BUMI, menurut tafsiran yang khusus adalah tanah tempat kita
berpijak, manakala dalam erti yang luas mencakupi lautan, udara, daratan dan
segala isinya. Oleh itu, ada istilah 'perut bumi' yang mengandungi air, minyak
dan batuan, yakni tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang tertimbun selama jutaan
tahun.
Allah SWT memilih bumi sebagai tempat tinggal yang kaya dan
subur untuk penghidupan manusia (rujuk al-Baqarah: 22; ar-Ra'd: 3; Qaf: 53-54)
dan diciptakan-Nya pula gunung untuk mengukuhkannya agar manusia dapat hidup di
atasnya tanpa ketakutan. (rujuk al-Naml: 61)
Bumi Allah
Di dalam surah az-Zumar, ayat 30, disebut bahawa bumi Allah
SWT itu luas. Makna yang terkandung dalam ayat ini adalah kita akan mendapat
kebaikan jika kita beriman, berbakti kepada Allah SWT dan bersabar.
Perkara berlawanan bagi ayat di atas dapat dibaca di dalam
surah Taha, ayat 124 yang menyatakan bahawa siapa yang berpaling ingkar
daripada petunjuk Allah SWT, maka baginya kehidupan yang sempit.
Katakanlah, 'Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah
kepada Tuhanmu'. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan
(yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas. (rujuk az-Zumar:
10)
Padang Mahsyar
Di bumi, manusia hidup dan mati, lalu dibangkitkan kembali di
Padang Mahsyar pada hari kiamat (rujuk al-A'raf: 25). Ertinya, segala yang ada
di bumi dijadikan manusia (rujuk al-Baqarah: 29), tetapi hanya sebagai tempat
sementara.
Dalam hadis riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar r.a.,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jadilah engkau di dunia ini
seolah-olah orang asing atau penyeberang jalan. Oleh itu, manusia harus
mengetahui erti dan tujuan hidupnya di bumi, yakni menyembah dan beribadat
kepada-Nya. (rujuk az-Zariyat: 56).
Tanggungjawab Manusia
Secara harfiah, surah az-Zumar, ayat 10, boleh ditafsirkan
bahawa bumi Allah SWT itu begitu luas, sehingga tidak ada alasan bagi manusia
untuk tidak berbuat baik dan berbakti. Kita digalakkan menjelajah bumi dan
meningkatkan rasa tanggungjawab serta martabat kita sebagai manusia.
Di dalam al-Quran, ada kritikan terhadap orang yang menyerah
dan tidak mahu berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang bertanggungjawab
serta meningkatkan martabatnya. (rujuk an-Nisaa: 97)
Khalifah di Muka Bumi
Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi
(rujuk al-Baqarah: 30). Hanya manusia, bukan jin atau malaikat yang diberi
kepercayaan oleh Allah untuk memelihara bumi (rujuk al-A'raf: 56 dan 85),
kerana hanya manusia yang memiliki akal serta fikiran untuk memahami tanda
kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT di muka bumi (rujuk ar-Rum: 22).
Usia Bumi
Menurut ilmuwan, bumi berusia sekitar 4.5 ribu juta tahun. Di
dalam al-Quran dan hadis, tidak ada keterangan tentang usia bumi kerana wahyu
tidak bertujuan untuk itu. Tetapi ada kisah metaforik ketika ketika Nabi SAW
melakukan Mikraj ke Sidratulmuntaha.
Baginda SAW melihat seorang tua yang tidak bergigi, rambutnya
banyak yang telah gugur, kulitnya kering, wajahnya berkedut-kedut. Orang tua
itu berjalan dengan langkah yang berat. Lalu Nabi SAW bertanya kepada Jibrail,
"Siapakah gerangan orang tua itu?" Jibrail menjawab, "Orang tua
itu adalah perumpamaan bumi yang sangat tua usianya."
Kemusnahan Alam Sekitar
Memelihara bumi adalah antara petanda keimanan (rujuk al-A'raf:
85). Betapa banyak sumber penghidupan yang dicipta Allah SWT di bumi (rujuk
al-A'raf: 10). Jika manusia memanfaatkannya dengan sewajarnya, maka hidupnya
akan makmur dan sentosa. Malangnya, ada manusia yang cenderung membinasakannya.
Misalnya, mereka yang menebang hutan sesuka hati sehingga
rosak keseimbangan alam. Yang lain menggali tanah, pasir dan galian lain tanpa
peraturan sehingga terjadi tanah runtuh. Ada pula yang membuang bahan buangan
sewenang-wenangnya sehingga terjadi pencemaran air dan udara yang menimbulkan
berbagai-bagai penyakit.
Semua ini menyebabkan kerosakan di darat mahupun di laut
(rujuk ar-Rum: 41), padahal Allah SWT telah mengingatkan manusia agar tidak
membuat kerosakan di bumi, sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan
padanya (rujuk al-A'raf: 56).
Manusia diberi kepercayaan untuk memelihara dan memanfaatkan
bumi sesuai dengan kehendak Pemberinya, iaitu Allah SWT.
Perlombongan minyak, satu bentuk kekayaan bumi untuk
dimanfaatkan bagi kepentingan manusia.
No comments:
Post a Comment