expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 11 July 2012

Mati mengejut kerana arteri tersumbat




JANGAN sesekali memandang ringan jika anda atau ahli keluarga terdekat mengalami simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening kepala dan mengalami palpitas iaitu denyutan jantung yang pantas, kuat atau tidak teratur.


Tanda-tanda tersebut merupakan siren awal yang memberitahu seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari.


Penyakit arteri koronari merujuk pada penyempitan dan penyumbatan arteri yang membekalkan darah kepada jantung melalui pengumpulan lemak dan kolesterol.


“Proses ini dipanggil koronari aterosklerosis yang menyebabkan peredaran darah lemah, miokardium anoksia dan juga miokardium nekrosis.


“Dalam kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia disebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba atau dikenali sebagai serangan jantung,” kata pakar runding kardiologi, Profesor Dr. Sim Kui Hian.




 
Tambahnya, seseorang yang menghidap masalah penyakit arteri koronari juga biasanya akan berasa sakit di dada seperti rusuk dihimpit-himpit dan tidak kurang juga yang sakit di bahagian tangan kiri, siku dan perut.


Kui Hian memberitahu, penyakit arteri koronari terjadi apabila berlakunya pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain dalam darah yang dikenali sebagai plak.




 
Pengumpulan plak


Apabila plak tersebut terkumpul ia dipanggil koronari aterosklerosis.


“Pengumpulan plak ini selalunya berlaku dalam tempoh yang lama dan apabila ia mengeras, arteri akan tersumbat lalu menyebabkan peredaran darah menjadi lemah.


“Keadaan ini dinamakan aterosklerosis. Penyempitan arteri koronari ini menyebabkan darah beroksigen yang dihantar ke otot jantung berkurangan mengakibatkan sakit dada atau angina pektoris,” ujarnya.


Menurut Kui Hian, jika plak tersebut menghalang arteri koronari sepenuhnya atau pecah, ia boleh membawa kepada serangan jantung (infarksi miokardium).
Faktor risiko penyebab utama penyakit tersebut ialah tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti, merokok, kencing manis, amalan gaya hidup sedentari dan sejarah keluarga.


Bagi mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, seseorang doktor itu akan melakukan beberapa diagnosis seperti elektrokardiogram (ECG), ujian senaman treadmill, ekokardiografi, Myocardial Perfusion Scan, Cardiac Computed Tomography (CCT), Cardiac Magnetic Resonance Imaging (CMR), Cardiac Catheterization dan Coronary Angiogram.





BAGI mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, doktor akan melakukan beberapa diagnosis.


“Secara umum, doktor akan memilih penyelesaian terapeutik mengikut keadaan penyakit dan keadaan kesihatan pesakit selepas membuat diagnosis yang tepat tentang penyakit arteri koronari.


“Perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, pemakanan seimbang dan senaman yang mencukupi banyak membantu dalam pemulihan penyakit arteri jantung,” katanya.


Jelas beliau, pada masa sekarang, kaedah terapeutik yang digunakan untuk merawat penyakit arteri koronari ialah rawatan perubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG), percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti dan pembedahan pintasan jantung.


Terdapat pelbagai jenis sten yang digunakan dalam teknik angioplasti iaitu menggunakan bare metal stent (BMS), drug-eluting stent (DES) dan bio-engineered stent (BES). 


Kebiasaannya, pilihan rawatan berdasarkan faktor yang ditentukan oleh gejala-gejala yang dialami pesakit. 


Dalam kebanyakan kes, jika arteri tersumbat kurang daripada 70 peratus, maka ubat akan menjadi pilihan rawatan baris pertama.


Jika pembedahan diperlukan, BES ialah sten yang sesuai untuk semua pesakit.


Pemasangan sten menawarkan penyelesaian bagi kumpulan pesakit tertentu seperti mereka yang memerlukan pembedahan dalam jangka masa pendek, pesakit yang tidak boleh menggunakan Dual Antiplatelet Therapy (DAPT) iaitu rawatan perubatan yang membabitkan pengambilan agen pencairan darah seperti aspirin dan agen antiplatlet untuk jangka masa panjang dan warga emas.


