expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 25 May 2012

Terengganu: Butler buat perubahan besar



Aksi menarik yang dipamerkan penyerang import berbisa
Terengganu, Francis Forkey Doe pada aksi babak pertama
perlawanan kalah mati pusingan kedua Piala AFC


KUALA TERENGGANU - Pasukan Terengganu sekali lagi dirundum malang, apabila gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila tewas tipis, 2-3 kepada Kelantan dalam saingan kalah mati pusingan kedua kejohanan itu di Stadium Sultan Mahmud IV, Kota Bharu, malam kelmarin.


Sebelum ini, Juara FA musim lalu itu gagal beraksi ke pentas final Piala FA, setelah tewas dengan agreget 1-2 ke atas KL Sime Darby pada aksi kedua perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mei lalu.


Justeru pengendalinya, Peter Butler akan membuat perubahan besar kepada pasukannya berikutan kehilangan 2-3 pada perlawanan malam kelmarin.


Menurutnya, banyak perkara perlu dilakukan selepas ini dalam usaha menaikkan semula moral anak buahnya seterusnya memupuk ciri-ciri yang perlu ada untuk membentuk satu pasukan yang hebat.


"Kita memberi tiga gol mengejutkan kepada pasukan tuan rumah, ini adalah kecuaian kita dan pasukan Kelantan cepat menyesuaikan diri ketika bermain di atas padang yang basah dan mereka bermain dengan baik.


"Secara keseluruhannya, kita gagal beraksi dengan baik malam ini (kelmarin), namun saya amat bangga kerana pemain mampu bangkit pada babak kedua perlawanan," katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan tamat.


Dalam pada itu, Butler tetap optimis bahawa pasukan Terengganu mampu membuat kejutan berdasarkan prestasi dan keupayaan pemain, namun kerja keras perlu dilakukan bagi membentuk sebuah pasukan yang mempunyai keyakinan diri dalam mengharungi perlawanan akan datang.


Katanya, Terengganu mempunyai pemain yang bagus dan berkebolehan namun mereka perlu membina karator masing-masing sebagai sebuah pasukan dengan disiplin yang tinggi.


"Justeru, kami perlu pandang ke hadapan dengan memperbaiki kelemahan yang ada dan saya menuntut mereka (pemain) memberikan kerjasama yang padu sepanjang sesi latihan menjelang saingan Liga Super yang masih berbaki sembilan perlawanan.


"Saya mahukan pemain mampu bermain pada tahap yang terbaik dan saya yakin mereka mampu memberikan yang terbaik dengan kelasnya yang tersendiri sebagai sebuah pasukan selepas ini," katanya.


Pada pertembungan malam kelmarin, Terengganu dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah seawal minit kedua perlawanan bermula menerusi penyerangnya, Mohd Nor Farhan Muhammad.


Biarpun terpaksa beraksi di atas padang yang basah akibat hujan lebat sebelum perlawanan berlangsung, namun pasukan Kelantan cepat menyesuakan diri dengan melancarkan serangan dan berjaya menggandakan kedudukan, melalui tandukan Nor Farhan pada minit ke-19 yang bijak mengambil peluang akibat keadaan kucar kacir di depan gawang skuad Penyu.


Tertekan dengan asakan pasukan tuan rumah, skuad kendalian Butler sesekali melancarkan serangan namun kekentalan benteng pertahanan Red Warriors yang dikawal rapi, Mohd Rizal Fahmi nyata sukar dibolosi.


Tuan rumah sekali lagi menambah derita pasukan Terengganu yang tertinggal dua gol dibelakang dengan gol ketiga menerusi sepakan percuma Rizal Fahmi Rosid yang gagal diselamatkan Sharbinee Allawee Ramli pada masa kecederaan babak pertama untuk memberi pendahuluan selesa 3-0 buat skuad kendalian Bojan Hodak itu.


Bagaimanapun masuk babak kedua perlawanan menyaksikan Terengganu bangkit memperkemaskan jentera serangan dan memperoleh gol pertama menerusi sepakan lencong Ismail Faruqi Ashari yang menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-56.


Pun begitu, tindakan pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri yang menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di dalam kotak penalti bukan sahaja menyebabkan dia dilayankan kad merah malah memaksa tuan rumah beraksi dengan 10 pemain dan memberi peluang kepada Terengganu merapatkan kedudukkan, 2-3 menerusi sepakan percuma Francis Forkey Doe pada minit ke-84.


Biarpun Terengganu berusaha mencari gol penyamaan bagi mengheret permainan ke masa tambahan, namun benteng pertahanan Kelantan nyata kebal dan sukar dibolisi sehingga perlawanan masa tambahan berakhir.


Pada pertemuan sengit antara dua gergasi pantai timur itu, menyaksikan dua kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan dari Kuwait, Yousef Almarzouq, kepada pemain Terengganu, Francis Forkey Doe dan Hariri, manakala satu kad merah kepada pemain Kelantan, Obinna Nwaneri.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com