SELEPAS Allah menceritakan berkenaan dengan mukadimah
sumpahan dengan kebesaran hari kiamat serta mengesahkan manusia dan sifat
kejadiannya begitu juga peristiwa yang akan berlaku apabila kiamat, maka pada
ayat seterusnya Allah masih lagi membicarakan berkenaan dengan suasana dan
keadaan kiamat.
Firman Allah SWT: Pada hari itu manusia berkata: Ke mana
tempat berlari? (al-Qiyamah: 10)
Al-Maraghi berkata: "Pada ketika itu manusia berkata
sesama mereka dalam keadaan hairan dan bingung: Di manakah tempat untuk
melarikan diri dari neraka Jahanam? Apakah ada tempat berlindung
daripadanya?"
Ibnu Kathir berkata: " Jika anak cucu Adam telah
menyaksikan peristiwa yang mengerikan itu pada hari kiamat kelak, maka mereka
hendak melarikan diri dan berkata: Ke mana tempat berlari? Yakni, adakah tempat
untuk berlindung?"
Sayid Qutub berkata: "Di tengah-tengah ketakutan dan
revolusi alam yang mengerikan ini, manusia tertanya-tanya di mana tempat lari
dan pertanyaan ini membayangkan seolah-olah manusia ketika itu melihat ke
segenap sudut dan arah, tiba-tiba didapatinya segala jalan di hadapannya
tertutup."
Dia benar-benar terkepung, tiada lagi jalan untuk mencari
perlindungan dan keselamatan dan juga tiada lagi tempat untuk melarikan diri
daripada azab Allah, daripada kekuasaan-Nya serta daripada kembali dan
berlindung di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak! tidak ada tempat
berlindung!. Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.
(al-Qiyamah: 11-12)
Al-Maraghi berkata: "Tidak ada tempat yang dapat
dijadikan sebagai perlindungan daripada azab Allah SWT. Tidak ada benteng,
tidak ada gunung dan tidak ada senjata yang dapat melindungi kamu daripada
seksaan-Nya."
Kepada Tuhan sahaja tempat kamu kembali di dalam syurga atau
neraka. Ia terserah kepada kemahuan-Nya. Sesiapa yang dikehendaki-Nya masuk
syurga, akan masuk ke syurga begitu juga jika Dia menginginkan ke dalam neraka,
maka nerakalah tempatnya.
Al-Suddi berkata: "Mereka apabila berasa takut di dunia,
mereka berlindung di gunung-ganang. Allah pun berfirman kepada mereka yang
bermaksud: Tidak ada tempat berlindung yang dapat melindungi kamu daripada
Aku".
Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Said bin Jubair dan lain-lain
daripada ulama Salaf mengatakan: "Iaitu tidak ada keselamatan."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu kamu semua tidak akan
mendapatkan tempat untuk berlindung pada-Nya dan hanya kepada Allah SWT tempat
kembali."
Sayid Qutub berkata: "Keinginan manusia untuk terus
melakukan maksiat dan kejahatan tanpa hisab dan balasan itu tidak akan berlaku
lagi pada hari itu. Bahkan pada hari itu segala perbuatan yang telah mereka
lakukan akan dihisab dan akan diingatkan oleh Allah SWT sekiranya dia
lupa."
Seterusnya akan menerima balasan yang wajar selepas ia
mengingati kejahatannya dan melihat laporan amalannya terbentang di hadapannya.
Firman Allah SWT: Pada hari itu diberitakan kepada manusia
apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya. (al-Qiyamah: 13)
Sebenarnya ayat ini ditafsirkan dengan banyak pendapat,
antaranya:
- Akan diberitakan seluruh amalannya dari awal hingga akhirnya seperti pendapat Mujahid. Al-Maraghi berkata: "Ketika dihadapkan, dihisab dan ditimbang amal perbuatannya, manusia diberitahu semua perbuatannya yang dahulu dan yang kemudian, awal dan akhir, besar dan kecil."
- Al-Qusyairi berkata: "Pemberitahuan ini adalah pada hari Kiamat, iaitu ketika amal perbuatan ditimbang."
- Dengan apa yang terdahulu daripada kejahatan dan yang akhir daripada kebaikan seperti pendapat Ikrimah.
- Dengan apa yang dilakukan pada awalnya yang fardu dan yang akhirnya dengan fardu juga seperti pendapat ad-Dahak.
- Dengan apa yang dilakukan pada awalnya daripada maksiat dan pada akhirnya dengan ketaatan.
- Dengan apa yang mereka kemukakan daripada hartanya yang akhirnya ditinggalkan untuk warisnya, inilah pendapat Zaid bin Aslam.
- Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, Allah SWT memberitahu tentang seluruh amal perbuatannya, sama ada yang lama mahupun yang baru, yang pertama mahupun yang terakhir, yang kecil mahupun yang besar dan demikian yang seterusnya."
Sayid Qutub berkata: "Manusia akan diberitahu tentang
segala amalan yang telah dilakukannya sebelum ia mati termasuklah kesan-kesan
daripada amalan dan perbuatannya sama ada baik ataupun buruk."
Kesan-kesan daripada segala amalan dan perbuatan yang
dilakukan oleh seseorang akan ditokok tambah kepada kumpulan amalannya dalam
kiraan terakhir.
No comments:
Post a Comment