PARIS - Satu kejadian tsunami akibat runtuhan batu yang
berlaku 1,500 tahun lalu telah mencetuskan ombak setinggi 13 meter sekali gus
menenggelamkan kawasan di sepanjang tebing Tasik Geneva, Switzerland, lapor beberapa
saintis.
Kejadian tersebut membayangkan bandar raya Geneva dan
Lausanne mungkin dilanda tsunami.
Ia juga boleh berlaku di beberapa buah bandar lain yang
terletak di tepi tasik kawasan pergunungan dan fiord di Switzerland.
"Risiko tersebut dipandang remeh oleh kebanyakan orang
yang tidak mengetahui bahawa tsunami boleh berlaku di kawasan tasik," kata
seorang saintis di Universiti Geneva, Switzerland, Katrina Kremer.
Dalam sepucuk surat kepada jurnal saintifik, Nature
Geoscience, sekumpulan saintis yang diketuai Kremer menyatakan mereka telah
mengkaji bencana itu yang berlaku pada tahun 563 dan dikenali sebagai Peristiwa
Tauredunum.
Menurut para saintis itu, terdapat bukti bahawa sebahagian
tanah di sebuah kawasan pergunungan jatuh ke dalam Sungai Rhone, lima kilometer
dari tasik berkenaan.
Pasukan Kremer itu menggunakan radar canggih untuk meninjau
kawasan yang paling dalam di tasik tersebut.
Anggota-anggota kumpulan itu menemui timbunan mendapan
sepanjang lebih 10 kilometer (km), lebar 5km dan ketebalan sehingga 5m.
Menurut Kremer, sepanjang tempoh 10,000 tahun lalu, beberapa
kejadian tsunami yang besar berlaku di Tasik Geneva.
Justeru, katanya, kejadian itu boleh berlaku lagi.
Sebelum ini kejadian tsunami kerap dikaitkan dengan bencana
gempa bumi yang berlaku di dasar laut berdekatan kawasan pantai. - AFP
No comments:
Post a Comment