expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 16 May 2012

Peti pertolongan cemas berguna




ANAK anda tiba-tiba tercalar dan luka! Kelam kabut anda menyuruh suami ke kedai membeli pembalut luka. Tengah malam buta dan jauh pula, di mana hendak mencarinya melainkan menunggu pagi saja. Anak pula menangis sepanjang malam kerana tidak selesa dengan keadaannya.


Alangkah elok mempunyai peti pertolongan cemas berserta barangan asas keperluan kecemasan di rumah. Ia untuk membantu perkara yang berlaku tanpa diduga dan boleh diatasi sendiri sebelum mendapat pertolongan seterusnya. 


Kebanyakan orang tidak mengendahkan kepentingan peti pertolongan cemas di rumah, di dalam kereta atau di pejabat. Pada mereka, harus ada pil pening kepala dan demam yang ringan di rumah, tetapi peti pertolongan cemas dianggap terlalu berlebih-lebihan. 


Ada juga yang menyangka mereka tidak mungkin memerlukan peti pertolongan cemas kerana sekiranya berlaku kecemasan, pergi saja ke klinik atau hospital. 


Sebenarnya peti pertolongan cemas sangat berguna terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan berkeluarga. 


Ada dua jenis pertolongan kecemasan iaitu pertama, kecemasan yang memerlukan tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa. Kedua, kecemasan yang memerlukan tindakan segera, tetapi membabitkan kecederaan ringan atau sakit yang boleh dilakukan di rumah tanpa bantuan perubatan profesional. 


Contohnya membasuh luka atau calar ringan yang berlaku pada anak-anak kita yang lasak bermain. 


Apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecederaan pada waktu dan tempat yang tidak diduga? 

Dalam situasi sebegitu, peti pertolongan cemas sangat berguna. Sekiranya dalam perjalanan kembara, balik kampung, berkelah atau ke mana saja, idea yang baik untuk kita membawa bersama peti pertolongan cemas. 

Jangan anggap ia sebagai beban kerana apabila tiba masanya kita perlu menggunakannya, kita akan berterima kasih kerana sudah bersedia.

Berikut antara beberapa barang yang perlu ada di dalam peti bantuan kecemasan. 


Perlu diingat, pertolongan cemas adalah bersifat sementara dan bertujuan mengelakkan mangsa mengalami kecederaan yang lebih teruk. Sekiranya keadaan bertambah teruk, dapatkan bantuan daripada pakar perubatan profesional.


1.  Pembersih antiseptik ringan. Ia berguna untuk membasuh calar atau luka ringan yang biasa dialami kanak-kanak ketika bermain. Sekiranya berlaku di dalam kereta dan kita di dalam perjalanan, mungkin sukar mendapatkan air bagi membasuh luka sebegitu. Jadi pembersih antiseptik cecair khas amat berguna. 


2.  Kain kasa pengelap. Kain pelbagai saiz ini mesti ada di dalam peti kecemasan. Elok mempunyai kain berukuran besar kemudian boleh dipotong mengikut keperluan. 


3.  Kapas untuk mengelap luka dan menyapu ubat. 


4.  Putik kapas, juga untuk mengelap luka dan menyapu ubat di kawasan yang lebih kecil. 


5.  Gunting. Ia berguna untuk memotong kain kasa pengelap, pita pelekat dan seumpamanya. Dalam keadaan kecemasan dan memerlukan semua perkara dilakukan cepat, gunting amat berguna. Beli gunting perubatan yang melengkung dan tumpul di hujungnya. 


6.  Pita pelekat. Ia berguna untuk melekatkan pelapik kain kasa pada kulit. 


7.  Kain anduh tiga segi. 


8.  Pek penyejuk segera yang berguna untuk mengurangkan bengkak apabila kita tidak mempunyai ais batu. Beli beberapa bungkus kerana ia hanya boleh digunakan sekali saja. 


9.  Sarung tangan latex. Sarung tangan ini berguna untuk semua pihak sama ada mereka yang sakit atau mereka yang merawat pesakit. Ia boleh juga digunakan sekiranya perlu membersihkan sesuatu contohnya lampin yang kotor. 


10.  Plaster perlu disediakan dalam pelbagai saiz. 


11.  Termometer untuk menyukat kepanasan badan. 


12.  Pad mata bagi mengelak mata dimasuki habuk. 


13.  Minyak atau salap yang sesuai untuk gigitan serangga. 


14. Ubat-ubatan ringan pil untuk meredakan sakit kepala.


Pastikan barangan kecemasan disimpan dalam bekas yang sesuai. Ia harus mudah dicapai, lengkap tetapi ringan dan mudah dibawa serta mengandungi barangan asas saja. 


Peti kecemasan biarlah berada di tengah rumah supaya mudah diambil orang dewasa. Elok mempunyai peti kecemasan yang berbeza di rumah dan kereta. Kedua-duanya mempunyai kepentingan yang sama. 


Untuk peti kecemasan ketika kembara, selain barangan asas yang dinyatakan itu, paling penting mempunyai telefon bimbit dan peralatan mengecas. Ia sangat berguna untuk menghubungi perkhidmatan perubatan sekiranya keadaan bertambah serius.

3 comments:

  1. Betul tu, peti pertolongan cemas memang berguna sangat2 sbb kita takkan tahu bila tiba waktu kecemasan.. yang bestnya, tiap kali pergi hospital dan masuk wad, iha akan mintak stok gauze, bandage, plaster siap2.. kalau senang nak cari baru beli kat farmasi.. bila kumpul jadi la 1 beg ubat-ubatan.. ehh panjangnya taip, hihi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. takpe..bagus tu..sedia awal2..nanti ada kecemasan tak susah mencarinya..:-)

      Delete
  2. Di mana nak cari pouch first aid kit

    ReplyDelete

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com