expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 4 July 2012

Apa yang kita boleh pelajari daripada Euro




SEPANYOL membuktikan mereka adalah kuasa bola sepak dunia, yang mungkin telah menenggelamkan populariti Brazil.


Apa yang menarik tentang Sepanyol? Mereka memiliki kesebelasan individu berskil tinggi tetapi mengetepikan ego masing-masing untuk bermain secara berpasukan. Tidakkah ini penting.


Jerman, England, Itali dan Perancis adalah nama-nama besar dalam bola sepak Eropah, namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat La Roja yang yakin kepada kemampuan sendiri.


Bukankah menyarung jersi kebangsaan itu satu kebanggaan? Ya. benar. Berapa ramaikah pemain di negara kita memiliki `roh’ tersebut - yakni berjuang demi negara.


Lihatlah sahaja wajah kesebelasan La Roja atau mungkin pasukan-pasukan lain, jerit perih mahu menobatkan nama negara dapat dilihat daripada riak dan ekspresi wajah di atas padang. 




 
Apa rahsia Sepanyol? Jawapannya banyak. Yang penting setiap pemain Sepanyol menguasai teknik bola sepak dengan baik dan bermain dengan pemikiran terbuka.


Taktikal adalah isu yang dilontarkan oleh Vincent Del Bosque ke dalam skuad Sepanyol. Tengok sahajalah lawan mereka yang tewas kepada strategi walaupun memiliki pemain bintang.


Mengapa kita terlalu bergantung kepada penyerang untuk menyumbat gol? Sepanyol melihatnya sebagai gaya konvensional.


Mereka bermain silap mata. Penyerang seperti Fernando Torres dan Cesc Fabregas hanyalah umpan (walaupun mampu menjaringkan gol) kerana tugas merobek gawang di bahu rangkaian midfielder mahupun attacking defender. Hebat.


Inilah kreativiti. Lihat nasib yang menimpa Belanda. Kegelojohan untuk mempamerkan skil akhirnya makan diri - Oranje tersingkir dalam keadaan yang sangat memalukan.


Ada orang kata, masalah ketinggian adalah halangan kita. Betul ke? Bagaimana dengan Sepanyol yang memiliki purata ketinggian 180 sentimeter. Tinggi sangatkah David Silva?




 
Liga tempatan yang kompetitif dan berkualiti juga adalah kunci kepada melahirkan pemain-pemain yang hebat untuk mengisi skuad negara.


Apabila liga tempatan menarik, stadium akan penuh dan barulah boleh kita katakan bola sepak juga karier yang mampu menjamin masa depan.


Semuanya tentang pemain, jurulatih bagaimana? Ini adalah persoalan melibatkan ego. 


Bukan semua jurulatih bagus. Kadang-kala ada jurulatih bagus tetapi pemain tidak berupaya menterjemahkan yang dikehendaki bos mereka.


Miliki lesen A kejurulatihan tidak bermakna seseorang jurulatih itu mampu merealisasikan impian majikan.


Pada pandangan penulis, jurulatih yang bagus ialah mereka yang mampu mempelbagaikan corak permainan berlandaskan strategi dan kreativiti.


Del Bosque dan Joachim Loew misalnya gemar berfikir di luar kotak pemikiran, malah tidak mahu terikat dengan kaedah konvensional, berbanding England dan Portugal atau paling teruk Belanda.


Taktikal adalah jalan cerita yang akhirnya bakal menentukan sama ada sesebuah pasukan itu mampu meneruskan perjuangan atau sebaliknya.


Kejohanan Euro adalah pentas pertempuran yang penuh dengan muslihat. Inilah bola sepak moden yang dapat membezakan kualiti setiap pasukan. 


Apa salahnya, jika ada usaha pihak tertentu menjemput jurulatih berkaliber dari Eropah untuk berkongsi idea dan pemikiran dengan jurulatih tempatan demi pembangunan bola sepak negara.


Kalau tidak silap penulis, inilah yang dilakukan oleh pengurus Real Madrid, Jose Mourinho selepas berakhir musim dengan memenuhi jemputan daripada banyak negara untuk memberi ceramah dan berkongsi idea dengan jurulatih-jurulatih tempatan, antaranya Singapura.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com