expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 11 July 2012

Bioteknologi masih dipandang sepi

BIOTEKNOLOGI...hasil lumayan.



KECANGGIHAN satu cabang inovasi iaitu bioteknologi diiktiraf sebagai antara industri terpenting bukan saja mampu memberi pulangan lumayan dalam peningkatan penjanaan ekonomi negara, malah membawa dimensi baru terhadap bidang kerjaya.


Dengan sasaran penjanaan pendapatan RM45 bilion menjelang 2013, ia membuka peluang luas terhadap penyediaan sumber manusia yang berinovasi, berpengetahuan, terlatih serta mempunyai ciri keusahawanan boleh dikomersialkan. 


Pada akhir tahun 1970-an, bioteknologi Malaysia mula diperkenalkan sebagai salah satu revolusi teknologi yang menjanjikan pulangan lumayan pada abad ke-21 ini. Ia memainkan peranan penting di dunia dan Malaysia amnya yang berpotensi untuk menyumbang ke arah bidang pertanian, kesihatan, sumber alam, pendidikan dan semula jadi bagi membolehkan kitaran hidup berkembang.


Malangnya, tidak ramai antara kita yang menyedari betapa potensi teknologi ini mampu mengubah kehidupan manusia dan alam sekitar sedangkan di peringkat global, bioteknologi menjadi antara industri yang besar dan berpengaruh. 


Bayangkan, nilai urus niaga bioteknologi dunia mencecah sehingga RM2 trilion membabitkan lebih 5,000 syarikat berkaitan yang kebanyakannya menguasai pasaran kosmetik, kesihatan dan sebagainya.


Tambah menyedihkan, terdapat segelintir yang menganggap bioteknologi tidak perlu didahulukan dalam usaha menyelamatkan pelbagai kerosakan berlaku di dunia berbanding industri lain.


Sumbangan bioteknologi kepada kehidupan manusia sudah jelas terpampang di depan mata. Contoh paling jelas, minuman berkarbonat Coca-Cola antara hasil eksperimen teknologi terbabit yang mengubah tabiat minum penduduk dunia.


Sebenarnya, bioteknologi secara tidak sedar sudah diaplikasikan dengan penghasilan bahan penapaian seperti keju, yogurt, tapai, tempe dan minuman keras seperti wain dan bir. 


Makanan ruji seperti roti juga melalui proses bioteknologi apabila yis jenis Saccharomyces Cerevisiae digunakan untuk menaikkan adunan.


Selain itu, bidang pertanian menyaksikan kacukan pokok yang mempunyai buah yang banyak, manis atau besar hasil sumbangan penggunaan bioteknologi.


Tidak dilupakan, kaedah rawatan menggunakan antibiotik yang mengubati penyakit dan mempertahankan bahagian dalaman dihasilkan secara bioteknologi dalam makmal bermula pada 1928 apabila Alexander Fleming menjumpai kulat Penicillium.


Ia seterusnya digunakan untuk mengubati jangkitan kulit akibat bakteria Staphylococcus Aureus. Evolusinya diteruskan dengan penguraian bahagian teknologi sekitar 40-an apabila antibiotik Penicillin pula dihasilkan yang menggunakan teknik biopemprosesan bakteria.


Sekitar satu dekad yang lalu, penggunaan bioteknologi dikembangkan dengan peluasan aspek genetik dan molekul sehingga terhasilnya teknologi klon sebagai salah satu produk bioteknologi yang diuji pada kambing dan monyet.


Bioteknologi adalah keupayaan untuk penyelesaian masalah kehidupan laut berikutan perkembangan teknologi itu yang perlu ditekankan dalam usaha menyelamatkan ekosistem kawasan berkenaan.


Apatah lagi, fakta yang menunjukkan 70 peratus isi dunia adalah laut, menambahkan lagi keperluan mengkaji bioteknologi dalam usaha memberi manfaat pada masa depan.


Krisis kekurangan bekalan beras di pasaran dunia suatu ketika dulu memberi tempias kepada industri penanaman padi negara hingga menjejaskan penjualan beras tempatan, selain merencatkan bekalan sedia ada.


