expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 9 May 2012

Global: Beban rawat gemuk




SEJAK bertahun-tahun dulu pakar ekonomi kesihatan memberi tumpuan khas kepada kos perubatan bagi masalah obesiti. Satu analisis yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan kos perubatan untuk obesiti sebenarnya lebih tinggi daripada yang dijangkakan.


Menurut laporan Cawley dan Chad Meyerhoefer daripada Universiti Lehigh yang disiarkan dalam Jurnal Ekonomi Kesihatan di Amerika Syarikat, secara purata lelaki obes menggunakan RM3,456 setahun untuk rawatan di hospital dan ubat manakala kos perubatan wanita obes pula mencecah RM10,839 setahun. 


Berdasarkan data yang membabitkan 9,852 lelaki (dengan purata Indeks Jisim Badan, BMI: 28) dan 13,837 wanita (purata BMI: 27) berumur 20 hingga 64 tahun dan 28 peratus daripadanya adalah obes, penyelidik mendapati purata perbelanjaan tahunan untuk seorang individu obes ialah RM9,813 berbanding hanya RM1,536 bagi individu normal. Malah kos perubatan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai perlindungan insurans. 


Dalam erti kata lain, jumlah keseluruhan kos perubatan obesiti saja ialah RM570 bilion setahun - atau 20.6 peratus daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan di Amerika. 


Apa yang membimbangkan, sejak kebelakangan ini jumlah berkenaan meningkat dua kali ganda. Analisis baru ini membandingkan kos kesihatan antara individu obes, mereka yang mengalami masalah berat badan dan golongan dengan berat badan normal. 


Oleh kerana selama ini kos perubatan individu yang ada masalah berat badan berlebihan tidak diambil kira, kiraan yang menggabungkan kumpulan obes dengan berat badan berlebihan menyebabkan kiraan kos perubatan untuk obesiti menjadi lebih rendah. 


Perbelanjaan perubatan bagi lelaki dengan BMI 26 sebenarnya tidak banyak berbeza dengan mereka yang mempunyai BMI 35. Bagi wanita, peningkatan kos perubatan bermula dengan BMI 25. Selain lemak, bagi lelaki, nilai BMI yang tinggi boleh disebabkan kehadiran lebih otot. Jadi tidak semestinya mereka yang ada BMI tinggi itu kurang sihat. Malah lelaki dengan BMI 28 mungkin adalah individu yang sangat cergas dan aktif bersukan. 


Sebenarnya kos perubatan yang tinggi merujuk kepada individu yang terlalu gemuk sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan. Kos perubatan yang berlebihan untuk individu obes ini sebahagiannya ‘ditanggung’ oleh individu tidak obes - dalam bentuk bayaran cukai bagi menampung premium insurans kesihatan. 


Kajian berkenaan juga mendapati setiap wanita obes menggunakan ‘perbelanjaan daripada pihak ketiga’ ini sebanyak RM9,660 setahun, lelaki obes (RM2,901). 


Apa yang lebih memeranjatkan ialah kos perubatan obesiti ini lebih tinggi daripada kos rawatan merokok. Dalam laporan yang disiarkan Mac lalu, saintis daripada Mayo Clinic mengira kos perubatan ke atas 30,529 orang yang terdiri daripada kaki tangan hospital berkenaan, orang dewasa dan pesara selama beberapa tahun.


“Merokok meningkatkan kos perubatan sebanyak 20 peratus setahun. Sama juga dengan obesiti tetapi kos perubatan bagi obesiti sehingga menyebabkan pelbagai penyakit meningkat 50 peratus setahun. Bagi syarikat yang mahukan penjimatan, lebih baik mereka mengadakan program untuk membantu kakitangan yang obes menurunkan berat badan,” kata James Naessens daripada Mayo Clinic. 


Selama ini penyelidik percaya bahawa kos perubatan obesiti yang tinggi diimbangi dengan kemungkinan individu obes mati muda dan tiada perbelanjaan di rumah penjagaan, pusat Alzheimer dan lain-lain yang mahal harganya. 


Kerana itulah yang berlaku pada perokok. Walaupun kos perubatan untuk mereka lebih tinggi daripada bukan perokok, penggunaan peruntukan penjagaan kesihatan adalah lebih rendah kerana ramai yang mati cepat. 


Perokok meninggal dunia lebih cepat dan ini secara tidak langsung menjimatkan peruntukan perbelanjaan sosial, pencen dan insurans perubatan. Bagaimanapun kadar kematian di kalangan golongan obes tidak begitu tinggi. 


