expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, 13 May 2012

Artifak Aga Khan kegemilangan Islam




Manuskrip lama menceritakan seni bina dan sistem perbandaran Islam di samping artifak seramik, kerja logam, gading, batuan, kayu, tekstil, kaca, kristal dan lukisan miniatur yang turut dipamerkan.


BELIAU memiliki sebuah manuskrip lama yang disifatkan sebagai antara koleksi terbaik dunia, iaitu manuskrip volume ke lima Kanun Perubatan (The Canon Of Medicine) atau Kanun Fit Tibb tulisan cendekiawan Islam tersohor, Ibnu Sina yang bertarikh 1052 Masihi. 


Dikatakan manuskrip tersebut adalah yang paling laku atau laris pada abad pertengahan kerana digunakan dengan begitu meluas selama 500 tahun, diulang cetak sebanyak 35 kali dan diterjemah kepada 30 bahasa di seluruh Timur Tengah dan Eropah. 


Iaitu sebagai satu standard perubatan dan menjadi asas kepada pengajian perubatan di kebanyakan universiti-universiti di Eropah sehingga awal era zaman moden.


Pemilik bertuah yang dimaksudkan itu ialah bilionair Muslim terkenal, Aga Khan. 


Menyebut namanya sahaja bukanlah sesuatu yang asing kerana telah begitu kerap diperkatakan mengenai sifat-sifat dermawan beliau yang membelah lautan dan merentas sempadan membantu umat Islam di seantero dunia.


Beliau merupakan Pengasas dan Pengerusi Jaringan Pembangunan Aga Khan yang membuka pelbagai cabang pembangunan sosial, ekonomi dan budaya di hampir 30 buah negara membangun di seluruh dunia. 


Apatah lagi dalam pemuliharaan khazanah seni dan budaya Islam terutamanya seni bina sehingga beliau berbelanja besar memperkenalkan satu anugerah seni bina yang paling prestij di dunia, iaitu Anugerah Seni Bina Aga Khan, yang dianjurkan setiap tiga tahun dengan antara lain penerima anugerah menerima hadiah lumayan sebanyak RM3 juta. 


Namun Aga Khan mempunyai banyak cara lain bagi menghargai nilai-nilai estetika yang terdapat pada seni bina, terutamanya seni bina Islam lama dan moden.


Aga Khan mengumpul dan memulihara pelbagai khazanah Islam supaya dapat dijadikan rujukan oleh generasi akan datang.


Muqarnas 


Antara yang berharga ialah beberapa arca seramik ukiran muqarnas yang disaluti warna biru firus. 


Sudahlah ukirannya sangat indah, unik dan kompleks, warnanya pula sangat menenangkan. Malah menyejukkan mata memandang. 


Pemilihan warna seperti itu bagi menjawab pertanyaan mengapa kebanyakan masjid di dunia, dicat atau dilapisi seramik berwarna biru, firus dan hijau. 


Pemilihan warna dikira penting dalam seni bina Islam, kerana ia memainkan peranan sebagai terapi kepada pelbagai permasalahan manusia. 


Maka tidak hairan jika dinding bahagian dalam Masjid Biru di Istanbul Turki, misalnya dilapisi lebih kurang 20,000 kepingan jubin seramik berwarna biru.


Sekeping panel kayu yang berukir kaligrafi khat jenis thuluth turut membuatkan kita begitu tertarik. 


Ukiran khat tersebut bukan daripada ayat-ayat al-Quran seperti yang sering kita temui. Ia merupakan dua barisan sajak atau puisi terukir dalam satu panel daripada tokoh mistik dan penyair terkemuka Iran, Khwajeh Shams al Din Muhammad Hafez-e Shirazi.


Lebih dikenali sebagai “Hafiz dari Shiraz", sukar untuk dijelaskan bagaimana dua bait sajak yang berbeza diukir saling bertingkah huruf dan perkataan atas dan bawah di atas panel kayu itu.


Balang Kilga


Satu lagi koleksi Aga Khan yang menarik ialah artifak batu yang mengungkap kehebatan umat Islam dahulu dalam menghasilkan rekaan unik namun berfaedah besar kepada mereka.