Senario itu mendorong sekumpulan penyelidik Institut Biologi Sains, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) diketuai Prof Dr Rosna Mat Taha tampil dengan inovasi benih padi tiruan yang dihasilkan menerusi kaedah bioteknologi pengkulturan tisu suatu ketika dulu.


Penyelidikan menggunakan spesies benih padi wangi dikenali Oryza Sativa MRQ 74 itu kata beliau, dijangka meningkatkan potensi tanaman padi negara, selain mengelakkan pergantungan kepada benih sedia ada.


Penghasilan benih padi tiruan itu, katanya, dilakukan dengan mendapatkan tisu sekecil 0.5 sentimeter daripada mana-mana bahagian padi dengan keupayaan untuk hidup menggunakan kaedah ‘micro shoot’ dan embrio menerusi teknik kultur tisu.


“Tisu ini kemudian disalut bahan campuran (media) matriks yang terdiri daripada kalsium dan natrium alginate yang berfungsi sebagai endosperma dan kulit tiruan.


“Proses percambahan tisu mengambil masa selama seminggu dan kita dapat lihat keupayaan tisu ini hidup dengan menghasilkan pucuk berganda, malah ada yang mampu tumbuh dengan akar sekali.


“Pokok ini kemudian dibiarkan tumbuh selama sebulan sebelum dipindahkan ke tanah biasa. Berbanding benih padi sedia ada yang hanya mampu menghasilkan satu pokok berbanding benih tiruan yang menghasilkan banyak anak pokok dengan pelbagai bentuk,” katanya.


Rosna berkata, penyelidikan mendapati hanya 150,000 benih padi tiruan diperlukan bagi kawasan seluas satu hektar berbanding 7.5 juta benih padi asli untuk keluasan sama. 


Penghasilan benih itu membolehkan tanaman dilaksanakan pada bila-bila masa tanpa bergantung kitaran musim.


Katanya, kelebihan benih tiruan, ia mampu disimpan untuk jangka masa sehingga lapan bulan di bawah suhu sejuk 4 darjah Celcius tanpa menjejaskan daya ketahanan hidupan.


Selain itu, beliau berkata, penghasilan benih juga sesuai untuk proses pembiakan tanaman menggunakan skala besar, selain mampu menjimatkan kos.


“Teknik pengkulturan tisu ini juga mampu menghasilkan anak benih yang mempunyai lebih kurang 90 peratus menyerupai ciri-ciri induk, hasilnya kita dapat lihat keseragaman benih dan bunga padi,” katanya.


Sebelum ini, projek menghasilkan benih tiruan dijalankan ke atas beberapa spesies tanaman hiasan lain seperti kaktus, African violet, Begonia dan African daisy. 


Potensi bioteknologi di negara ini mula dikenal pasti dengan penubuhan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) yang diperkenalkan kira-kira tujuh tahun lalu di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


Entiti terbabit juga menguruskan lebih 150 syarikat bioteknologi tempatan berstatus BioNexus yang membanggakan apabila kebanyakan syarikat ini mendapat kerjasama dan suntikan pelaburan syarikat antarabangsa.


Untuk makluman, syarikat berstatus BioNexus adalah syarikat bioteknologi yang dikenal pasti oleh BiotecCorp sebagai berdaya maju dan perlu diberi sokongan dari aspek pelaburan, penyelidikan dan bantuan modal.


BiotechCorp pernah memberi saranan kepada semua kerajaan negeri dan koridor ekonomi menggalakkan tumpuan dalam bidang khusus industri bioteknologi iaitu yang boleh menyediakan daya saing bagi menarik lebih banyak pelaburan asing.


Ketua Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, kini bukan saja syarikat yang mahukan pelaburan, malah kerajaan juga agresif meneruskan pelaburan bagi membangunkan industri bioteknologi di negara masing-masing.


“Kebanyakan negara, bandar atau negeri mahukan pelaburan berasaskan keupayaan masing-masing.



KOSMETIK...menggunakan bioteknologi.




“Kami mahu memindahkan keupayaan ini kepada negeri masing-masing di Malaysia atau koridor ekonomi, jika tidak semua orang akan melakukan perniagaan yang sama,” katanya.


