expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday 16 July 2012

Bantah larangan gugur bayi




Aktivis dakwa keputusan kerajaan satu keganasan kepada wanita


Jakarta: Aktivis menyuarakan kebimbangan mengenai undang-undang antipengguguran Indonesia, menyatakan keputusan menjadikan perbuatan itu satu jenayah menggalakkan wanita melakukannya secara haram. Pengasas kumpulan SAMSARA, pertubuhan bukan kerajaan memberikan bantuan kepada wanita hamil tanpa dirancang, Inna Hudaya, berkata menjadikan pengguguran sebagai satu jenayah adalah ancaman kepada kesihatan umum secara keseluruhan, dan wanita secara khusus. 


Walaupun pengguguran diharamkan, tiada perubahan penting dalam kadar pengguguran. Selain tiada usaha kurangkan kejadian kehamilan tidak dirancang, permintaan untuk perkhidmatan gugurkan kandungan masih tinggi”. - Inna Hudaya, Pengasas kumpulan SAMSARA


“Tindakan itu adalah satu bentuk keganasan terhadap wanita. Negara dan masyarakat gagal melihat wanita sebagai subjek, wanita kini semakin dilihat sebagai objek dan diselaraskan menurut undang-undang,” katanya.


Inna cuma segelintir daripada banyak pihak yang menggesa pengguguran dibenarkan di Indonesia, negara yang menyaksikan 2.5 juta pengguguran dibuat setiap tahun. Malah, perangkaan mungkin lebih tinggi, kerana ramai wanita mencari klinik haram dan bidan tradisional untuk menggugurkan kandungan mereka secara rahsia.


Inna mendakwa kadar pengguguran selalunya lebih tinggi di negara yang mengharamkan amalan itu, kerana undang-undang antipengguguran selalunya diiringi kekurangan pendidikan awam mengenai seksual dan kesihatan reproduktif.


“Walaupun pengguguran diharamkan, tiada perubahan penting dalam kadar pengguguran. Selain tiada usaha mengurangkan kejadian kehamilan tidak dirancang, tuntutan untuk perkhidmatan menggugurkan kandungan masih tinggi,” katanya. 


Beliau berkata, perkhidmatan pengguguran haram mengambil kesempatan ke atas wanita.


“Oleh kerana tiada peraturan jelas, ia bermakna wanita kerap menjadi mangsa secara psikologi, fizikal dan ekonomi,” katanya.


Amalan seumpama itu juga meningkatkan risiko komplikasi dan kematian ketika bersalin, yang berlaku pada kadar 228 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran.


“Komplikasi dan kematian akibat pengguguran tidak selamat menyebabkan kerosakan ekonomi negara, termasuk menjejaskan nama baik Indonesia berhubung ketidakupayaan meningkatkan status kesihatan wanita,” kata Inna.


Inna memahami masalah dihadapi wanita yang hamil tanpa dirancang, juga pernah melakukan pengguguran. Beliau menubuhkan SAMSARA untuk memberikan sokongan kepada wanita, termasuk menawarkan kaunseling, pendidikan dan membuka talian untuk mendapatkan nasihat.


“Melakukan pengguguran untuk menyelesaikan masalah bukan satu keputusan yang perlu dibuat terburu-buru kerana ia mungkin mencetuskan masalah lebih besar, seperti kematian dan komplikasi kesihatan,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com