MENGIKUT Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh
Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah
dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang,
ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari
ini.
Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah
mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah.
Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14
menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.
Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang
di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri
daripada adinda dan anakanda baginda.
Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku
Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong,
Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku
Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar,
Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11
April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta,
Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi
keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di
Istana Anak Bukit, Alor Setar.
Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku
Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana
Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong
pertama Persekutuan Tanah Melayu.
TUANKU Abdul Halim (dua dari kiri)
bersama ayahanda dan bonda serta adik-beradik. Foto ini dirakam pada tahun
1930-an.
Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga
1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains
Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.
Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd.
Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.
Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat
istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan
mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.
“Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan
menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran
berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang
melambangkan majlis meminang,” katanya.
Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari
ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah
air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.
“Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara
mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat
jelata,” ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun
1956.
Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga
puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan
Safinaz.
Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana
Kuala Chegar, Anak Bukit.
Istiadat perkahwinan
Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat
gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah
Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah
Kedah.Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan
berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.
Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan
Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud
pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.
Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua
berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan
rakyat jelata.
AYAHANDA bonda Tuanku Abdul Halim,
Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah.
“Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan
turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat
pada istiadat perkahwinan baginda berdua,” kata pengkaji sejarah berusia 79
tahun ini.
Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda
dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor
selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.
Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak
saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul
Hamid.
Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan
Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan
institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.
Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma
Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak
iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku
Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.
Lapan kali kahwin
Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul
Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah
yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.
Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah
atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun
1854 hingga 1879.
Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai
dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan
Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah
Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan
Jah.
Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid
berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan
Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.
TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah
bersama Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh
istiadat di Dataran Parlimen tahun lalu.
Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che
Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan
Che Sofiah.
Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan
Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan
Kedah dan Siam.
Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera
dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama
Che Sofiah.
“Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah
adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim
sekarang.
“Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid
daripada isteri baginda, Che Manjalara,” katanya.
No comments:
Post a Comment