expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 9 May 2012

Syeikh Daud al-Fatani penulis kitab prolific




ULAMA yang dikenali sebagai penulis kitab yang prolifik ini berasal dari Patani, selatan Thailand. Jumlah kitab dan risalah tulisannya dikatakan melebihi karya yang dihasilkan oleh mana-mana ulama di dunia Melayu.


Tarikh lahir Syeikh Daud al-Fatani yang sebenar tidak dapat dipastikan, sama ada pada 1133 Hijrah, 1153 Hijrah atau 1183 Hijrah. Beliau dilahirkan di Kerisik dalam persekitaran kawasan istana Sultan Patani.


Rumah keluarga beliau berada dalam kawasan istana kerana mereka mempunyai peranan penting dalam urusan agama Islam. Ini termasuk ayah beliau, Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Fatani.


Syeikh Daud mempunyai lima adik-beradik. Syeikh Muhammad Ismail al-Fatani, pengarang kitab fikah Mathla'ul al- Badrain yang amat terkenal di Nusantara pula adalah cucu saudara kepada Syeikh Daud.


Menurut riwayat yang boleh dipercayai, Syeikh Daud sendiri menyambut kelahiran cucu saudara beliau itu ketika berada di Duyong Kecil, Terengganu.


Syeikh Daud juga turut bertanggungjawab membawa Syeikh Muhammad ke Mekah. Selain Syeikh Muhammad, Syeikh Daud juga mempunyai seorang lagi cucu saudara yang turut menjadi ulama besar. Tokoh yang dimaksudkan ialah Syeikh Wan Abdul Kadir Abdul Rahman al-Fatani.


Syeikh Daud mempunyai banyak gelaran. Antara yang diketahui ialah Syeikh Daud Waliullah dan Syeikh Daud Pengarang Kitab. Jumlah hasil karya beliau yang sebenarnya tidak diketahui. 


Tetapi dipercayai melebihi 60 buah kitab. Ada yang dicetak di Mekah, Mesir, Turki, Patani, Singapura, Kelantan dan Bombay.


Terdapat juga manuskrip karya yang belum dicetak. Antara karya beliau ialah Bughyatut Thullab li Muridi Ma'rifati Ahkami bis Shawab yang tercetak tiga kali di Mekah, iaitu pada 1310 H/1892 M, 1321 H/ 1903 M dan 1328 H/ 1910 M; Al-Shaidu was Zabaih dicetak di Mekah pada 1310 H/ 1892M; Al-Bahjatus Saniyah Fil Aqaidis Saniyah/ Tah-shilu Nailil Maram Syarh Aqidatil 'Awam, cetakan keduanya pada 1306H/ 1888M. Kisah Nabi Yusuf 'Alaihis Salam pada 1329 H/ 1911 M ( Mekah), Kasyful I Ghummah pada 1303 H/ 1885 M ( Mekah), Jam'ul Fawaid al- Jawahirul Qalad, cetakan pertama di Mekah pada 1303 H/1885 M dan seterusnya di Kaherah, Mesir pada 1311H/ 1893M.


Selain Syeikh Abdul Kadir al-Fatani dan Syeikh Muhammad al-Fatani, seorang lagi daripada keluarga Syeikh Daud yang terkenal dan dianggap menyamai ketokohan beliau ialah Syeikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fatani. Beliau dilahirkan pada tahun 1272 H, di Kampung Jambu di Jerim, Patani. 


Beliau dianggap ulama bertaraf antarabangsa dan merupakan guru kepada Tok Kenali. Di Mekah, beliau belajar menghafaz al-Quran dan pelbagai jenis ilmu. Salah seorang daripada guru beliau ialah Saiyid Umar al- Syami al- Baqa'i. 


Diceritakan bahawa Syeikh Ahmad adalah pakar dalam 47 bidang ilmu. Ketokohan beliau membolehkan beliau dibenarkan mengajar di Masjidil Haram, Mekah.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com