expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 22 July 2012

China mahu jadi kuasa dunia bertanggungjawab












Cari jalan selesai masalah secara aman pendekatan rasmi utama. 


Samuel Huntington terkenal menerusi bukunya The Clash of The Civilization , merujuk kepada pertembungan tamadun Barat dan Islam. 


Tetapi, ia juga boleh dikaitkan kepada pertembungan tamadun Barat dengan negara yang bakal menggantikan Amerika Syarikat sebagai enjin pembangunan ekonomi dunia tidak lama lagi iaitu China. 


Pada masa ini, pertembungan itu dilihat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila China dan Russia menyekat negara Barat campur tangan di Syria.


Pertembungan itu semakin dekat dengan keputusan Amerika menempatkan lebih ramai askarnya di rantau Asia ketika isu Laut China Selatan tiba-tiba panas.


Kemajuan ekonomi dan perancangan jangka panjang sistematik membolehkan China untuk menjadi ‘kuasa besar’ baru dijangkakan dalam tempoh satu dekad lagi. 


Mungkin negara Barat cemburu dengan kejayaan itu. Tambahan pula, China tidak perlu menjajah negara lain untuk mencapai status itu. 


China melakukannya dengan cara sendiri. Sejak memutuskan untuk melaksanakan dasar pintu terbuka, China menikmati kemajuan tanpa henti lebih tiga dekad lalu. Oleh sebab itu jugalah dasar dalaman dan luaran China diberi tumpuan lebih teliti, khususnya oleh negara Barat.


Kejayaan China dapat saya saksikan bersama bersama 18 wartawan lain dari Indonesia, Thailand, Pakistan, India dan Bangladesh yang dijemput melakukan kunjungan oleh Jabatan Antarabangsa Parti Komunis China (IDCPC).


Lawatan selama 10 hari itu pada lewat Jun hingga awal Julai bermula di Beijing sebelum bergerak ke Zhuhai, Zhaoqing dan terakhir, Guangzhou.


Tidak hairanlah, negara Barat yang memandang serong usaha Iran memiliki tenaga atom, tidak lupa dengan kemajuan China.


Jadi, China memutuskan untuk memberi penjelasan, penerangan dan mengingatkan masyarakat dunia, termasuk negara jiran bahawa ia hanya menumpukan kepada kemakmuran 1.3 bilion penduduknya, bercanggah dengan teori pihak tertentu mengenai ‘ancaman China.’


Sedar hadapi isu dalaman


Berbeza dengan anggapan serong negara Barat, China sedar ia menghadapi isu dalaman yang besar untuk diselesaikan terlebih dulu.


Selain bilangan penduduk yang ramai, China perlu menangani 128 juta warganya yang dibelenggu kemiskinan, kata Timbalan Ketua Pengarah Biro Penyelidikan Jabatan Antarabangsa IDCPC, Luan Jianzhang.


China juga tidak mempunyai banyak kawasan untuk pertanian. Selain itu, 600 juta penduduknya tinggal di kawasan bandar dan memaksa negara itu menjadi pengeksport terbesar dunia. Satu lagi isu ialah dasar satu anak, katanya. 


“Kami perlu kurangkan jurang golongan kaya dan miskin. Hanya selepas itu barulah kami boleh fikirkan perkara lain,” jelasnya. 


Satu lagi prinsip yang dipegang oleh China ialah mewujudkan keharmonian hidup, kata Timbalan Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Selatan dan Asia Tenggara IDCPC, Rao Huihua. 


“China pada setiap masa mengamalkan dasar keamanan, mengelak daripada membentuk blok kerjasama ketenteraan, terbabit dalam perlumbaan senjata atau memperkuatkan lagi kekuatan tentera. 


“China percaya membina keharmonian dunia bermakna perlu menghormati politik orang lain, bekerjasama dalam ekonomi, juga dalam budaya, saling membantu melindungi alam sekitar dan mempromosi dialog, bukan menjadi punca konflik,” katanya. 


Buktinya, dalam tempoh beberapa dekad lalu, China mempunyai program pertukaran dengan lebih 600 parti politik di seluruh dunia. 


Mengenai isu Laut China Selatan, Rao dan jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei sekali lagi menegaskan bahawa China terus memegang pendirian bahawa ia patut diselesaikan secara aman. 


“Kami juga hampir dapat menyelesaikan semua isu dengan negara jiran, itu membuktikan dasar keamanan kami,” kata Hong Lei. 


Beliau dan Rao menekankan harapan China bahawa Amerika dapat memainkan peranan positif di rantau ini selepas memindahkan ramai askarnya ke sebelah sini. 


“Jika Amerika menghantar askar untuk krisis kemanusiaan seperti di Afrika, kami sambut baik peranan itu,” kata Rao. 


Satu usaha diplomatik yang mendapat perhatian di Malaysia sendiri ialah persetujuan meminjamkan dua beruang panda. 


Tidak syak lagi, China sedar bahawa dunia memandang serius perkembangannya, lebih-lebih lagi ketika tahun ini adalah ulang tahun ke-20 pelaksanaan ekonomi pasaran bebas. 


Tahun ini juga menandakan betapa China serius untuk meneroka angka lepas selepas pesawat Shenzou 9 mendarat di sebuah stesen angkasa lepas baru-baru. 


Persoalannya ialah adakah China dapat mengekalkan kemajuannya sejajar dengan pandangan bahawa ia adalah kuasa besar dunia kedua selepas Amerika.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com