expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday 7 June 2012

Kemenangan awal tidak melekakan tentera Islam




BAGINDA kemudian pulang semula ke Madinah tanpa menyangka akan berlangsung sebuah perang besar yang lazimnya diketuai oleh baginda sendiri sebagai panglima perangnya.


Berita akan kehadiran tentera Islam itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan Syurahbil. Tentu sahaja Syurahbil menjadi gementar mendengarkan berita itu lalu dengan segera beliau berangkat ke Romawi untuk menyampaikan berita tersebut bagi mendapatkan bantuan daripada Heraklius. 


Tentera Syurahbil sahaja tentu tidak mencukupi untuk menghadapi tentangan daripada pihak Islam itu. Tanpa sebarang usul periksa lagi dan mengambil sebarang pertimbangan, pihak kerajaan Rom pun segera menghantarkan angkatan perang berjumlah 100,000 tentera yang lengkap bersenjata bagi membantu Syurahbil menghadapi pihak Islam. 


Satu jumlah yang cukup besar, yang mampu mengalahkan tentera Islam dengan sekelip mata.


Namun tidak cukup dengan bantuan tentera Rom itu, pihak musuh juga mengadakan pakatan dengan pelbagai kabilah-kabilah Arab yang berdekatan dengan Syam dan utara Semenanjung Arab untuk sama-sama bangun menentang Islam.


Kali ini mereka benar-benar ingin memberikan satu penentangan yang cukup besar terhadap Islam. 


Akhirnya seramai 100,000 tentera pakatan musuh dapat ditambah menjadikan 200,000 yang akan menentang 3,000 tentera Islam. 


Antara puak-puak kabilah Arab yang bangkit membantu tentera Rom itu termasuklah; suku Lakham, Juzam, Al Qain, Bahra dan Balyu. 


Sebagai kerajaan terbesar di dunia itu, tentunya pasukan tentera Rom adalah yang paling digeruni oleh lawan dan kawan namun tanpa ada pilihan tentera Islam akan menghadapi juga di medan perang Muktah. 


Sehinggalah tentera Islam tiba di suatu tempat bernama Wadi Qura, tentera Islam bertembung dengan satu pasukan tentera Rom seramai 50 orang yang diketuai oleh Sadus. 


Iaitu pasukan yang dihantar sebagai pasukan risikan untuk mengetahui kekuatan tentera di pihak Islam.


Namun sudah tidak dapat dielakkan lagi, maka berlakulah satu pertempuran awal dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. 


Namun kemenangan awal tidak membuatkan tentera Islam menjadi leka, lebih-lebih lagi setibanya di Mu'an mereka begitu terkejut apabila mengetahui jumlah sebenar anggota tentera di pihak musuh yang jauh lebih besar, kuat dan hebat. 


Tambah mengejutkan kali ini, Raja Heraklius sendiri turun ke medan perang sebagai Ketua Turus Tentera yang terkenal dengan kehebatannya di medan perang. 


Sedangkan mereka hanya diketuai oleh Zaid, yang hanya merupakan anak angkat Rasulullah.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com