Gunakanlah lidah kepada perkara-perkara yang bermanfaat seperti memabaca al-Quran dan berzikir. - Gambar hiasan
KEJAHATAN lidah adalah di antara wabak penyakit yang amat
berbahaya. Ia terhasil daripada penyakit hati yang diharamkan di dalam Islam
sebagai salah satu daripada kejahatan batin.
Allah SWT berfirman dalam surah al-A'raaf ayat 33 bermaksud: Katakanlah
Wahai Nabi: Sesungguhnya Tuhan saya hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang
keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi, perbuatan dosa dan perbuatan
menceroboh tanpa alasan yang benar.
Bentuk-bentuk kejahatan lidah adalah seperti memfitnah,
mencaci maki, mengumpat, menghina, mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak
secocok dengan adab Islam dan seumpama dengannya.
Kesemua sifat-sifat buruk ini merupakan antara penyebab utama
kepada perpecahan umat yang akhirnya menghancurkan kesatuan umat Islam serta
memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuhnya melakukan serangan demi
serangan.
Terlalu banyak larangan dan ancaman Allah SWT dan Rasul SAW
terhadap kaum-kaum yang menjadikan kejahatan lidah seperti memfitnah, mengadu
domba dan mencaci maki sebagai tabiat harian.
Namun masih ramai yang tidak mengendahkannya dan mengambil
pengajaran daripadanya, walaupun telah diberi peringatan. Maka jelaslah bahawa
peringatan itu hanya memberi kesan kepada orang-orang yang sempurna imannya
berdasarkan firman Allah SWT dalam curah Al-Zariyaat ayat 55 yang bermaksud: Berilah
peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada
orang-orang beriman.
Di dalam surah yang lain pula Allah SWT menyatakan lagi sifat
seorang mukmin yang sejati itu dengan firman-Nya dalam surah al-A'la yang
bermaksud: Yang akan mendengar peringatan itu adalah orang yang takutkan
Tuhannya, manakala yang menjauhi-Nya pula adalah sifat orang yang mendapat
kecelakaan.
Dalam sejarah Islam, semenjak kehidupan Rasulullah SAW lagi
telah berlaku banyak gejala fitnah memfitnah dan mengadu domba yang kesemuanya
didalangi dan direncanakan oleh kaum Yahudi dan munafik.
Jelasnya, tabiat memfitnah dan mengadu domba bagi menyemai
kebencian di dalam hati umat Islam adalah warisan daripada tabiat kaum Yahudi
dan munafik yang tercela semenjak dahulu lagi.
Justeru, menerima, mencontohi, mengagungkan dan menyerupai
sifat-sifat mereka itu hanyalah akan menghimpunkan kita bersama-sama mereka di
akhirat kelak berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang menyerupai
suatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.
Hari ini kita menyaksikan betapa umat Islam benar-benar telah
menjauhkan diri daripada siraman rahmat Allah SWT.
Semuanya itu terhasil lantaran masing-masing setiap hari
mengutamakan agenda peribadi tanpa mengutamakan keutuhan menara Islam itu
sendiri.
Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja seperti memfitnah,
mengadu domba dan menghasut demi melampiaskan rasa dendam dan ketidakpuasan
hati terhadap sesuatu tanpa mengira apakah korban dan akibatnya.
Mereka sanggup meruntuhkan menara-menara Islam,
institusi-institusi dan ikon-ikonnya hanya kerana rasa dendam dan hasad dengki
meskipun natijahnya ialah sebuah kehancuran, perpecahan, persengketaan dan
barangkali menjurus kepada pertumpahan darah.
Alangkah eloknya kita menutup bicara kali ini dengan sebuah
pesanan daripada Hujjah Al-Islam Al-Imam Ghazali RA di dalam kitabnya Bidayah
Al-Hidayah mengenai peranan lidah dan fungsinya: "Manakala lidah;
hanyalah ia diciptakan bagi kami agar kamu memperbanyakkan zikrullah dengannya,
membaca kitab-Nya, menunjukkan makhluk Allah SWT ke arah jalan-Nya dan
menzahirkan apa yang terlintas di hati nurani engkau daripada keperluan agama
dan dunia engkau. Apabila engkau menggunakan ia selain daripada peranannya itu,
sesungguhnya engkau telah mengkufuri Allah pada nikmatnya kerana ia adalah
orang yang paling utama bagi engkau dan segala makhluk. Tidaklah manusia itu
tersungkur menjunam ke dalam neraka melainkan hasil daripada kejahatan
lidahnya."
No comments:
Post a Comment