expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 9 May 2012

Pneumokokal penyakit kompleks




MESKIPUN kemajuan bidang perubatan membolehkan pelbagai penemuan terbaru vaksin, Asia masih lagi berada terkebelakang dalam menggerakkan kempen pemvaksinan secara besar-besaran hingga menyebabkan ramai kanak-kanak tidak dilindungi.



Biarpun kebanyakan negara di rantau ini terus mencapai kemajuan ekonomi dan kewangan, hanya sebilangan kecil mengemas kini jadual pelalian menurut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 



Satu daripada penyakit berbahaya yang boleh dicegah melalui pemvaksinan ialah penyakit pneumokokal iaitu kumpulan penyakit kompleks berpunca daripada bakteria Streptococcus Pneumonia yang sering membawa maut dan kehilangan upaya kepada penghidapnya. 

  
  bakteria Streptococcus Pneumonia





Pengarah Kanan Hal Ehwal Saintifik (Vaksin), Pfizer Paris, Prof Heinz-Josef Schmitt, berkata langkah drastik perlu diambil untuk meyakinkan kerajaan bahawa penyakit pneumokokal tidak boleh dipandang ringan.



Katanya, hakikat bahawa penyakit ini sukar untuk didiagnosa atau difahami menyukarkan lagi usaha. 



Hanya melalui kempen kesedaran boleh membantu dalam mendidik masyarakat mengenai penyakit ini dan meningkatkan kefahaman gejala penyakit dan penyelesaian secara keseluruhan.



“Kesukaran untuk meyakinkan kerajaan supaya mengambil langkah pemvaksinan secara serius tidak mampu dilakukan memandangkan kefahaman mengenai bahaya penyakit ini tidak dilakukan secara menyeluruh.



“Disebabkan itu, untuk memulakan usaha mengurangkan beban penyakit sebegini di Asia, kita perlu meyakinkan penggubal dasar mengenai masalah yang mungkin dihadapi sekiranya ia dipandang ringan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 



Pengisytiharan pelalian sebagai salah satu program yang direka untuk meningkatkan tahap kesihatan adalah cara paling berjaya selain menjimatkan kos.


Ini terutama bagi mencegah penyakit serius, kehilangan upaya dan kematian berpunca daripada penyakit boleh dicegah dengan vaksin seperti difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan juga tetanus.



Malah, manfaat pelalian berkenaan juga diperluas kepada remaja dan orang dewasa untuk memberikan perlindungan daripada penyakit yang mengancam nyawa seperti influenza, meningitis dan kanser yang menular di kalangan orang dewasa. 



Sementara itu, pakar penyakit berjangkit pediatrik, Dr Adriano Arguedas,
berkata selain Afrika, Asia menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia. 



Bagaimanapun, katanya hanya sebilangan kecil negara di Asia menyedari kesan serius penyakit kompleks ini malah disebabkan kekurangan data yang dikumpulkan di rantau ini, kesan penyakit serius ini tidak mampu untuk dibuktikan.



“Jika dilihat di Amerika Syarikat dan negara Eropah yang memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam program pelalian kebangsaan masing-masing, ia menyaksikan penurunan mendadak dalam bilangan kes penyakit dan kematian disebabkan penyakit ini.



“Tidak dinafikan tiada cara lain untuk menangani ancaman ini kerana kunci kejayaan dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit pediatrik adalah melalui pemvaksinan,” katanya.



Menurutnya, contoh terbaik adalah melihat kejayaan dalam usaha menghapuskan polio, cacar dan rubela menerusi pemvaksinan secara menyeluruh. 



Selain itu katanya, penyakit pneumokokal juga satu bebanan kesihatan yang memerlukan perhatian segera dan menyifatkannya sebagai satu daripada penyakit di dunia yang boleh dicegah melalui pemvaksinan. 



“Disebabkan penyakit yang berada dalam kumpulan ini pelbagai, justeru bentuk rawatan dan kesan yang boleh dihidapi penghidapnya juga pelbagai serta memerlukan jumlah perbelanjaan kesihatan yang besar bagi mendapatkan rawatan. 



“Oleh itu, jalan terbaik untuk mengekangnya adalah dengan mencegahnya sejak awal iaitu dari kecil agar ia mampu dikurangkan dengan lebih berkesan,” katanya. 



Sehingga kini, lebih 50 negara di seluruh dunia (termasuk Singapura, Hong Kong dan Macau) memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam Program Pelalian Kebangsaan masing-masing. Ia seharusnya menjadi ikutan demi menjamin dan memastikan generasi muda tidak menderita akibat kesan yang dialami daripada penyakit kompleks berkenaan. 



Malah, tumpuan hendaklah diberikan kepada usaha menyediakan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk semua. 



Peluang yang sama akan memastikan penduduk bandar dan luar bandar mendapat peluang pemvaksinan untuk anak-kanak mereka menentang penyakit pneumokokal. 



Namun, dianggarkan 70 peratus hingga 80 peratus kanak-kanak Malaysia tidak dilindungi daripada penyakit pneumokokal. Keadaan ini nyata sesuatu yang amat membimbangkan.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com