dengan masalah berat badan, di samping Ghaddar yang gemar bermain berseorangan yang kadang-kalanya merugikan Kelantan.


Mungkin tuah perlawanan akhir kali ketiga akan memihak kepada Kelantan pada kali ini yang masih belum pernah merasai nikmat menjuarai Piala FA setelah memenangi trofi Liga Super pada tahun lalu dan Piala Malaysia pada 2010.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com