Jika pada hari ini, di rumah atau di pejabat kita dilengkapkan dengan mesin penapis air dan air tersebut disimpan di dalam bekas daripada plastik untuk tujuan minum dan sebagainya.


Namun sebenarnya sejak dari abad ke-12 lagi, ‘mesin’ seperti itu telah ada dicipta dan diguna oleh umat Islam. 


Dikenali sebagai Balang Kilga dan ditemui di Kaherah, Mesir, ia adalah alat penapis air dengan sistem tapisan menggunakan aliran air dengan menggunakan kaedah tertentu. Pada bahagian atasnya terdapat balang kaca untuk tujuan menyimpan air yang telah ditapis. Tidakkah itu satu pencapaian inovasi umat Islam yang sangat mengagumkan tetapi masih misteri, kerana bagaimana teknologi tapisan air ditemui, tidak siapa tahu sehingga ke hari ini.


Satu lagi koleksinya yang unik ialah sebiji pinggan porselin biru yang mungkin pada anggapan kita ia pinggan yang berasal dari Dinasti Ming salah sebuah empayar agung China. 


Tetapi pinggan itu sebenarnya berasal dari Dinasti Safavi, sebuah kerajaan besar yang pernah memerintah Iran. Jika dari Iran pun, apa yang istimewanya?
Sebenarnya, ia bagi menunjukkan bahawa dunia Islam turut memerhatikan dan mengagumi akan segala seni tembikar China. Mereka sedia ‘meniru’ dengan mempelajari segala teknik pembuatan pinggan, mangkuk tembikar tersebut dan dijelmakan kembali mengikut inspirasi seni Islam.


Selain itu, sebuah panel yang mengandungi 18 keping jubin bersambung antara satu sama lain pasti memukau pandangan kerana ia memerah seluruh kekuatan minda untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh panel tersebut. 


Ditemui di bahagian utara dinding halaman luar Masjid Darwish Pasha di Damsyik, Syria pada tahun 1572 panel itu bagaikan sebuah lukisan abstrak bagi mencari makna di sebalik imej dua tiang mihrab, dua lantera terletak di bahagian ‘lantai’ dan terdapat imej sepasang sandal Rasulullah serta lampu gantung berhias tulisan dua kalimah syahadah. 


Dikatakan sandal Rasulullah yang turut mewakili tapak kaki baginda itu menjadi satu ikonografi yang tersebar luas sehingga ke Iran dan India di abad ke-16. 


Dapat difahami bahawa sandal itu dikatakan telah hampir menyentuh singgahsana Allah, cukup memberikan satu makna yang besar bahawa Nabi Muhammad benar-benar mewakili manusia kelas tertinggi untuk menjadi idola sempurna supaya dicontohi oleh umat manusia seluruh dunia.


Yang pastinya, banyak lagi bahan-bahan artifak yang dimiliki oleh Aga Khan yang kini boleh disaksikan umat Islam di negara ini melalui pameran yang terdapat di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).


Di galeri MKIM itu, Aga Khan berkongsi dengan para pengunjung sebahagian daripada 1,000 koleksi seni milik beliau dalam Pameran Khazanah Muzium Aga Khan Seni Bina Dalam Kesenian Islam.


Ia berlangsung sejak 30 Mac lalu sehingga 29 Jun ini dengan lebih 100 bahan artifak dan sejarah yang berkaitan dengan seni bina Islam milik Aga Khan dipamerkan.


Pameran itu pastinya menanti para pengunjung agar menghayati kekayaan dan kehebatan khazanah Islam. 


Bahkan setiap satu artifak itu mempunyai kisah unik yang menarik dan tersendiri. 


Ia membawa kita kembali meneroka ke zaman silam bagi mempelajari, menghayati dan menerokai kegemilangan Islam.


Pameran ini merupakan sebahagian daripada pameran bergerak yang sebelum ini telah mengembara di banyak kota-kota utama dunia, terutamanya di Eropah. 


Ini termasuklah Parma (Itali), London, Paris, Lisbon, Toledo, Madrid, Barcelona, Berlin dan Turki. 


Untuk Asia pula, buat pertama kali Malaysia terpilih untuk mempamerkan sebahagian koleksi eksklusif yang didaftarkan di bawah Lembaga Amanah Kebudayaan Aga Khan itu.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com