Pesakit yang menjalani rawatan memasukkan sten boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan membuat senaman aerobik. 




 
Namun begitu, pesakit arteri koronari harus melakukan ujian stres terlebih dulu sebelum memulakan program senaman bagi mengukur kemampuan mereka untuk bersenam.


“Mereka dinasihatkan supaya melakukan senaman ditemani orang lain dan tidak berseorangan selepas beberapa bulan pertama menjalani rawatan.


“Gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan diet sihat dan senaman dengan kerap sangat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung,” ujarnya.


Dahulu, penyakit jantung hanya menyerang individu berusia, kini situasinya berbeza kerana golongan individu berusia bawah 50 tahun turut berdepan dengan risiko penyakit tersebut.


Gaya hidup




 
Menurut Kui Hian, keadaan itu berlaku akibat gaya hidup tidak sihat, tidak melakukan senaman, obesiti, merokok, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.


“Penyakit ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat. 


“Bagi mengelakkan penyakit ini, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti kurangkan pengambilan makanan yang banyak mengandungi lemak, kolesterol dan garam, jangan merokok, kurangkan tekanan dan selalu bersenam,” nasihatnya.


Dalam pada itu, Hindon Abdul Aziz, 55, tidak menyedari sama sekali bahawa dia menghidap penyakit arteri koronari sehinggalah beliau membuat pemeriksaan penuh kesihatan yang disarankan oleh tempat kerjanya.


Selepas melakukan ujian stres dengan treadmill, doktor memberitahu bahawa Hindon mempunyai masalah saluran jantung tersumbat dan menyarankannya menjalani rawatan angioplasti.




GAMBAR di atas menunjukkan bagaimana sten dipasang bagi membesarkan saluran darah yang tersumbat bagi membolehkan aliran darah mengalir dengan normal tanpa sekatan.


“Ahli keluarga saya ramai meninggal akibat penyakit yang berkaitan jantung seperti kolesterol tinggi dan angin ahmar.


“Sebulan jugalah saya membuat keputusan untuk membuat angioplasti. Prosedur angioplasti ini mengambil masa lebih kurang satu jam,” katanya.


Selepas membuat pemasangan sten, doktor menasihatkannya membuat perubahan pada diet. 


“Makanan laut tidak boleh makan kerana kandungan kolesterolnya tinggi, makanan berminyak dan bersantan selain mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok.


“Jika tidak berpantang, ada kemungkinan saluran tersebut tersumbat kembali. Apabila rakan-rakan tahu saya menghadapi masalah penyakit ini, ramai yang menyarankan supaya makan epal hijau, saderi, lemon dan teh hijau,” ujarnya.


Ditanya mengenai rawatan ubat tradisional yang banyak diamalkan oleh segelintir masyarakat, Hindon memberitahu doktor mengingatkannya supaya tidak mencampurkan pengambilan ubat doktor dengan ubat tradisional.


“Tidak dinafikan selepas didiagnosis menghidap penyakit ini, diet saya sekeluarga berubah dan jarang sekali makan di luar seperti sebelum ini.


“Sekarang ini, tengok sahaja orang makan nasi lemak sepinggan penuh saya sudah takut. Mula-mula dapat tahu menghidap penyakit ini, saya tidak lagi makan nasi lemak dan bertukar kepada capati,” katanya yang kini menyediakan makanan menggunakan kaedah rebus, kukus dan panggang.


Secara peribadi, Hindon memberitahu, pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali amat penting.


“Lebih baik dapat tahu awal daripada tidak tahu langsung dan tiba-tiba sahaja mendapat serangan jantung.


“Sehingga hari ini, setiap hujung minggu sebaik sahaja selepas subuh saya dan suami akan berkebun untuk mengeluarkan peluh,” ujarnya yang banyak membawa artikel-artikel mengenai arteri koronari.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com