WANITA disaran supaya menjarakkan
kehamilan sekurang-kurangnya selama dua tahun.
MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan
kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.
Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat
turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.
Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran,
Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan
memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.
Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu
dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil
memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.
Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium
yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.
“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan
jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.
Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan
turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.
Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak
langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.
“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia
terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar
Annissa.
Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan
kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.
Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan
terdapat pada bahagian itu.
MINUM banyak susu dapat menambah
bekalan kalsium ibu hamil.
Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu
struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang
akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park,
Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam
badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.
Berpantang
“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang.
Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan
tulang.
“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah
osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,”
katanya kepada Jurnal.
Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber
kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk
mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.
Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang
dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr.
Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh
kehamilan.
Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin,
Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang
tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.
TULANG rapuh disebabkan kalsium di
dalamnya telah diserap oleh tubuh.
“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh
seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.
“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat
digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan
trauma kelahiran,” katanya.
Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum
kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga
kesihatannya.
Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan
kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan
dengan pelbagai kaedah.
“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku.
Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu
alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.
No comments:
Post a Comment