Antara rawatan yang diberikan kepada individu obes bagi memastikan kelangsungan hayat mereka ialah ubat penyekat beta (untuk sakit jantung), ubat diabetes dan rawatan lain. Semua ini menyebabkan perbelanjaan perubatan melonjak tinggi terutama pada usia tua.


Sebahagian kos keperluan asas bagi individu obes juga meningkat. Secara umumnya kita memerlukan lebih banyak tenaga untuk menggerakkan objek seberat 112 kilogram berbanding 56 kilogram. Jadi sesebuah kenderaan memerlukan lebih banyak minyak untuk membawa penumpang berat berbanding penumpang ringan. 


“Pertambahan kadar obesiti juga secara tidak langsung meningkatkan penggunaan petrol,” kata jurutera daripada Universiti Illinois, Sheldon Jacobson. 


Berapa banyak peningkatannya? Berdasarkan jumlah penduduk obes di Amerika, dianggarkan negara itu memerlukan tambahan 938 juta gelen minyak setiap tahun atau 0.8 peratus atau dalam perkataan lebih mudah: tambahan RM12 bilion. 


Malah peningkatan jumlah penduduk obes membuatkan banyak pengubahsuaian perlu dilakukan. Contohnya kereta api New Jersey Transit terpaksa menempah kerusi yang bersaiz 5.5 sentimeter lebih lebar daripada kerusi biasa (49 sentimeter), kata jurucakapnya, John Durso supaya kumpulan itu juga boleh menggunakan perkhidmatan awam dengan selesa. 


Pengurusan komuter di New York juga sedang menimbangkan membeli gerabak baru dengan kerusi yang mampu menampung penumpang seberat 185 kilogram. Syarikat pengangkutan bas, Blue Bird kini dalam usaha memperluaskan pintu depan bas sekolah supaya pelajar yang ‘lebar badannya’ boleh naik bas ke sekolah. Malah Stadium New Yankee dan Citi Field, juga membeli kerusi yang 2.5 hingga lima sentimeter lebih lebar daripada kerusi biasa.


Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pegawai transit bas, secara purata berat penumpang kini ialah 79 kilogram berbanding 67.5 kilogram sedikit masa dulu. Kajian itu dilakukan kerana adanya kebimbangan penumpang yang berat mungkin boleh mengancam keselamatan seisi bas. 


Jika bas terlalu berat di bahagian belakang, bas boleh hilang kawalan dan setiap pertambahan 0.5 kilogram meningkatkan momentum pergerakan bas (daya yang menggerakkan objek); menyebabkan ia memerlukan lebih banyak kuasa untuk berhenti. Keadaan ini akan membuatkan tekanan pada pedal brek lebih kuat apabila hendak memberhentikan bas. 


Bahkan hospital juga sibuk membuat pengubahsuaian untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit yang besar saiz badannya. Universiti Hospital Alabama di Birmingham, sudah meluaskan pintunya, menukar tandas yang asalnya disimenkan ke dinding kepada tandas yang disimen ke lantai supaya ia boleh menampung berat melebihi 112 kilogram dan membeli kerusi roda bersaiz besar (yang harganya dua kali ganda daripada saiz biasa) selain mesin kren mini untuk mengangkat pesakit obes turun dari katil. 


Pertambahan perbelanjaan ini bukan sedikit kerana ia turut mempengaruhi aktiviti ekonomi secara keseluruhan selain pengeluaran produk tempatan. 


“Memang saya akui, serangan jantung boleh merangsang aktiviti ekonomi kerana apabila pembedahan dilakukan, pakar bedah dan hospital akan dapat wang tetapi ini bukanlah wang yang kita mahu. Kalau kita dapat mengelakkan serangan jantung, wang berkenaan boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah seperti untuk pendidikan atau pelaburan dalam penyelidikan tenaga bersih,” kata Naib Presiden Institut Polisi Kesihatan Kaiser Permante, Murray Ross. 


Buku catatan mengenai obesiti masih terbuka. Catatan terbaru: Lelaki obes mempunyai kebarangkalian 64 peratus lebih rendah untuk terbabit dalam jenayah berbanding lelaki sihat. Ini mungkin perkara positif namun penyelidik perlulah jalankan kajian lain untuk mengetahui jumlah yang boleh dijimatkan daripada perkara ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com