expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 15 February 2013

Tip Penyediaan Makanan bersih dan Selamat





DALAM penyediaan makanan perkara yang paling perlu kita ambil berat adalah keselamatan dan kebersihan makanan. Tanya diri anda adakah makanan yang dimakan itu selamat atau sebaliknya. Ini kerana jika kita tidak mengamalkan keselamatan dan kebersihan makanan, mungkin akan mengakibatkan keracunan makanan.


Tidak cukup hanya dengan rupa yang menarik dan rasa yang enak tetapi makanan perlulah juga selamat untuk dimakan. 


Beberapa tip bagaimana memastikan agar keselamatan dan kebersihan dapat kita amalkan dalam penyediaan makanan. 


Pastikan anda uruskan beberapa perkara yang seribupilihan cadangkan ini dengan cara yang betul dan sesuai.





Membasuh tangan


Masa yang kita perlukan tidak sampai seminit pun. Namun ramai yang masih ambil mudah dan tidak mengendahkan perkara ini sebagai satu amalan yang sangat penting sebelum kita mula memasak.


Tangan merupakan pusat penyebaran bakteria. Basuh tangan dengan sabun dengan rapi dan kalau boleh bilas dengan air suam supaya segala kuman dapat dihapuskan.


Gunakan langkah mudah ini iaitu mulakan dengan alirkan air ke tangan kemudian basuh dengan sabun dan gosok tangan sehingga ke siku sebaik-baiknya termasuk di celah celah jari, kuku dan di belakang tangan.


Akhir sekali bilas dengan air paip atau air suam dan keringkan tangan dengan tuala yang kering dan bersih.





Memasak


Memasak dengan suhu yang betul mampu membunuh kuman penyebab penyakit terutama kepada makanan berdaging seperti ayam dan daging lembu. Hiris atau cucuk di bahagian tengah daging sebelum menghidangkannya. 


Jika ia masih berdarah maka anda perlulah menambah masa memasaknya. Bakteria sangat aktif pada suhu di antara 40 hingga 60 darjah celsius. Jadi panaskan makanan setiap dua jam supaya dapat mengurangkan pembiakan bakteria. 


Ayam perlu dimasak melebihi 74 darjah celsius. Daging lembu dan kambing pula perlu dipanaskan melebihi 71 darjah celsius manakala ikan pula suhu memasak perlu dicapai di dalamnya adalah melebihi 63 darjah celsius.


Ingat, masak makanan sehingga mencapai kepanasan maksimum hingga ke bahagian dalam supaya bakteria dapat dihapuskan sepenuhnya.



 

Membersih


Tahukah juga anda bahawa papan pemotong mengandungi 200 kali lebih banyak bakteria berbanding bakteria yang ada di mangkuk tandas. 


Rajinkan diri untuk membasuh peralatan yang telah digunakan dengan bersih seperti papan pemotong, periuk dan pinggan mangkuk. 


Gunakan span dan kain pembersih yang bersih supaya tidak ada pencemaran silang yang akan menyebabkan peralatan yang bersih itu dicemari dengan kuman oleh sesuatu yang tidak bersih.



 

Penyimpanan makanan


Penyimpanan makanan secara bersistematik dan betul dapat mengurangkan pembiakan bakteria.


Makanan yang berlebihan dan makanan yang telah dimasak haruslah disimpan di peti sejuk. 


Sejukkan makanan yang telah dimasak sebelum disimpan dalam peti sejuk kerana makanan yang panas akan meningkatkan suhu dalam peti sejuk. Keadaan ini akan menyebabkan pembiakan bakteria yang tidak selamat. 


Makanan tin yang telah dibuka hendaklah disimpan dalam bekas baru yang bertutup.


Bahan-bahan kering seperti rempah ratus hendaklah disimpan jauh dari tempat yang panas supaya ia lebih tahan lama. 


Pastikan makanan yang disimpan tidak melebihi tarikh tamat dan terlalu lama.


Apa kata gunakan tip keselamatan dan kebersihan makanan yang seribupilihan kongsikan ini untuk kesihatan anda semua.

2 comments:

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com