BIDANG
akuakultur di negara ini berkembang pesat sejajar dengan peningkatan jumlah
penduduk yang memerlukan sumber makanan daripada sektor perikanan.
Bagaimanapun, sumber perikanan marin yang kita miliki semakin
berkurangan dek kerakusan mereka yang tidak bertanggungjawab yang menangkap
ikan tanpa kawalan.
Dikhabarkan bahawa masalah tersebut berlaku di Terengganu
yang mana nelayan telah mengalami kerugian besar kerana sumber perikanan di
perairan Pantai Timur itu semakin susut.
Masalah tersebut menyebabkan harga ikan melambung dan
mendorong pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak swasta
bertungkus-lumus mencari jalan bagi memastikan bekalan sumber perikanan kita
ada dan cukup untuk menampung keperluan penduduk.
Oleh sebab itu, program dan aktiviti akuakultur semakin
mendapat perhatian.
Akuakultur merupakan proses menternak spesies hidupan mahupun
tumbuhan air tawar, air masin dan air payau dalam persekitaran yang terkawal.
Ia juga dilihat sebagai satu proses dan gerak kerja yang
perlukan pemantauan berterusan bagi meningkatkan mutu pengeluaran produk
akuakultur.
Unit makanan hidup merupakan unit yang terpenting dalam pengurusan
akuakultur. Antara zooplankton yang menjadi jantung kepada unit makanan hidup
adalah artemia.
Artemia merupakan makanan hidup yang diberikan kepada anak
ikan bermula pada umur tiga hari sehingga 25 hari.
Namun, masalah besar yang dihadapi oleh penternak kini adalah
pengeluaran kos yang tinggi terhadap makanan ikan dan jangkitan penyakit pada
anak ikan yang mengundang kerugian besar kepada mereka.
Bagi memastikan sektor akuakultur bertahan lama dan makin
berkembang, penyelidikan terhadap makanan hidup ikan wajar dilakukan,
terutamanya artemia.
Walaupun Malaysia tidak mempunyai tasik garam iaitu habitat
semula jadi artemia, namun ia telah dibuktikan di jiran terdekat Malaysia,
Thailand mampu untuk membiakkan artemia.
Di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), penyelidikan mengenai
artemia giat dijalankan iaitu untuk membiakkan artemia menggunakan bahan sisa
pertanian seperti biji getah, biji durian, biji nangka, kulit pisang dan sekam
padi ( sebagai kawalan).
Artemia diternak dan di beri makan empat jenis makanan iaitu
sisa bahan pertanian yang berbeza untuk melihat potensi makanan tersebut dalam
membiakkan zooplankton tersebut .
Setakat ini, sekam padi berjaya membiakkan artemia.
Selain itu, kesemua jenis makanan tersebut di analisis
protein termasuk jua artemia untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai
kandungan protein yang terdapat dalam kesemua makanan dan spesies berkenaan
tersebut.
Objektif kajian adalah untuk melihat potensi Malaysia dalam
menghasilkan artemia sendiri kerana spesies yang diimport membebankan dan
menelan kos yang tinggi.
Kajian yang dijalankan ini juga memfokuskan kepada bakteria
yang hadir dalam tangki penternakan artemia dan ujian pola ketahanan antibiotik
dan logam berat turut dikaji.
Sisa bahan pertanian yang digunakan berpotensi tinggi dalam
membiakkan artemia kerana ia mengandungi protein yang tinggi terutamanya biji
nangka dan biji getah.
Protein yang tinggi dalam makanan artemia adalah sangat bagus
untuk perkembangan anak-anak ikan. Selain itu, ia mampu menjadikan anak-anak
ikan tersebut rintang kepada penyakit.
Antara bakteria yang berjaya dikesan adalah patogenik
bakteria yang terdiri daripada E. coli, Salmonella sp.,
Aeromonas sp., Vibrio alginolyticus, Vibrio
parahaemolyticus, Pseudomonas sp., dan Flavobacter
sp.
Menurut kajian yang telah dijalankan di Belgium, bakteria
Pseudomonas sp. Hadir di dalam tangki ternakan melalui udara dan pam udara yang
terdapat di dalam tangki.
Antibiotik
Antibiotik merupakan elemen penting dalam akuakultur. Hal ini
kerana, ikan mahupun semua spesies mudah terdedah kepada jangkitan penyakit.
Antara antibiotik yang biasa digunakan dalam akuakultur
adalah kanamycin.
Kesemua bakteria di uji ketahanan terhadap 16 antibiotik yang
terpilih.
Kemudian sebanyak 41 tanaman ekstrak di uji bagi menggantikan
antibiotik yang juga dikenali sebagai antibiogram.
Artemia dan cabarannya
Sebagai zooplankton yang hidup di kawasan yang bersaliniti
yang tinggi, ia dilihat memberi cabaran yang besar kepada Malaysia untuk
membiaknya.
Malaysia tidak mempunyai tasik garam yang menjadi habitat
semulajadi artemia. Namun, ia bukan penghalang kepada kita untuk
menghasilkannya.
Dengan kesungguhan para saintis muda mahupun yang
berpengalaman dari UMK, diharap projek ini berjaya seperti mana Thailand yang
juga telah membuktikan mereka mampu untuk menghasilkan artemia.
Sokongan yang berterusan daripada kerajaan mahupun pihak yang
berwajib, diharap dapat memberikan impak yang sangat besar kepada industri
akuakultur di Malaysia ini.
No comments:
Post a Comment