SAYA banyak menerima e-mel bertanyakan mengenai perceraian.
Berlandaskan kepada pertanyaan demi pertanyaan tersebut saya mengambil
keputusan untuk menulis mengenainya.
Penulisan ini mungkin akan dibuat dalam beberapa bahagian
kerana bab perceraian ini amat rumit dan panjang. Apatah lagi melibatkan ramai
orang.
Perceraian melibatkan kerosakan hubungan silaturahim antara
dua keluarga, anak-anak, mahkamah dan masyarakat.
Ia bukan sesuatu yang manis. Tetapi sangat pahit dan perit
bagi mereka yang melaluinya. Perceraian yang biasa kita dengar atau yang
diamalkan oleh orang Malaysia ialah cerai melalui lafaz talak yang hanya boleh
dibuat oleh suami.
Talak adalah hak suami kerana hanya suami yang boleh
melafazkannya. (rujuk surah al-Baqarah ayat 229, surah al-Talaq ayat 1 dan
surah an-Nisaa ayat 19).
Namun Nabi SAW dalam sebuah hadis bersabda: "Tidak ada
perkara halal yang dibenci oleh Allah selain daripada talak." Dan:
"Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang
sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga."
Daripada ayat al-Quran dan hadis di atas jelas bahawa
perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci Allah
SWT. Jika seorang suami melafaz talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak
berdosa namun ia dibenci Allah.
Tentunya orang yang Allah benci, tempatnya kita tahu di mana.
Bagi isteri pula, jika ia memohon cerai tanpa sebab, apatah lagi jika ia
melakukan perkara-perkara yang menyebabkan suami terpaksa menceraikannya, maka
wanita tersebut tidak akan masuk syurga.
Perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha memulihkan
perkahwinan gagal. Ini kerana perceraian memberi kesan buruk bukan saja kepada
pasangan suami isteri tetapi kepada anak-anak, keluarga terdekat dan
masyarakat.
Dahulu di Malaysia, secara lazimnya, pasangan suami isteri
yang bergaduh akan melafaz talak atau mentalakkan isterinya. Jika isteri yang
ke pejabat kadi, isteri akan memohon fasakh.
Sehingga hari ini kekeliruan masih berlaku di mana isteri
masih pergi ke pejabat agama atau pejabat kadi untuk memohon fasakh. Sedangkan
di Malaysia, tempat memohon cerai adalah di mahkamah syariah.
Kekeliruan ini juga berlaku kerana pegawai kaunseling atau
khidmat nasihat perceraian berada di pejabat agama dan bukannya di mahkamah
syariah. Ada masanya seorang wanita menjadi begitu marah kepada mahkamah
syariah kerana proses penceraiannya terlalu lambat.
Tetapi apabila disiasat rupa-rupanya dia masih menghadiri
sesi kaunseling di pejabat agama dan kesnya belum didaftar di mahkamah syariah.
Ini adalah kejahilan wanita itu sendiri kerana tidak tahu bahawa di Malaysia
perubahan telah berlaku bagi undang-undang Islam di mana untuk menuntut cerai,
mestilah ke mahkamah syariah dan bukan ke pejabat agama.
Proses kaunseling di pejabat agama juga bukan sesuatu yang
wajib. Jika pasangan merasakan mereka tidak boleh bertangguh lagi, maka
pergilah ke mahkamah syariah dan mohon bercerai tanpa kaunseling.
Tujuan utama kauseling ialah untuk cuba mendamaikan pasangan
supaya tidak jadi bercerai.
Ini kerana Islam mengariskan susun atur cara untuk bercerai
dan bukan melafaz talak secara terburu-buru seperti yang dinyatakan dalam surah
al-Nisa ayat 19.
Biasanya menasihati satu sama lain dan jika itu tidak
berkesan mencari orang tengah atau hakam. Malah sulh atau mediasi juga
boleh dibuat bagi mendamaikan pasangan.
Namun dalam banyak kes, pasangan sudah 'bulat hati' untuk
bercerai. Nasihat yang diberikan akan menjadi seperti mencurah air ke daun
keladi.
Rasanya, Malaysia mempunyai rekod kahwin cerai yang sangat
menarik iaitu dari sependek 11 hari ke 45 tahun kahwin dan bercerai.
Memang jumlah perceraian orang Islam meningkat, tetapi ia
bukan sesuatu yang membimbangkan. Bagi saya banyak perceraian mungkin kerana
pasangan lebih berinformasi dan menyebabkan perceraian dapat diuruskan dengan
lebih baik.
Selain itu, mungkin kerana wanita berpendidikan dan mempunyai
karier sendiri maka mereka lebih berani meneruskan kehidupan tanpa suami atau
mungkin generasi hari ini terlalu banyak makan makanan segera sehinggakan hal
nikah-cerai juga seperti makanan segera - cepat, ringkas dan segera.
teringat masa form 5 dulu ustaz ada cakap.. "kalau suami cakap aku ceraikan kau A binti B dengan talak sejuta " tapi baru kali pertama si suami melafazkannya, itu masih dikira talak satu dan penceraian merupakan perkara yang dibenci Allah walaupun kita tidak mendapat dosa..
ReplyDeletep/s: suka ayat last tang makanan segera tu.. :D
betul tu..:-)
Delete