Bagi menambah potensi bioteknologi di negara ini, lebih banyak cawangan makmal perlu dibuka di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pihak industri, sekali gus meningkatkan kajian yang memberi manfaat dalam jangka masa pendek dan panjang.


Penambahan cawangan makmal itu perlu bagi menampung peningkatan analisis sampel dalam bahagian bioteknologi, sekali gus mengurangkan senarai sampel menunggu untuk dianalisis.


Malah, makmal yang khusus untuk bioteknologi boleh dilaksanakan memandangkan 13 makmal utama di negara ini mempunyai fungsi yang terlalu meluas apabila menawarkan perkhidmatan analisis forensik, toksikologi, alam sekitar, air, makanan, analisis halal, bioteknologi, produk industri dan klasifikasi tarif dagangan.


Sebenarnya, segmen bioteknologi boleh dipraktikkan dengan kerjasama pelbagai pihak dalam usaha mengurangkan import bahan makanan yang bernilai RM221.81 bilion sejak 10 tahun lalu.


Kebanyakan komoditi yang diimport tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara berikutan kos pengeluaran tinggi di samping iklim yang tidak sesuai.


MAKANAN...sumber keperluan yang perlu manfaat bioteknologi.



Kumpulan komoditi makanan yang diimport adalah keluaran bahan makanan diproses, bahan makanan ternakan, buah-buahan iklim sederhana, sayur-sayuran dan bijirin.


Antara makanan yang kita import ialah koko, kopi, teh, susu, gandum, epal, oren, ubi kentang, salad, beras dan tepung.


Justeru, bioteknologi penting dalam mengenalpasti ganti kepada komoditi terbabit yang memastikan jaminan makanan dengan penyelidikan dan pembangunan ditumpukan kepada peningkatan pengeluaran hasil mapan, antaranya tumpuan terhadap bidang bioteknologi.


Kerajaan juga harus terus membangunkan sistem rantaian bekalan makanan secara bioteknologi yang lebih terangkum dan kukuh membabitkan kerajaan, swasta, petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dan permintaan pasaran, meningkatkan aktiviti nilai tambah serta mengurangkan risiko perniagaan.


Usahawan kecil juga perlu lebih menceburi bidang bioteknologi dengan meluas, malangnya, terdapat kemudahan yang disediakan untuk golongan terbabit kurang mendapat sambutan seperti disediakan di Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM).


Terdapat laporan menyebut hanya separuh daripada makmal penyelidikan di pusat itu digunakan walaupun ia boleh menampung lebih banyak produk untuk diuji walaupun dalam tempoh sebulan, makmal di PBM boleh menampung perkhidmatan ujian saringan keselamatan terhadap 60 produk industri.


Bajet negara diharap terus memberi penekanan kepada peruntukan dan galakan untuk perkembangan sains dan teknologi, khususnya terhadap bidang bioteknologi.


Ia berikutan pelaburan dalam bidang itu mahal, mengambil masa yang panjang dan berisiko tinggi.


Jadi, kerajaan perlu meningkatkan peruntukan bajet dalam bidang ini supaya dapat diperkembangkan.


Peruntukan Skim Geran Pembangunan Industri dan Penyelidikan (IGS) pula harus ditingkatkan kerana difahamkan peruntukan itu sangat berkurangan untuk membolehkan sektor swasta mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).


Menerusi IGS, sektor swasta digalak menjalankan R&D yang lebih inovatif bagi menghasilkan teknologi yang dapat dikomersialkan pada masa depan.


Bioteknologi dijangka mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM4 bilion sepanjang dua tahun, jadi ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin usahawan tempatan yang secara tidak langsung boleh meningkatkan ilmu bioteknologi di mata dunia.


Bioekonomi yang merangkumi penggunaan bioteknologi dalam industri utama, disasarkan untuk menjadi salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk Malaysia menjejaki langkah negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Belanda, Jerman dan Perancis.


Bioekonomi, terutamanya menerusi teknologi bioperindustrian akan menjadi satu anjakan paradigma untuk menyuntik pendekatan baru kepada industri sedia ada di Malaysia seperti komoditi dan petrokimia untuk memanfaatkan kepelbagaian bio negara secara mapan.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com