expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 25 February 2013

Tiga Fungsi Bintang Di Langit



Langit adalah sesuatu perkara atau benda yang tidak dapat diketahui secara jelas kecuali oleh Allah sahaja. Apa yang kita tahu, langit mempunyai ruang-ruang kosong yang menempatkan galaksi dan bintang-bintang. Himpunan galaksi dan bintang-bintang inilah yang kita namakan alam semesta.


Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menjelaskan akan fungsi bintang-bintang ini dan terdapat tiga fungsi yang disebutkan di dalam kitab-kitab tafsir, antaranya;









1. Merejam Syaitan
 

Berdasarkan;


Terjemahan : Surah Al-Mulk [67] : 5 


5. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala. 


Maksudnya : Bintang itu sebagai alat merejam syaitan atau satu siksaan kepada syaitan yang berupa meteor (bebola api). 


Terdapat dalam sebuah hadis dalam sahih Bukhari mengenainya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa para jin atau syaitan yang mencuri berita di langit (ketika Allah menetapkan sesuatu urusan di langit) akan terkena semburan api (meteor) sebelum syaitan itu sempat memberi maklumat kepada penduduk bumi. (Sila rujuk sahih Bukhari hadis bernombor 4701).






Oleh itu jika ada yang menyangka atau menganggap jika ternampak meteor yang melintasi langit lalu memohon sesuatu dan permohonannya akan dikabulkan, maka itu adalah perbuatan syirik dan jahil.


Termasuk juga mereka yang mempercayai horoskop walaupun hanya membaca secara ‘suka-suka’ kerana ia akan membantu lagi syaitan memperdayakan dirinya. Syaitan akan membisikkan kepada si pembaca bahawa seolah-olah ramalan itu benar. Seringkali kita mendengar orang berkata, “Aku tidak percaya horoskop, tetapi ada juga kebenaran bila membacanya...”. 


Sebenarnya inilah syaitan yang merasuk dalam pemikirannya dan dia menyangka berita bohong (ramalan bintang) itu adalah perkara yang kecil sahaja padahal di sisi Allah ia adalah sesuatu yang besar kerana ia melibatkan akidah dan boleh menjejaskan keimanan.





2. Perhiasan di Langit


Berdasarkan;


Terjemahan : Surah Al-Hijr [15] : 16


16. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang (nya).... 


Maksudnya : Ia adalah antara bukti bahawa betapa besar dan hebatnya ciptaan Allah. Malah dalam sebuah ayat yang lain;


Terjemahan : Surah Al-Mu'min [40] : 57


57. Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


Diterangkan kepada kita bahawa penciptaan langit itu lebih hebat dan besar dari penciptaan manusia, iaitu betapa mudahnya Allah mengatur bintang yang tidak terkira jumlah dan besarnyanya; inikan pula mengatur manusia yang hanya beberapa billion. 



Semua manusia di seluruh pelusuk dunia tidak kira apa agama dan bangsa akan berasa takjub apabila melihat bintang-bintang di angkasa. Baru sahaja kita melihat dengan mata kasar sudah berasa takjub, belum lagi mendalami akan ilmunya (sistem orbitnya, struktur, pengembangan dan sebagainya).


Tetapi berapa ramai manusia yang lupa bahawa dirinya kecil (lemah dan tidak berdaya)? Berapa ramai manusia yang bongkak akan ilmunya? Berapa ramai manusia yang resah gelisah kerana kurang hartanya lalu memakan riba, rasuah dan sebagainya (sedangkan Allah mengatur rezeki mereka)? Oleh kerana itulah dikatakan kebanyakan manusia tidak mengetahui.





3. Penunjuk Jalan


Terjemahan : Surah Al-An'aam [6] : 97


97. Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.


Maksudnya : Bintang di langit juga sebagai penunjuk arah bagi mereka yang berlayar di lautan mahupun orang yang berada di daratan. Bintang-bintang disusun mengikut susunannya yang tersendiri dan dapat dijadikan sebagai penunjuk arah kepada mereka yang mahir akan ilmu ini. 


Terdapat puluhan jenis dan perkumpulannya dalam susunan bintang-bintang ini dan gambarannya seolah-olah seperti binatang, layang-layang dan sebagainya (mengikut gambaran atau yang dibayangkan oleh manusia). Maha suci Allah yang tidak menciptakan semua ini sia-sia melainkan tetap ada kegunaannya pada mereka yang mahu menggunakan akal.


Selain itu ia juga sebagai ‘penunjuk jalan’ kepada kebenaran, iaitu menunjukkan ciptaan Allah yang maha hebat ini dengan kesempurnaan dan pemeliharaannya sebagai antara tanda-tanda kebesaran dan kekuatan-Nya. Maka wajarkah manusia menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain? 


Perlu diingatkan sekali lagi bahawa bintang atau zodiak ini tidak membawa apa-apa erti terhadap ramalan hidup seseorang. Ia hanya sebagai penunjuk arah kepada manusia dan digambarkan dalam bentuk-bentuk tertentu agar mudah kita menghafalnya sebagai penunjuk arah. Janganlah kita terpedaya dengan pemikiran mereka (syaitan dari jenis jin dan manusia).


Dalam sebuah hadis;


Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a : Sabda Nabi saw, “Allah berfirman; Ketika hamba-hambaKu bangun pagi-pagi, diantaranya ada yang mukmin ada yang kafir. 


Siapa yang berkata hari hujan kerana kurnia dan nikmat Allah, maka dia itu mukmin (iman) dengan-Ku, kafir dengan bintang-bintang. 


Siapa yang berkata hari hujan kerana bintang ini dan bintang itu, maka dia kafir dengan-Ku, iman dengan bintang-bintang.” (0058) Sahih Muslim


Kesimpulan :


1. Segala penciptaan Allah yang kita ketahui dan tidak kita ketahui mempunyai peranan dan fungsinya masing-masing. Tidaklah yang dapat memanfaatkannya kecuali orang-orang yang rajin menggunakan akalnya; iaitu orang yang mencintai ilmu.


2. Seluruh makhluk Allah tunduk dan patuh kepada-Nya; 


Terjemahan : Surah Al-Hajj [22] : 18


18. Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya. 


3. Menunjukkan bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang bukan sahaja mencipta, malah memeliharanya pula untuk kemanfaatan makhluk-Nya terutama manusia. Sekiranya Allah tidak menciptakan takdir, maka porak perandalah seluruh sistem kehidupan. 


4. Penciptaan bintang-bintang ini juga menunjukkan kesempurnaan Allah yang mencipta segala sesuatu penuh ketelitian (tiada kecacatan langsung), harmoni, stabil, kukuh dan membuktikan akan kekuasaan-Nya atas segala sesuatu.


Terjemahan : Surah Al-Jumu'ah [62] : 1


1. Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.


Wallahu’alam


Rujukan : Sahih Al-Bukhari (Kitab Tafsir), Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Al-Munir dan Tafsir Ibn Abbas


6 comments:

  1. Subhanallah.. mmg terpesona bila melihat bintang. Ciptaan hebat Allah swt, walau pun jauh namun bermanafaat utk kehidupan..
    Banyak rahsia ttg bintang utk kehidupan ni kan. Semoga kita tidak tergolong dikalangan mereka yg mensyirikkanNya. amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu..banyak rahsia tentang bintang..aminn..semoga kita dijauhkan semua...

      Delete
  2. Subhanallah, bintang memang cantik.. kadang2 berapa tahun sekali je iha akan nampak bintang.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang cantik bintang2 nie..seribupilihan suka tengok bintang..suka cahaya malam..boleh menenangkan jiwa..:-)

      Delete

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com