GEJALA zina dalam masyarakat terutamanya di kalangan para
remaja Islam semakin membimbangkan. Kurangnya kesedaran dan perhatian
menyebabkan gejala ini menular kepada pembuangan bayi yang tidak berdosa.
Tanpa belas kasihan, bayi-bayi ini telah ditinggalkan dalam
keadaan hidup mahupun hingga menemui ajal mereka, telah mencetuskan persoalan
kasih sayang dan kasihan belas yang semakin terhakis atau kurang dalam
kehidupan kita.
Apatah lagi, kemajuan sesebuah negara pada hari ini tidak
boleh diukur hanya berdasarkan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur.
Malah ia perlu melibatkan pembangunan sosial dan rohani.
Hakikatnya, tidak bermakna pengiktirafan sebagai sebuah
negara maju sekiranya masyarakat di dalamnya mengalami krisis sosial yang
kritikal.
Jika kita lihat laungan kebebasan oleh masyarakat di negara
Barat atas nama pemodenan, yang pastinya kebebasan yang tiada batasan itulah
penyebab kepada kerosakan nilai-nilai kemasyarakatan dan tidak mustahil
sehingga membawa kepada kemusnahan.
Kesinambungan perancangan negara yang berkesan bergantung
kepada corak kepimpinan yang mengetuai negara. Jika kita mahu melihat bagaimana
kepimpinan negara pada masa akan datang, kita harus melihat kepada generasi
muda hari ini.
Tidak dinafikan remaja hari ini terpaksa bergelut dalam
krisis sosial yang kian meruncing. Lantas, krisis sosial ini tidak boleh hanya
disandarkan kepada ibu bapa dan kerajaan semata-mata tetapi perlu kepada
penggemblengan semua ahli masyarakat.
Menyedari hakikat inilah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM) menggerakkan satu usaha dengan menerbitkan buku berjudul Menangani
Zina & Pembuangan Bayi. Ia sedikit sebanyak mendedahkan persoalan sebab
dan akibat mengapa fenomena ini semakin menjadi-jadi, sedangkan pelbagai langkah
pencegahan dan usaha membanterasnya telah dilakukan berbagai-bagai pihak.
Buku ini berdasarkan kajian dan tulisan ahli akademik dan
profesional yang terlibat secara langsung dalam membendung salah laku sosial
remaja.
Ini dengan tujuan agar masyarakat melihat keadaan sebenar
salah laku sosial yang menjadi tajuk kupasan iaitu permasalahan zina di
kalangan remaja dengan antara lain disokong oleh fakta dan data serta
perbandingan dengan negara lain agar dapat membuka minda sama-sama mencari
jalan bagi menangani masalah ini.
Justeru kemunculan buku ini juga berperanan untuk mencari
langkah-langkah menanganinya dengan harapan dapat memberi manfaat dan kesedaran
kepada semua pihak untuk sama-sama menggerakkan kita kepada penyelesaian tuntas
agar agenda pembangunan sosial dapat berjalan seiring dengan agenda pembangunan
ekonomi dalam mencapai sasaran negara maju 2020.
Buku suntingan Nur Syahidah Abdul Jalil memuatkan kertas
kerja yang dibentangkan semasa berlangsungnya Muzakarah Pakar Menangani Zina
Serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah pada 16 Disember
2010 bertempat di Dewan Besar IKIM.
Tiga tulisan daripada hasil pembentangan muzakarah
diterbitkan dalam buku ini yang melihat perspektif zina daripada pelbagai
bahagian. Kertas kerja tersebut ialah, Analisis Sosial Kes-kes Zina
Berdasarkan Data Daripada Kajian Mengenai Kehamilan Luar Nikah tulisan Dr.
Fatimah Abdullah.
Kertas kerja kedua dan ketiga pula ialah hasil tulisan Prof.
Madya Datin Dr. Paizah Ismail dan Dr. Hamizah Mohd. Hassan mengutarakan
permasalahan zina dari sudut undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia dan dari
sudut pandangan kesihatan reproduksi manusia.
Hasil kerja daripada para penulis secara tidak langsung telah
menganjurkan bahawa satu pangkalan data khas perlu diwujudkan dalam usaha
menangani masalah ini.
Semoga dengan usaha bersepadu ini, masalah salah laku zina
ini dapat diperangi secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment