KETUA pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, pemain dan pegawai pasukan Kelantan menjulang Piala FA selepas menumpaskan Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR - Setelah dua kali kecewa, penyokong The Red
Warriors pulang dengan kegembiraan dari Stadium Nasional Bukit Jalil apabila
Kelantan seperti diramal muncul juara Piala FA 2012 menewaskan Sime Darby 1-0,
semalam.
Kelantan mengesahkan trofi yang tidak pernah mereka miliki
hasil sepakan penalti penyerang import dari Lebanon, Mohammed Ghaddar pada
minit ke-58.
Di hadapan 85,000 penonton, Ghaddar tenang merembat bola
menerjah gawang Sime Darby bagi memastikan penantian 23 tahun Kelantan untuk
mengucup kejuaraan Piala FA buat kali pertama berakhir.
Trofi tersebut melengkapkan rekod kejuaraan Kelantan yang
telah pun memenangi Piala Malaysia pada 2009 dan Liga Super musim lalu.
Tambah manis, Kelantan muncul pasukan pertama menjulang trofi
baru Piala FA yang diperkenalkan tahun ini, yang lebih ringan iaitu 4.5
kilogram berbanding 13 kilogram sebelum ini.
Kemenangan itu juga melengkapkan janji ketua pasukan
Kelantan, Mohd. Badri Radzi untuk menghadiahkan trofi tersebut kepada Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa
terlaksana.
Trofi berkenaan juga boleh disifatkan sebagai amaran oleh
jurulatih baru Kelantan, Bojan Hodak yang masih memburu kejuaraan Liga Super.
Bagi Sime Darby, walaupun tewas, tiada apa yang mahu
dimalukan memandangkan skuad berstatus kelab itu mampu bertahan dengan baik
sepanjang perlawanan.
Hanya sepakan penalti Ghaddar menjadi pemisah kedua-dua
pasukan.
Ketua pasukan Sime Darby, Es Lizuan Zahid Amir dinobat selaku
Pemain Terbaik perlawanan akhir.
Mengulas kemenangan semalam, Bojan mengakui pasukannya tidak
beraksi pada tahap sebenar.
Namun, katanya ia tidak penting kerana pasukannya berjaya
memenangi perlawanan walaupun hanya menerusi sepakan penalti.
"Bagaimana corak permainan ia tidak penting. Apa yang
penting adalah kami menjulang kejuaraan.
"Rahsia kami dapat mengasak serangan lawan ialah
kejayaan kami mengikat penyerang utama Sime Darby, Ronaldinho.
"Kemenangan kami juga membuktikan walaupun Sime Darby
beraksi baik dalam Liga Perdana, tidak semestinya mereka mampu berbuat demikian
pada final malam ini," katanya.
Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria tetap memuji pemain
walaupun gagal mencipta kejutan sebagai pasukan kelab pertama yang memenangi
Piala FA.
"Ya... Kami terima kekalahan ini. Namun saya tetap
berbangga dengan apa yang pemain lakukan. Kami berbangga kerana berjaya mara ke
perlawanan akhir.
"Kami juga tidak memberi laluan mudah kepada Kelantan
untuk muncul juara apabila mengikat mereka tanpa jaringan pada babak pertama,"
katanya.
No comments:
Post a Comment