Rata-rata umat Islam hari ini tidak dihalang untuk ke Mekah, sama ada untuk tujuan haji mahupun umrah berbanding pada zaman awal Islam. - Gambar hiasan
KINI setelah melalui pelbagai liku-liku perjalanan yang getir
terutamanya menghadapi Perang Khaibar dan memerangi puak-puak Arab yang bangun
menentang, maka genaplah setahun selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah.
Tempoh setahun ini sudah cukup membuatkan baginda menahan
rindu terhadap Mekah dan setelah setahun itu, tiada apa lagi yang boleh
menghalang untuk baginda ke Mekah.
Malah peluang perlu diambil sebaik sahaja baginda mematuhi
seperti mana syarat Perjanjian Hudaibiah itu sendiri yang membenarkan umat
Islam masuk ke Mekah pada tahun berikutnya selepas termeterainya Perjanjian
itu.
Maka menjelang bulan Zulkaedah tahun ke-7 Hijrah baginda
mengajak para pengikutnya untuk bersama-sama dengannya untuk kembali ke Mekah,
semata-mata untuk melaksanakan ibadat Umratul Qada, menyempurna- kan
ibadat umrah yang tertangguh sejak setahun yang lalu.
Keutamaan untuk bersama baginda ke Mekah itu adalah mereka
yang pernah bersama-sama dengan baginda dalam cubaan memasuki Mekah sehingga
membawa kepada perjanjian Hudaibiah pada tahun lalu.
Peluang seperti ini sememangnya suatu berita paling gembira
dan menarik buat umat Islam. Mereka sebagaimana Rasulullah sendiri yang sangat
merindui Kaabah dan Mekah.
Ditambah, mereka baru sahaja beroleh harta rampasan perang
yang membolehkan mereka mampu ke Mekah untuk dijadikan bekal perjalanan dan
meninggalkan nafkah atau saraan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan di
Madinah.
Jika sebelum ini hanya seramai 1,400 pengikut Islam yang
bersama Rasulullah ke Mekah, kali ini seramai 2,000 umat Islam tidak
sabar-sabar untuk ke sana.
Lantaran itu, baginda meminta bantuan dua orang sahabat,
iaitu Abu Dzar al Ghifari dan Abu Rahmin Khaltum bin Husain@Hushain untuk
memangku jawatan baginda bagi memimpin, mentadbir dan yang lebih penting
menjaga keselamatan Madinah selama ketiadaan baginda.
Rombongan kali ini tidak sahaja dianggotai oleh mereka yang
menyempurnakan umrah seramai 100 orang lagi merupakan mereka yang ditugaskan
sebagai angkatan tentera berkuda bagi menjamin dan menjaga keselamatan anggota
rombongan, walaupun tindakan ini nanti menimbulkan kemarahan kepada pihak
Quraisy kerana seolah-olah Rasulullah mempunyai niat untuk melancarkan perang
terhadap mereka.
Sedangkan mengikut syarat, umat Islam hanya dibenarkan
membawa senjata musafir iaitu sebilah pedang bersarung yang disisipkan di
pinggang.
Ini kerana kata baginda; "Kita tidak akan masuk ke Tanah
Haram dengan senjata (tentera berkuda). Tetapi biarlah senjata itu berdekatan
dengan kita. Apabila pihak Quraisy menganggu kita, senjata itu sudah berdekatan
dengan kita."
Begitulah niat sebenar dan ada logiknya baginda bertindak
seperti itu.
Baginda juga membawa dan menandakan pada 60 ekor leher unta
untuk dijadikan korban setelah selesai melakukan ibadat umrah itu.
Berita satu rombongan besar dari Madinah menuju ke Mekah itu
tentu sahaja menimbulkan kegemparan kepada penduduk Mekah.
Walaupun baginda telah memakai pakaian ihram bererti mereka
benar-benar untuk bertujuan melakukan ibadat namun penduduk Mekah sedar bahawa
tidak mustahil akan berlaku sebarang pertumpahan darah atas pelbagai
persengketaan yang ada sebelum ini.
Sehinggakan pembesar Mekah meminta mana-mana individu yang
bimbang tidak dapat mengawal diri mereka daripada bergaduh atau menganggu umat
Islam untuk berada di luar Mekah, selama umat Islam melakukan ibadat tersebut.
Sebenarnya berulang kali juga pihak Quraisy Mekah menghantar
wakil mereka bertemu dengan baginda bagi memastikan segala syarat perjanjian
dipatuhi sehinggalah mereka puas hati barulah Rasulullah dan rombongannya
dibenarkan masuk ke Mekah.
Tetapi dengan syarat, hanya untuk tempoh tiga hari sahaja.
No comments:
Post a Comment