Sebelum menghasilkan teh, UPM juga pernah mengkomersialkan daun kelapa sawit sebagai kordial dan biskut.
TERFIKIRKAH anda daun kelapa sawit yang selama ini kelihatan
tidak bernilai sebenarnya mampu menjadi bahan antioksida yang terbaik.
Daun kelapa sawit sebenarnya baik untuk meredakan penyakit
kardiovaskular (pernafasan) dan mampu membantu menurunkan kadar kolestrol dan
gula dalam tubuh seseorang.
Penemuan tersebut agak mengejutkan kerana selama ini daun
kelapa sawit merupakan bahan buangan pertanian yang sering ditafsirkan tidak
memiliki kegunaan selain dijadikan makanan ternakan.
Menurut penyelidik dari Fakulti Sains Teknologi Makanan,
Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Suhaila Mohammed, kajian bagi
mencari alternatif bahan antioksida kepada hampir 150 jenis tumbuhan akhirnya
membawa mereka kepada daun kelapa sawit.
“Dalam kajian yang saya jalankan mendapati, kandungan
antioksida yang dalam daun kelapa sawit mampu menurunkan kadar darah tinggi
dalam haiwan yang diuji.
“Biar pun manusia tidak makan daun ini, namun ia telah lama
dijadikan makanan kepada haiwan ternakan," ujarnya ketika ditemui di UPM,
Serdang, Selangor baru-baru ini.
Katanya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit bukanlah
agen yang terbaik namun ia memiliki potensi untuk dikomersialkan.
Hal demikian kerana daun kelapa sawit mudah diperolehi selain
kos pemprosesannya juga jauh lebih murah dan mudah.
Selain mampu bertindak sebagai agen antioksida, bahan yang
terdapat di dalam daun kelapa sawit juga memiliki kandungan estrogen yang baik.
Kebiasaannya bagi wanita yang baru bersalin daya ingatan
mereka akan menjadi lemah berikutan semasa mengandung hormon tersebut
berkurangan.
Justeru, kehadiran hormon phytoestrogen dalam daun kelapa
sawit mampu meningkatkan hormon estrogen dalam tubuh badan seseorang seterusnya
menstabilkannya.
Ujarnya, bahan yang terdapat dalam daun kelapa sawit tersebut
juga mampu menguatkan struktur tulang.
Ujian yang dilakukan ke atas tisu haiwan juga mendapati bahan
yang terdapat di dalam daun kelapa sawit mampu memelihara tisu organ selain
mempercepatkan proses pemulihan tisu.
Di kenali sebagai Phytoquest, UPM bersama sebuah syarikat
swasta telah mengeluarkan dua produk berasaskan daun kelapa sawit tersebut.
Pertama berbentuk uncang teh dan kedua dalam bentuk kapsul.
Bagaimanapun, kedua-dua produk itu mampu memberikan kesan
yang sama cuma berbeza dari segi cara pengambilannya.
No comments:
Post a Comment