SEMEMANGNYA dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan
mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi manusia.
Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara
kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka, kononnya
ia bertujuan memburukkan sesiapa.
Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan
dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi
sehingga wujud cabar-mencabar.
Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti
dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.
Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan
merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.
Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: Serulah
(manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan
bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita melihat semakin
banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang
itu mempunyai kebenarannya.
Islam telah menggariskan dalam membuat teguran. Kita haruslah
berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan'
bagi menjelaskan sesuatu perkara.
Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita
memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur.
Kita tidak harus melatah, apatah lagi terlalu emosional
sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya
akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak
tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan
diperhitungkan oleh Allah SWT.
Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan
menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan
antara kita.
Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah
dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan: Dan berpegang teguhlah
kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan
ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah
menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang
yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka
Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu
ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.
No comments:
Post a Comment