KetuA jurulatih Kelantan, Bojan Hodak (kiri) mengendalikan latihan anak-anak buahnya di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. Kelantan akan menentang Sime Darby pada perlawanan akhir Piala FA, esok.
KOTA BHARU - Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi mahu
mengelak perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini ditentukan menerusi penalti.
Menurut Mohd. Badri, dia dan rakan sepasukan mahu menamatkan
perlawanan tersebut dalam tempoh 90 minit kerana jika berlanjutan dikhuatiri
akan memberi kesan kepada pasukan.
"Seboleh-bolehnya saya dan rakan sepasukan akan cuba
mengelak situasi tersebut berlaku. Bagaimanapun sekiranya situasi tersebut
berlaku kami telah bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya ketika
ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Badri atau lebih dikenali sebagai Piya
memberitahu, dia mahu menjadikan penampilan kali ketiga di pentas akhir Piala
FA musim ini dengan membantu Kelantan meraih kejuaraan buat kali pertama.
Katanya, pentas akhir kali ini merupakan peluang terbaik buat
dia dan rakan sepasukan menebus kekecewaan setelah tewas kepada seteru tradisi,
Terengganu 1-2 tahun lalu.
"Tahun lepas kita gagal melakukannya, jadi peluang yang
ada untuk musim ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk membawa pulang Piala
FA buat kali pertama ke bumi Kelantan.
"Untuk itu, saya dan rakan-rakan akan memberikan
persembahan terbaik dalam perlawanan tersebut dan menjulang kejuaraan sebagai
hadiah buat seluruh rakyat Kelantan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment