PERANG Muktah, sebuah perang besar yang jika tidak ada dalam
pengetahuan umat Islam hari ini maka itu adalah sesuatu yang sangat merugikan.
Tidak sahaja bermakna, mereka tidak sempurna penguasaan sirah
Rasulullah SAW tetapi juga tidak dapat mengambil sebarang pengajaran daripada
sejarah perang tersebut.
Sebuah perang yang melibatkan jumlah kecil di pihak Islam,
iaitu hanya seramai 3,000 anggota tentera berbanding berpuluh-puluh kali ganda
jumlahnya di pihak musuh, iaitu 200,000 orang.
Dengan jumlah yang sebegitu, apa logiknya lagi jika yang
kecil dapat mengalahkan yang besar. Tentu sahaja tidak masuk akal, apatah lagi
pihak musuh tersebut merupakan tentera Rom yang tidak dinafikan memiliki
barisan tentera dan ketenteraan yang paling canggih, lengkap dan paling kuat
ketika itu.
Perang Muktah berlangsung pada tahun 7 Hijrah atau pada tahun
629 M iaitu setahun sebelum berlangsungnya peristiwa Pembukaan Kota Mekah
(Fathul Mekah), sebuah perang besar yang kini turut melibatkan sebuah pengaruh
asing dari sebuah empayar kerajaan yang sangat besar, iaitu Romawi.
Perang ini berlaku ekoran daripada peristiwa pada tahun ke 6
Hijrah apabila seorang sahabat, Al Harits bin Umair Al Azadi yang menjadi
utusan bagi kerajaan Islam dibunuh dengan kejam iaitu dipenggal lehernya oleh
Syurahbil bin Amr Al Ghassani, pembesar Kota Muktah, yang merupakan wakil
kepada kepada Raja Heraklius dari Kerajaan Romawi.
Pada mulanya kehadiran Al Harits diterima baik oleh
Syurahbil, diberikan layanan yang sewajarnya sehinggalah apabila mengetahui
maksud kehadiran Al Harits, iaitu membawa surat perutusan dakwah daripada
baginda Rasulullah menyebabkan Syurahbil tiba-tiba bertukar menjadi marah.
Surat itu dan kehadiran Al Harits dilihat seolah-olah baginda
Rasulullah SAW berhasrat untuk meluaskan pengaruh dan bakal mengancam
kedudukannya di situ, ini menyebabkan Syurahbil tanpa berfikir panjang terus
membunuh wakil Rasulullah itu.
Al Harits ditangkap lalu diikat dan terus dibunuh dengan
kejam namun peristiwa ini tidak diketahui oleh baginda sehinggalah satu
siasatan yang mengambil masa agak lama untuk mengetahui kisah dan dalang di
sebalik pembunuhan Al Harits itu.
Tidak sahaja akhirnya baginda mengetahui pembunuhan terhadap
wakil baginda itu malah baginda juga mendapat tahu terdapat pelbagai kekacauan
yang terjadi di daerah-daerah bahagian utara Kota Madinah itu bertujuan untuk
menimbulkan huru-hara terhadap kedudukan Islam.
Lantas tidak sahaja untuk membela kematian Al Harits, baginda
pun mengambil keputusan untuk menghantar bala tentera Islam ke daerah-daerah
utara itu bagi menghentikan segala penentangan terhadap Islam.
Lalu seramai 3,000 anggota tentera Islam dikumpulkan di
sebuah tempat bernama Jaraf, sebuah dusun yang jaraknya lima kilometer dari
Madinah.
Anak angkat baginda, iaitu Zaid bin Harithah diberi
kepercayaan dan tanggungjawab oleh baginda untuk mengetuai peperangan kali ini
dan bertanggungjawab untuk membawa bendera putih, lambang kekuatan tentera
Islam yang mesti dipertahankan.
"Jika Zaid tewas, hendaklah Jaafar bin Abi Talib segera
dilantik menggantikan Zaid sebagai ketua perang dan jika Jaafar juga tewas maka
hendaklah Abdullah bin Abi Rawahah pula dilantik menggantikan tempat
Jaafar," kata baginda di hadapan bala tentera Muslimin yang telah siap
sedia untuk berjuang.
Di samping baginda menyampaikan pesan bahawa kedatangan
tentera Islam ke Muktah bukan semata-mata untuk berperang tetapi hendaklah
disampaikan dahulu risalah dakwah Islam terhadap para penduduk kota itu.
"Jika mereka menolak dengan kekerasan, barulah penduduk
kota itu diperangi dan jika terjadilah peperangan yang tidak dapat dielakkan
lagi maka hendaklah kamu memohon pertolongan daripada Allah untuk mengalahkan
para musuh sehingga kamu mencapai kemenangan atau sanggup mati syahid kerana-NYA,"
kata Rasulullah SAW.
Lalu baginda mengiringi para tentera Islam itu sehingga di
Tsaniyyatul Wada, sebelum baginda melepaskan mereka untuk terus bergerak ke
Muktah.
Di situ juga baginda menyampaikan khutbah perang: "Aku
hendak berpesan kepada kamu dengan takwa kepada Allah dan orang-orang Islam
yang lain! Berperanglah kamu dengan nama Allah di jalan Allah, terhadap mereka
yang tidak percaya kepada Allah itu. Jangan kamu bercerai-berai, janganlah kamu
melebihi batas, jangan kamu membunuh anak-anak yang kecil, kaum perempuan,
jangan kamu membunuh mereka yang lanjut usia dan mereka yang mengasingkan diri
di biara-biara atau di gereja-gereja, jangan kamu hampiri pohon-pohon tamar
(kurma), jangan kamu tebang pohon-pohon kayu dan jangan kamu rosakkan rumah-rumah
kediaman mereka."
Kemudian baginda mengakhiri khutbah tersebut dengan berdoa:
"Mudah-mudahan Allah menyertai kamu dan menjauhkan kamu daripada segala
mara bahaya dan mengembalikan kamu kepada kami dengan selamat."
No comments:
Post a Comment